Rabu, 23 Mac 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


Ganjaran penuh

Posted: 22 Mar 2011 03:03 PM PDT

MukaDepan

Penjawat awam pilih bersara awal diberi imbuhan sekali gus: Najib

PUTRAJAYA: Kerajaan semalam menarik balik penangguhan bayaran sebahagian ganjaran berkaitan persaraan pilihan kepada penjawat awam berkuat kuasa 1 Februari 2010.

Berikutan itu, penjawat awam yang memilih bersara pilihan akan menerima bayaran sekali gus atau 100 peratus.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika mengumumkannya, berkata kerajaan juga bersetuju supaya semua penjawat awam yang mengambil Skim Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bersara wajib atau bersara mengikut Seksyen 6A (6), Akta 227/239, termasuk ahli keluarga tanggungan mereka, layak menikmati kemudahan rawatan perubatan secara percuma. "Keputusan itu dibuat berkat usaha kakitangan kerajaan membantu kerajaan menguruskan kewangan negara dengan bijak, sehingga mampu memulihkan negara daripada masalah ekonomi," katanya berucap pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Kali Ke-12 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, semalam.

Pada 1 Februari 2010, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengumumkan keputusan kerajaan menangguh bayaran sebahagian ganjaran membabitkan permohonan bersara pilihan bagi kakitangan awam Persekutuan, negeri dan badan berkanun serta tempatan.

Ia berikutan kedudukan kewangan semasa negara, selain mengelakkan kekurangan pegawai terlatih bagi mengendalikan Program Transformasi Kerajaan (GTP).

Antara syarat itu, kakitangan yang ingin bersara pilihan perlu bersetuju menerima hanya 20 peratus ganjaran atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi berbanding bayaran sekali gus seperti sebelumnya.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman, menteri-menteri Kabinet.

Majlis yang dihadiri kira-kira 5,757 penjawat awam itu turut disaksikan secara langsung oleh 570 penjawat awam di Sarawak dan Sabah yang mengikutinya secara sidang video di kedua-dua negeri.

Mengulas keistimewaan yang bakal dinikmati pesara Skim KWSP itu, Najib berkata, ia tidak akan membabitkan mereka yang meletakkan jawatan atau meninggalkan perkhidmatan atas kehendak sendiri.

Katanya, ia juga hanya boleh dinikmati mereka yang bersara wajib oleh kerajaan Persekutuan atau negeri atau pihak berkuasa berkanun dan tempatan.

Mengenai Kajian Semakan Sistem Saraan Malaysia, Najib berkata, satu kaedah `exit policy' akan diwujudkan untuk menamatkan perkhidmatan pegawai yang berprestasi rendah atau mempunyai masalah kesesuaian penempatan di semua peringkat termasuk Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

"Kaedah baru ini bakal diperkenalkan berikutan masalah sistem pool yang dibangkitkan sebelum ini bertujuan memastikan pegawai yang terbabit tidak teraniaya dengan mengamalkan sistem penilaian yang bebas dan berkecuali.

"Mengikut kaedah baru ini, pegawai berkenaan akan diberikan tugasan khusus bagi memanfaatkan pengalaman mereka," katanya.

Mengikut sistem penilaian baru yang bakal dilaksanakan mulai Jun ini, Ketua Perkhidmatan atau Ketua Jabatan diberikan fleksibiliti dalam menentukan kaedah penilaian di jabatan masing-masing berdasarkan garis panduan yang sedang disediakan oleh JPA.

Najib turut mengumumkan cadangan kerajaan memperkenalkan satu lagi anugerah khas bagi menghargai penjawat awam yang menunjukkan mutu kerja tinggi di pejabat dan pada masa sama bergiat aktif dalam kegiatan sukarelawan, kemasyarakatan, sukan dan kebudayaan.

Beliau berkata, bagi tujuan itu, tahap prestasi kerja dan pembabitan aktif penjawat awam dalam semua aktiviti sepanjang 2011 akan dinilai bagi tujuan berkenaan.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen

Adam

Semakan Sistem Saraan Malaysia, seharusnya melibatkan semakan KENAIKAN Gaji Kakitangan Awam. Kalau sistem sahaja yang diubah, tetapi tidak melibatkan sebarang kenaikan gaji, tidak memberi makna kepada penjawat Awam. Kenaikan harga barang yang tidak terkawal dan kos sara hidup melambung, sewajarnya diberi keutamaan oleh kerajaan. Penjawat AWAM akan menunggu JANJI kerajaan untuk meningkatkan pendapatan rakyatnya dalam MEB. Kita tunggu dan lihat.

zul

Sepatutnya kerajaan tambahkan 20% ganjaran kepada yang bersara awal yang telah berkhidmat melebihi 30 tahun kerana boleh menjimatkan banyak wang kerajaan kerana bersara awal pada hal produktiviti dah tak setimpal dengan gaji yang terlalu tinggi.

roslina bt ibtahim

terima kasih

princelancer

Asyik2 penjawat awam je dapat kemudahan dari kerajaan, bagaimana dengan penjawat swasta,kerap dipinggirkan?

Ishak Siraj

Terima kasih Datuk Seri.....Bolehlah kita "orang lama" bersara awal. Beri peluang orang muda berkerja.Dapat kurangkan penganguran..

misbahuddin kusnin

sekali air bah sekali pasir berubah.

waheeda aefa

ganjaran telah diumumkan dapat sepenuhnya. saya ingin memohon penjelasan dari pihak Kementerian samada bayaran pencen individu akan dibayar bermula persaraan awal atau terpaksa menunggu hingga tempoh persaraan iaitu 56 tahun

Othman Sitlin

Terimasih kpd keprihatinan kerajaan kpd k/t awam....walaubagaimanapun,kerajaan perlu mengkaji semula imbuhan perumahan yg jauh berbeza antara k/tgn persekutuan yg berasal dr Sabah dgn dr Semenjung....juga imbuhan kakitangan awam.....trmkasih.....

sri siantan

Syukur. Ramai yang boleh bersara awal untuk menumpukan kepada ibadah, berniaga sendiri atau beri peluang pekerjaan kepada kepada orang lain. Terima kasih, kerajaan.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan