Rabu, 23 Mac 2011

Utusan Online - Kota

Utusan Online - Kota


Belajar berkumpulan petua semua A

Posted:

Belajar berkumpulan petua semua A

Belajar berkumpulan petua semua A


PELAJAR Sekolah Sultan Alam Shah bersorak gembira dengan kejayaan mereka mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM selepas mengambil keputusan masing-masing di Putrajaya, semalam.


PUTRAJAYA 23 Mac - Langkah memberi perhatian penuh di dalam kelas dan belajar secara berkumpulan adalah petua pencapaian cemerlang 52 pelajar Sekolah Sultan Alam Shah (SAS) meraih A dalam semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Berkongsi rahsia tersebut, Muhammad Farid Ibrahim, 18, yang berjaya memperoleh 10 A+ berkata, amalan teknik belajar itu akhirnya berbaloi dan membuahkan hasil yang menggembirakan.

"Selain itu saya membuat banyak latihan dalam mata pelajaran yang kurang dikuasai seperti Matematik Tambahan untuk meningkatkan pemahaman saya," katanya kepada Utusan Malaysia ketika mengambil keputusan SPM di SAS, di sini hari ini.

Muhammad Farid merupakan salah seorang daripada 52 calon SPM sekolah berasrama penuh (SBP) itu yang meraih A dalam semua mata pelajaran.

Paling membanggakan ialah tujuh daripada keseluruhan 183 calon mendapat 10 A+ dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Berkongsi resipi yang sama, Muhammad Farid Abdul Wahab, 18, yang turut mendapat 10A+ dalam semua mata pelajaran.

"Terima kasih juga saya ucapkan kepada guru-guru yang tidak henti-henti memberi bantuan dan bimbingan kepada pelajar-pelajar," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

Sementara itu, Muhamad Farhan Khairul Anuar, 18, berkata, kejayaan mendapat 10 A dalam SPM itu adalah berkat usahanya mengulang kaji pelajaran tanpa jemu bersama rakan-rakan.

Dia yang aktif dalam permainan ragbi memberitahu, belajar secara berkumpulan dapat membantunya memahami sesuatu topik dengan lebih cepat dan berkesan berbanding belajar secara bersendirian.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pencapaian SPM di KL catat peningkatan

Posted:

Pencapaian SPM di KL catat peningkatan

Pencapaian SPM di KL catat peningkatan


(dari kiri) Kan Ka Hou, Lim Bei, Mei Ling Cai Ling dan Nurul Yasameen Hajibeigy menunjukkan keputusan SPM yang mereka peroleh di Sekolah Menengah Aminuddin Baki, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 23 Mac - Pencapaian keseluruhan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada tahun lalu meningkat berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Mohd. Adenan Deraman berkata, bilangan calon SPM yang memperoleh sijil juga bertambah kepada 18,263 tahun lalu berbanding 17,681 pada 2009.

Sementara itu, pencapaian Gred Purata Negeri (GPN) SPM 2010 untuk Kuala Lumpur turut meningkat 0.18 kepada 4.74 berbanding 2009.

"Keputusan SPM tahun lalu juga menunjukkan 792 calon berjaya mendapat gred cemerlang dalam semua mata pelajaran yang diduduki berbanding 669 calon pada 2009,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Di samping itu, katanya, daripada jumlah keseluruhan tersebut, terdapat empat calon istimewa yang mencatatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu.

"Mereka adalah empat calon berkeperluan khas iaitu dua calon rabun, seorang calon buta dan seorang calon pelbagai kecacatan dari Sekolah Menengah Pendidikan Khas (cacat penglihatan ) Setapak dan Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki.

"Masing-masing berjaya memperoleh semua A dalam mata pelajaran yang diduduki," ujarnya.

Sementara itu, Mohd. Adenan berkata, tiga buah sekolah dikategorikan sebagai sekolah cemerlang berdasarkan kepada Gred Purata Sekolah (GPS).

"Sekolah itu adalah Sekolah Menengah Sains Alam Shah, Sekolah Menengah Sains Seri Puteri dan Sekolah Menengah Sains Selangor.

"Sebahagain besar sekolah di negeri ini dapat dirumuskan sebagai berada dalam kategori pencapaian sekolah cemerlang, baik dan memuaskan. Tiada sekolah yang memperoleh pencapaian berpotensi," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Mentor-menti bantu Sekolah Seri Puteri kekal cemerlang

Posted:

Mentor-menti bantu Sekolah Seri Puteri kekal cemerlang

Mentor-menti bantu Sekolah Seri Puteri kekal cemerlang

CYBERJAYA 23 Mac - Program mentor-menti banyak membantu 48 pelajar cemerlang Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) Sekolah Seri Puteri mendapat A bagi semua mata pelajaran dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2010.

Menurut salah seorang pelajar tersebut, Hanie Farhana Hamdi, 18, yang mendapat 9A, program mentor-menti sememangnya sesuatu yang diperlukan setiap pelajar sebelum menghadapi SPM.

Menurutnya, meskipun sibuk sebagai penolong ketua pelajar di sekolah, ia tidak menjejaskan tumpuannya terhadap pelajaran.

"Dalam program itu, seorang guru ditugaskan memantau seorang pelajar untuk menyiapkan kerja rumah serta mengulang kaji pelajaran.

"Peluang di asrama juga dimanfaatkan dengan sebaik mungkin kerana waktu mengulang kaji pelajaran juga terhad," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui semasa mengambil keputusan SPM di Sekolah Seri Puteri, di sini hari ini.

Sementara itu, Nurul Fadhilah Syahirah Ismail, 18, berkata, kejayaan memperoleh 9A dalam SPM adalah berkat memberi tumpuan dalam kelas dan tidak segan bertanya kepada rakan serta guru jika menghadapi kesukaran dalam sesuatu subjek.

Dia yang bercita-cita menjadi doktor, memperuntukkan lima jam sehari untuk mengulang kaji tanpa meninggalkan kegemaran melakukan aktiviti riadah pada waktu lapang.

"Saya mengulang kaji pelajaran tanpa mengikut jadual tetap, tetapi saya akan pastikan segala kerja rumah yang diberikan setiap hari wajib disiapkan," katanya.

Sementara itu, seorang lagi pelajar yang mendapat 9A, Nur Ilham Nadia Nain, 18, turut bersetuju yang program mentor-menti banyak membantu kejayaannya itu.

"Jadual ulang kaji yang diatur bersama rakan-rakan yang menyertai program itu di bawah seliaan guru banyak membantu dalam pembelajaran.

"Saya berusaha dengan gigih bagi mencapai keputusan tersebut. Pada masa sama, keluarga juga banyak memberi dorongan dan semangat kepada saya untuk mencatat keputusan cemerlang ini," katanya yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Pencapaian Sekolah Seri Puteri bagaimanapun menurun apabila hanya 48 calon mendapat semua A berbanding 60 pelajar pada 2009.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan