Jumaat, 18 Mac 2011

Berita Harian: Wilayah

Berita Harian: Wilayah


Sentral: 'Kami dianiaya'

Posted: 17 Mar 2011 01:13 PM PDT

Wilayah

LAILA menunjukkan paip getah yang disyaki sengaja dipotong  pihak tidak bertanggungjawab  di PPRT Solok Kampung Baru, Bukit Katil.

LAILA menunjukkan paip getah yang disyaki sengaja dipotong pihak tidak bertanggungjawab di PPRT Solok Kampung Baru, Bukit Katil.

Penghuni rumah PPRT Solok Kampung Baru syak paip getah sengaja dipotong punca bil tinggi

BUKIT KATIL: Seorang penghuni rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di Solok Kampung Baru dekat sini, terkejut apabila diminta menjelaskan bayaran bil air berserta tunggakan berjumlah RM850.03 oleh Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) Februari lalu.

Tukang cuci, Laila Tompang, 54, berkata jumlah itu disifatkan tidak masuk akal apabila beliau yang menghuni rumah itu bersama suami dan dua anaknya tidak pernah gagal menjelaskan bayaran bil air pada setiap bulan sebelum ini. "Saya panik apabila mula menerima bil air dengan nilai tidak munasabah sebanyak kira-kira RM500 pada Januari lalu. Bulan berikutnya pula, SAMB menghantar notis peringatan terakhir yang meminta saya menjelaskan bayaran bil air berjumlah RM36.15 dengan tunggakan RM813.88.

"Notis berkenaan bukan saja mengelirukan, malah tidak masuk akal kerana penggunaan air kami sekeluarga di rumah juga tidak mencecah sehingga nilai tertera pada bil. Biasanya ia dalam lingkungan RM20 hingga RM90 sebulan," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini, semalam.

Laila berkata, beliau juga pernah meminta bantuan SAMB dan Pejabat Ketua Menteri bagi menyelesaikan masalah itu kerana khuatir bekalan air dipotong jika gagal menjelaskan bil itu.

"Bagaimanapun, maklum balas daripada kedua-dua pihak itu belum diterima sehingga hari ini. Pernah juga saya menangis memikirkan cara untuk mendapatkan wang bagi membayar bil terbabit.
"Dengan pendapatan RM500 sebulan dan duit hasil tanaman getah yang diterima suami setiap tiga bulan sekali, manalah mampu kami membayar tunggakan bil sebanyak itu," katanya.

Laila berkata, beliau juga bimbang sekiranya peningkatan bil air berkenaan berpunca daripada kebocoran saluran paip getah yang disambungkan ke meter air yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya yang diduduki sejak beberapa tahun lalu.

"Setiap dua minggu, paip getah ini akan bocor atau putus sama ada kerana dipotong atau dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

"Saya pernah memohon kepada SAMB supaya memindahkan meter dan paip berkenaan lebih hampir dengan kawasan rumah bagi memudahkan saya memantaunya, namun bayaran yang diminta untuk kerja pemindahan itu terlalu tinggi, iaitu hingga mencecah RM500," katanya.

Laila berkata, beliau berharap pihak berwajib dapat membantu menyelesaikan masalah yang dihadapinya bagi memastikan bekalan air yang menjadi keperluan utamanya sekeluarga tidak terputus.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Wilayah: Pasar Besar Kuantan perlu dibaiki

Posted: 17 Mar 2011 12:46 PM PDT

Wilayah

CHANG (kanan) menunjukkan bumbung  bocor bahagian luar   Pasar Besar Kuantan.

CHANG (kanan) menunjukkan bumbung bocor bahagian luar Pasar Besar Kuantan.

Bumbung bocor, longkang terdedah jejas keselesaan pelanggan, peniaga

KUANTAN: Lebih 100 peniaga yang menjalankan perniagaan mereka di bahagian luar Pasar Besar Kuantan, di sini merayu pihak berkuasa tempatan (PBT) menyelesaikan masalah membabitkan kemudahan infrastruktur di premis dan tapak perniagaan mereka yang berlarutan sejak lebih 10 tahun lalu.

Mereka mendakwa masalah kebocoran di bahagian bumbung, longkang tersumbat, penutup longkang pecah di sekitar tapak perniagaan itu boleh mengancam keselamatan mereka serta menimbulkan ketidakselesaan kepada orang ramai yang mengunjungi kawasan itu. Ahli Jawatankuasa Persatuan Penjaja Kuantan, Yap Yak Din, 67, berkata pihaknya beberapa kali membuat aduan kepada Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), namun sehingga kini ia belum dapat diselesaikan.

"Sudah lebih 10 tahun, kami berniaga dalam keadaan tidak selesa dan kerap menerima rungutan daripada pembeli yang tidak tahan dengan bau longkang.

"Saya bimbang jika perkara ini tidak diselesaikan segera, orang ramai tidak mahu lagi datang ke sini," katanya ketika ditemui di sini.

Yap yang sudah 16 tahun berniaga di situ berkata, mereka berharap pelbagai pihak lebih prihatin untuk membantu menyegerakan kerja membaik pulih kerosakan itu.
Rakannya, Rosli Mahmud, 48, berkata masalah longkang tersumbat di hadapan kedainya sudah lama berlaku dan pernah mengemukakan aduan kepada MPK untuk tindakan.]

"Keadaan itu akan berlarutan jika sistem saliran tidak dibaiki kerana setiap kali hujan, banyak sampah terutama botol plastik dan plastik makanan ringan ditemui dalam longkang bertakung," katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Chang Hong Seong, yang melawat tempat itu berkata, pihaknya menerima rungutan berhubung masalah terbabit sejak setahun lalu dan usaha menyelesaikannya akan dilakukan secepat mungkin melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan MPK.

"Kita akan menyiapkan kertas kerja berhubung masalah ini sebelum diserahkan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tindakan selanjutnya.

"Saya menunggu laporan Bahagian Penyelenggaraan MPK sebelum memohon peruntukan daripada kementerian bagi melaksanakan kerja baik pulih itu," katanya yang sudah dua kali mengadakan lawatan ke situ dalam tempoh enam bulan.

Chang berkata, peruntukan antara RM200,000 hingga RM300,000 diperlukan untuk menukar bumbung deretan kedai yang bocor, manakala kerja menukar penutup dan membina longkang baru pula dianggarkan RM300,000.


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan