Utusan Online - Dalam Negeri |
- Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta
- Ada pihak bimbang kejayaan 1Malaysia
- Muhyiddin cabar Anwar serah DNA
Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta Posted: Nilai semula penggunaan bahasa Melayu di sektor awam, swasta
KUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, satu kaedah perlu dirangka bagi menilai tahap pencapaian dalam penggunaan bahasa Melayu di kalangan sektor awam dan swasta untuk satu jangka masa yang telah ditetapkan. Timbalan Perdana Menteri berkata, ia bagi memastikan segala dasar dan perancangan pembangunan negara tercapai dengan optimum dalam era kepimpinan negara yang menekankan kepada Indeks Prestasi Utama (KPI). Penilaian itu, jelas beliau, menjurus kepada tahap penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantara dengan diberi keutamaan dan status yang sewajarnya. "Sebagai contoh dalam urusan surat menyurat, pengendalian mesyuarat, ucapan dan perbincangan. ''Selain itu, risalah dalam menyampaikan maklumat organisasi kepada masyarakat bagi tujuan promosi dan publisiti juga sewajarnya mendahulukan bahasa Melayu," katanya. Beliau berucap merasmikan Program Pembudayaan Bahasa anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi Dan Kebudayaan di Kompleks Kraf Tangan, hari ini. Hadir sama, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim; timbalannya, Datuk Joseph Salang Gandum dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Kamaruddin Siaraf. Muhyiddin menambah, bahasa Melayu amat penting kerana ia menjadi benteng bagi memperteguh jati diri bangsa. Ini kerana menurut beliau, suasana dan persekitaran yang mewujudkan bahasa Melayu ditunjangi dengan nilai kesantunan yang tinggi dan budaya ketimuran. "Terdapat banyak nilai baik di dalamnya yang boleh kita jadikan panduan dan pedoman," katanya. Muhyiddin berkata, globalisasi dan ledakan teknologi maklumat hari ini telah melahirkan dunia tanpa sempadan dan sekatan. Interaksi manusia, jelas beliau, menjadi semakin luas dan pantas melalui bukan sahaja secara bersemuka, atas talian malah di alam siber. "Kita juga seharusnya tidak ketinggalan dan perlu seiringan dengan perubahan yang berlaku dan jangan sesekali berundur ke belakang," katanya. Menurut Muhyiddin, situasi hari ini sedikit sebanyak telah mempengaruhi penggunaan bahasa Melayu yang mana unsur-unsur keunikan serta keagungannya menjadi longgar, rapuh dan mudah dicemari kerana dicampur aduk penggunaannya dengan bahasa-bahasa lain sewenang-sewenangnya. Pencemaran bahasa itu, katanya, sedikit sebanyak telah menghakis identiti asli bahasa Melayu dan rasa hormat terhadap bahasa Melayu turut pudar kerana dicampur aduk mengikut selera dan kehendak hati. "Ledakan ini telah menjadikan bahasa Melayu semacam berada di belakang berbanding bahasa-bahasa lain," katanya. Akibatnya kata Muhyiddin, kelangsungan bahasa Melayu mendepani zaman sekarang melalui saat yang sangat getir. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Ada pihak bimbang kejayaan 1Malaysia Posted: Ada pihak bimbang kejayaan 1MalaysiaKUALA LUMPUR 17 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, penerimaan rakyat yang semakin meningkat terhadap gagasan 1Malaysia menyebabkan ada pihak bimbang dan sentiasa mencari muslihat untuk menimbulkan penafsiran yang berbeza serta mengelirukan mengenainya. Perdana Menteri berkata, pihak tersebut juga akan sentiasa mencari jalan untuk memutarbelitkan fakta, mengaburkan perkara yang jelas dan menggelapkan yang terang demi mewujudkan modal politik yang boleh ditabur kepada rakyat. "Sudah tentu kejayaan gagasan 1Malaysia kurang disenangi oleh pihak tertentu yang hanya memikirkan manfaat politik yang dapat diraih apabila berlaku persengketaan dan perselisihan faham antara kaum. "Golongan ini tidak perlu dipedulikan, yang jelas sebilangan besar rakyat menerima 1Malaysia sebagai konsep yang mengeratkan talian muhibah di kalangan semua kaum selain menyemarakkan semangat cinta kepada negara. Inilah matlamat utama gagasan ini diperkenalkan," katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini. Beliau menjawab soalan Zulkifli Noordin (Bebas-Kulim-Bandar Baharu) yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang mengolah semula konsep 1Malaysia supaya tidak diputarbelitkan oleh pihak tertentu sehingga memberi persepsi mengelirukan kepada rakyat dengan penafsiran yang berbeza dan pelbagai. Perdana Menteri menambah, sejak pelancaran gagasan 1Malaysia sebaik sahaja beliau mengambil alih tampuk kepimpinan negara pada 3 April 2009, penerimaan rakyat terhadap gagasan itu amat memberangsangkan. "Pada peringkat awal ada pihak yang cuba memanipulasikan 1Malaysia bagi mewujudkan polemik demi kepentingan politik mereka, namun dengan penjelasan yang terperinci di pelbagai peringkat, penerimaan yang amat baik jelas kelihatan di kalangan rakyat," katanya. Menjawab soalan tambahan Zulkifli yang ingin tahu sama ada kerajaan bercadang membuat penjenamaan 1Malaysia kepada konsep Malaysian-First dengan slogan 'Negara Didahulukan, Rakyat Diutamakan', Perdana Menteri berkata, penjelasan lebih terperinci mengenai 1Malaysia perlu diberi keutamaan. "Saya anggap walaupun kita telah banyak beri penjelasan dan penerimaan pun semakin ketara, tetapi penjelasan demi penjelasan perlu diberikan supaya kita sampai ke satu peringkat di mana gagasan ini difahami sepenuhnya," katanya. Perdana Menteri berkata, pemahaman terhadap 1Malaysia perlu dihubungkaitkan dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' iaitu prinsip yang boleh membawa kekuatan kepada negara. Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong) mengenai langkah kerajaan bagi menghadapi pihak-pihak yang mahu menjejaskan perpaduan negara, Najib berkata, golongan itu tidak dapat dielakkan. "Dalam sebuah masyarakat yang begitu kompleks, memang akan ada masalah. Sebab itu kita ada 1Malaysia iaitu nilai yang boleh dihayati setiap rakyat untuk mengurangkan masalah antara kaum," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Muhyiddin cabar Anwar serah DNA Posted: Muhyiddin cabar Anwar serah DNAKUALA LUMPUR 17 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar Datuk Seri Anwar Ibrahim (gambar) menyerahkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) kepada mahkamah untuk menyelesaikan kes liwatnya jika beliau benar-benar tidak melakukan sebarang kesalahan. Timbalan Perdana Menteri berkata, Anwar tidak perlu memutar-belit persoalan pokok berhubung kes liwat itu kerana desakan supaya beliau menyerahkan DNA adalah suara umum rakyat Malaysia. "Buat apa Anwar perlu takut kerana pendakwaan kes liwat bukan isu politik, sebaliknya isu perundangan yang keputusannya terletak pada mahkamah. "Kalau dia tidak lakukan apa-apa kesalahan macam saya, berilah DNA. Saya tiada masalah, saya boleh bagi DNA kepada pihak berkuasa. Soalnya rakyat hendak tahu kebenaran. Jadi, dia (Anwar) janganlah putar belit, kaitkan dengan pihak lain pula. Tidak ada kena mengena langsung kerana inilah kes yang sedang dibicara," katanya di bangunan Parlimen hari ini. Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Anwar yang berterusan cuba mengaitkan pihak lain dalam isu desakan rakyat supaya beliau menyerahkan DNA kepada mahkamah. Ahad lalu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), rakyat perseorangan dan pemimpin politik mengadakan siri demonstrasi di seluruh negara bagi mendesak Anwar menyerahkan DNA. Kata Muhyiddin, lagi cepat Anwar serahkan DNA, maka lebih cepat kebenaran diketahui. Menurutnya, ketua pembangkang itu sepatutnya memenuhi tuntutan rakyat dan bukannya mencipta seribu satu alasan yang tidak munasabah. "Kalau Anwar tahu dia tak bersalah, apa nak takut, buat sajalah dan lepas itu mahkamah akan dapat bukti kukuh untuk membuat keputusan yang rakyat nanti-nantikan," katanya. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan