Ahad, 13 Mac 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


371 rakyat Malaysia di Jepun dilaporkan selamat

Posted:

371 rakyat Malaysia di Jepun dilaporkan selamat

371 rakyat Malaysia di Jepun dilaporkan selamat

KUALA LUMPUR 12 Mac - Rakyat Malaysia yang tinggal di kawasan paling teruk terjejas dalam kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun semalam, dipindahkan ke kawasan selamat oleh kerajaan negara itu.

Wisma Putra dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, kerajaan Jepun juga dilaporkan telah mengambil segala langkah perlu bagi membantu penduduk yang terjejas.

Kata kenyataan itu, Kedutaan Malaysia di Tokyo juga setakat pukul 3 petang ini telah berjaya menghubungi 371 rakyat dan pelajar Malaysia yang tinggal berdekatan kawasan bencana dan mereka disahkan berada dalam keadaan selamat.

''Selain itu, pihak kedutaan juga telah berhubung dengan rakyat dan penuntut Malaysia di kawasan lain di negara berkenaan.

''Setakat ini kesemua mereka selamat dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan. Wisma Putra dan kedutaan juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung kejadian berkenaan,'' kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, Wisma Putra meminta mereka yang ingin menghubungi ahli keluarga di Jepun supaya menggunakan laman web yang disediakan Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) iaitu http://www.familylinks.icrc.org/Web/doc/siterfl0.nsf/htmlall/familylinks-japon-eng.

Selain itu, bilik operasi 24 jam turut dibuka di Wisma Putra dan kedutaan negara di Tokyo untuk memaklumkan perkembangan terkini.

''Pada masa sama, Malaysia juga menawarkan khidmat Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas (SMART) untuk membantu Jepun mencari dan menyelamatkan mangsa bencana tersebut,'' ujarnya.

Semalam, tsunami setinggi 10 meter kesan daripada gempa bumi berukuran 8.9 pada skala Richter yang terkuat pernah dicatatkan melanda Jepun, meragut beribu-ribu nyawa penduduk ketika ia menghentam bot, kereta dan kediaman manakala kebakaran meletus tanpa kawalan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

'Pelajar kita selamat' - Khaled

Posted:

'Pelajar kita selamat' - Khaled

'Pelajar kita selamat' - Khaled

JOHOR BAHRU 12 Mac - Seramai 2,465 pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian di Jepun dilaporkan selamat daripada bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda negara itu semalam.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberitahu, daripada jumlah tersebut kira-kira 300 pelajar berada dalam kawasan yang dilanda bencana itu.

Katanya, seramai 12 pelajar yang sedang mengikuti pengajian di Universiti Tohoku kini diletakkan di pusat pemindahan bencana dan berada dalam keadaan selamat.

"Terdapat pelajar kita yang menetap di Iwate masih tinggal di rumah masing-masing, namun kita sudah menasihatkan mereka untuk berpindah ke pusat pemindahan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Pertemuan Nostalgia Bekas Pelajar English College (EC) yang kini dikenali Maktab Sultan Abu Bakar sempena majlis sambutan EC ke arah 100 tahun.

Difahamkan, daripada 2,465 pelajar, 1,327 merupakan pelajar tajaan kerajaan, 201 tajaan kerajaan Jepun manakala 937 orang pula membiayai sendiri pengajian mereka di sana.

Sementara itu, seramai 207 penuntut tajaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Jepun turut dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, ia berikutan kesemua penuntut terbabit tidak berada di kawasan gempa sebaliknya pusat-pusat pengajian mereka terletak jauh dari tempat berlakunya bencana.

Justeru, beliau meminta ibu bapa tidak perlu bimbang dengan tahap keselamatan anak masing-masing apatah lagi kedudukan penuntut Malaysia sentiasa diawasi dan dipantau oleh kedutaan di Jepun serta Wisma Putra di sini.

''Daripada 207 penuntut kita di sana, 131 berada di Tokyo manakala selebihnya berada di sekitar Tokyo. Jarak antara Tokyo dengan kawasan gempa juga adalah jauh.

''Saya minta ibu bapa tidak perlu bimbang. Tambahan pula Jepun merupakan sebuah negara yang sentiasa bersedia dengan setiap malapetaka dan saya juga dimaklumkan penduduk yang tidak berada di kawasan gempa telah mula menjalani kehidupan seperti biasa,'' katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Pendidikan Mara Peringkat Kebangsaan 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Gosip paling mengarut - Maya Karin

Posted:

Gosip paling mengarut - Maya Karin

Gosip paling mengarut - Maya Karin

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL shazryn.faizal@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Mac - Aktres terkenal, Maya Karin Roelcke, 30, atau Maya Karin menafikan dia menjalin hubungan dengan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Effendi Norwawi, 62.

Bagi Maya, gosip tersebut adalah sesuatu yang tidak berasas dan langsung tidak masuk akal kerana dalam zaman serba moden ini, sesiapa sahaja boleh menyampaikan apa jua berita tanpa usul periksa terlebih dahulu.

Malah katanya, pepatah lama 'kalau tiada angin, masakan pohon bergoyang' pada hari ini dilihat tidak begitu relevan apabila ada pihak cuba mengaitkannya dengan cerita yang tiada asas kukuh dan bukti sahih.

"Saya menganggap gosip yang mengaitkan saya dengan beliau merupakan sesuatu yang bodoh dan seratus peratus mengarut. Semua itu tidak benar sama sekali.

"Sekarang ini sesiapa sahaja dapat mencetuskan cerita palsu sedangkan mungkin ketika itu mereka tersalah pandang atau barangkali ia pelanduk dua serupa.

"Tanpa menunggu lama, mereka terus menyebarkan cerita itu dan dari kecil ia dengan pantas menjadi besar.

"Bagi saya sudah tiba masanya untuk menghentikan adat menyebarkan gosip busuk seperti ini kerana mereka yang menyebarkan fitnah seperti ini dengan senangnya membuat orang yang tidak bersalah menderita," kata Maya dalam nada tegas ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, nama Maya dikaitkan dengan beberapa artis lelaki iaitu pengarah filem Hikayat Merong Mahawangsa, Yusry Abdul Halim dan pelakon kacak, Remy Ishak selepas bercerai dengan Steven David Shorthose pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Maya juga menafikan dia mempunyai hubungan istimewa dengan Yusry dan Remy sambil menyifatkan mereka hanyalah teman seperjuangan dalam industri seni.

Tambah Maya, dia memang berkawan baik dengan salah seorang anak Effendi iaitu Elyna dan mereka juga sudah bertemu dua hari lalu untuk membincangkan soal tersebut yang pada hemat mereka merupakan satu lawak jenaka.

Namun begitu, pelakon yang akan muncul dengan filem terbarunya, Cun, tidak lama lagi itu tidak menafikan mengenali Effendi dan pernah bertemu di tiga buah majlis berbeza dan turut dihadiri isteri Effendi, Datin Seri Tiara Jacquelina.

Dalam masa sama juga, aktres berstatus janda itu melahirkan rasa bimbang jika hubungan baiknya dengan Tiara akan terjejas gara-gara cerita palsu itu.

"Saya percaya Tiara seorang yang berfikiran positif dan yakin segala apa yang tersebar itu adalah sesuatu yang tidak boleh dipercayai serta rekaan semata-mata.

"Begitu juga dengan saya, kerana apa yang penting buat saya sekarang ini adalah untuk terus menumpukan perhatian pada karier dan kehidupan saya. Saya mahu berfikir secara positif dan gosip yang tidak berfaedah ini langsung tidak memberikan apa-apa impak buat diri saya," ujarnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan