Isnin, 21 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Kosmo Online - Rencana Utama


Eksentrik seorang Muammar Gaddafi

Posted:

Eksentrik seorang Muammar Gaddafi

Eksentrik seorang Muammar Gaddafi

Oleh ZAMRI RAMBLI dan MOHD. YUNUS YAKKUB



BEKAS Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu, anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry pula menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.

Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. Namun, gelaran bersifat antagonis itu sebenarnya banyak disumbangkan oleh ideologi, gaya kepimpinan, kelantangan bersuara, kekejaman dan seterusnya kerakusan hati seorang pemimpin dunia.

Memimpin sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak di utara Afrika selama 42 tahun, tempoh tersebut mungkin terlalu lama untuk Gaddafi.

Atas sebab itulah, apabila negara-negara Arab bergolak dengan kebangkitan rakyat bermula di Tunisia, Jordan dan Mesir, tempias kemarahan rakyat kepada pemerintahan yang terus memewahkan Gaddafi turut melanda pemimpin itu sejak 15 Februari lalu.

Jika rakyat Mesir hanya memerlukan 14 hari untuk menumbangkan Presiden Hosni Mubarak, ternyata dengan kekuatan tentera dan sokongan padu penyokong kuatnya, pemimpin berusia 69 tahun itu tidak mudah mengangkat bendera putih.

Penggunaan kuasa tentera oleh Gaddafi menyaksikan empat hari lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai AS dan sekutunya Britain dan Perancis membenarkan serangan dari laut dan udara atas alasan untuk melindungi penduduk awam Libya.

Lampu hijau PBB itu sejak Sabtu lalu menyebabkan peluru berpandu canggih Tomahawk mula menerjah bumi Libya. Terbaru, bedilan demi bedilan peluru berpandu AS dan sekutunya turut meranapkan kediaman tiga tingkat yang dihuni Gaddafi.


KEPALA seekor kambing digantungkan pada hujung muncung sebuah kereta kebal milik tentera Gaddafi yang dimusnahkan pemberontak dalam satu serangan di sebuah lokasi di Benghazi dan Ajdabiyah.


"Ia pengeboman yang kejam," ujar jurucakap kerajaan Libya, Mussa Ibrahim yang mengutuk serangan itu sambil menegaskan ia bertentangan dengan kenyataan AS dan Barat yang menyatakan tidak akan menjadikan lokasi itu sebagai sasaran. Enggan mendedahkan lanjut lokasi persembunyian Gaddafi, Mussa turut tidak menyatakan sama ada pemimpin tersebut berada di kediaman itu semasa pengeboman tersebut.

Apa yang pasti, kebangkitan rakyat sendiri diketuai pemimpin pembangkang, kemarahan dunia dan serangan demi serangan AS dan sekutunya meletakkan nasib Gaddafi kini bagaikan telur di hujung tanduk.

Meraih sokongan

Ia sama sekali bertentangan dengan zaman kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Gaddafi. Menurut Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd. Mokhtar, pada tahun 1970-an semasa kebangkitan dunia Islam di Asia Barat, Gaddafi pernah disanjung sebagai seorang hero.

Dengan kelantangannya memberi sokongan terhadap perjuangan menentang Israel dalam membela penindasan terhadap penduduk Palestin, Gaddafi meraih bukan sedikit sokongan masyarakat Islam.

Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirt pada tahun 1942, dia mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain di sekolah Islam.

Memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961, kekecewaan dengan kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mempunyai ideologi tersendiri.

Impian pegawai tentera muda itu ketika itu mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan dan menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris.

Mengetuai sekumpulan pegawai tentera muda yang sarat dengan semangat juang ketika itu, Gaddafi berjaya merampas kuasa membentuk Republik Arab Libya.


KONVOI terdiri daripada 18 trak yang membawa bantuan kemanusiaan ke Benghazi melepasi sebuah kereta kebal tentera Libya.


"Penghasilan sebuah buku bertajuk The Green Book pada tahun 1975 oleh Gaddafi yang menyatakan inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam membolehkan Gaddafi mendapat pujian ramai," ujar Tunku Mohar ketika dihubungi.

Sementara itu, Pakar Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum A. Jawan menyatakan, Gaddafi menjadi hero di mata penduduknya dan dunia apabila menjadikan AS sebagai musuh ketat pada awal pemerintahannya.

"Gaddafi seorang pemimpin yang bijaksana. Selepas menyingkirkan pemerintahan diraja melalui satu revolusi ketenteraan dan berjaya membentuk Republik Arab Libya, Gaddafi menjadikan AS sebagai musuh ketat. Ia menjadi satu ideologi yang sangat berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak," ujar beliau.

Bagaimanapun, katanya mungkin selepas empat dekad, Gaddafi yang dikenali rakyatnya dan dunia merupakan individu yang berbeza.

Salah guna kuasa

Ujar Tunku Mohar, Gaddafi ialah seorang pemimpin yang eksentrik dan mempunyai keyakinan yang sangat tinggi selain sentiasa mengekalkan semangat Badwi.

Namun, selepas tekanan dunia apabila dikaitkan dengan pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, ia menjadi titik tolak kepada perubahan pendekatan dasar luar lelaki itu yang juga dipanggil Kolonel Gaddafi.

Nada keras Gaddafi tidaklah sekuat dahulu, walaupun adakalanya tetap sinis terhadap dunia Barat.

Bahkan, Gaddafi juga mula menunjukkan belangnya mengenai pemerintahannya yang lebih kepada sekularisme dan tidak pro Islamik.

"Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.

"Malah, dalam setiap programnya di luar negara, Gaddafi tanpa segan silu meminta sekurang-kurangnya seorang wanita untuk berdamping dengannya," ungkap Tunku Mohar yang menjelaskan lagi gaya eksentrik Gaddafi.


SERANGAN bertalu-talu tentera AS dan sekutunya ke atas kubu tentera Gaddafi di sebuah lokasi antara Benghazi dan Ajdabiyah di Libya.


Pemimpin itu sendiri menubuhkan satu batalion yang terdiri daripada pengawal peribadi wanita yang digelar media Barat sebagai Amazonian Guard untuk menjaga keselamatannya.

Menambahkan keanehan sikap Gaddafi, selain dipilih sendiri oleh dirinya, anggota pasukan pengawal itu juga haruslah masih dara.

Kemuncak kepada kemarahan rakyat, apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan, kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion).

"Walaupun ini mungkin satu alasan kepada AS dan sekutunya membalas dendam kepada kelantangan dan kekejaman Gaddafi, bagaimanapun kebangkitan rakyat menentang pemerintahan pemimpin itu memang tidak boleh disangkal lagi.

"Selama empat dekad pemerintahannya, rakyat Libya telah dididik dengan ideologi Gaddafi termasuk silibus khas The Green Book dan bahasa Inggeris dikeluarkan daripada mata pelajaran di sekolah.

"Bagaimanapun, apabila dunia semakin moden, pendedahan rakyat Libya terhadap media seperti Al-Jazeera serta Internet akhirnya membuka mata mereka untuk melawan Gaddafi," kata seorang penganalisis politik tempatan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan