Kosmo Online - Rencana Utama |
Posted: Cara Jepun lawan tsunamiJika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik. KEMUDAHAN gas asli di Miyagi terbakar selepas gempa bumi. JAM dinding di pejabat akhbar Wall Street Journal yang terletak di tengah-tengah pusat perniagaan di bandar Tokyo menunjukkan pukul 6.57 pagi. Wartawan akhbar itu, Yuka Hayashi bersama rakan-rakannya baru sahaja ingin memulakan rutin harian mereka apabila bilik berita yang menempatkan mereka mengalami gegaran kuat. "Beberapa saat selepas itu, satu laporan diterima mengatakan timur laut Jepun dilanda gempa bumi yang besar. "Untuk beberapa ketika, kami semua terpaku sehinggalah keadaan di pejabat kami bertukar kelam-kabut. "Gegaran yang semakin kuat mengakibatkan ramai di antara kami tidak mampu berdiri sehingga terpaksa berpaut pada kerusi dan meja. Ada juga yang menyorok di bawah meja. "Apa yang dapat diperhatikan dari tingkap pejabat yang terletak di tingkat 19, bangunan-bangunan tinggi yang berada di tengah-tengah pusat perniagaan Tokyo semuanya bergegar kuat dan ia berlangsung selama beberapa minit. "Ada yang cuba untuk keluar dari bangunan menggunakan tangga kecemasan, ada juga yang mencapai topi keledar keselamatan dan menangis kerana terlalu terkejut. "Lebih membimbangkan, cubaan untuk menghubungi keluarga gagal. Mujur juga e-mel masih boleh dikemas kini. "Untuk mendapat perkembangan terkini, kami hanya bergantung kepada laman portal akhbar Jepun yang memberikan perkembangan terkini mengenai kejadian gempa dan tsunami," cerita Hayashi di dalam blog Japan Real Time-WSJ. Gempa dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur laut Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer (km) itu turut menghasilkan gelombang tsunami pada kelajuan 1,000 kilometer sejam. Sendai terletak 400 km dari Tokyo. Puluhan bandar dan kawasan penempatan di sepanjang 2,100 km di pantai timur Sendai turut merasai gegaran gempa yang paling kuat sejak 140 tahun lalu itu.
Lebih menyedihkan, ombak panjang setinggi 10 meter yang mengganas itu bukan sahaja menggoncang plat bumi Jepun, malah turut menjadi pencetus kepada beberapa siri tanah runtuh dan kebakaran besar yang menyebabkan bekalan elektrik serta telekomunikasi terputus. Air hitam Di beberapa kawasan lain seperti di Isago, Yokohama, asap hitam menyelubungi sebahagian besar kawasan perindustrian tersebut sementara di bandar lain di utara Jepun seperti di Kamaichi dan Kensennuma, kapal-kapal, trak, kereta dan kenderaan ringan dihanyutkan air hitam yang dipenuhi sampah sarap. Sebuah pelabuhan di bandar Iwaki dijilat api, begitu juga di bandar Yamada. Selain puluhan ribu penduduk terutama di bahagian utara Jepun terpaksa berdepan dengan kemusnahan tempat tinggal, ribuan pekerja di loji nuklear di Dai-ichi, Fukushima pula terpaksa berdepan dengan risiko gas radioaktif dari kawasan kilang yang rosak teruk akibat bencana yang sangat dahsyat itu. Lewat petang semalam, stesen televisyen Jepun melaporkan empat pekerja loji nuklear cedera parah dalam kejadian letupan di salah satu bangunan reaktor yang rosak teruk. Sejarah DETIK-DETIK ombak gergasi melanda pesisiran Iwanumi, Miyagi. Sehingga semalam, pihak berkuasa Jepun telah mengeluarkan statistik rasmi di mana 413 mayat telah ditemui, 784 masih hilang manakala 1,128 mangsa dilaporkan cedera. Angka tersebut dijangka bertambah memandangkan gempa skala besar itu masih baru dan misi menyelamat baru sahaja dimulakan. Kedudukan Jepun yang terletak di dalam Lingkaran Api Pasifik meletakkan ia sebagai negara yang paling aktif menerima gempa bumi. Lantaran itu, tidak mustahil jika Jepun diiktiraf sebagai negara yang mempunyai teknologi mengurangkan impak bencana alam dan kecekapan dalam sistem pengurusan bencana terbaik di dunia. "Agensi Meteorologi Jepun mampu menyebarkan maklumat mengenai bencana tsunami dalam masa tiga minit," kata Dekan Fakulti Pengurusan Universiti Kyoto, Jepun, Dr. Kiyoshi Kobayashi. Orang Jepun memperkenalkan istilah tsunami, bermaksud ombak gergasi, kepada dunia. Sememangnya fenomena laut naik ke darat itu menjadi sebahagian daripada sejarah Jepun. Tsunami yang dijana oleh gempa bumi, berlaku beratus-ratus kali setahun di Negara Matahari Terbit itu. Gempa pesisiran pantai pada tahun 1707 dikatakan menyebabkan Pulau Shikoku ditenggelami ombak tsunami dan membunuh beribu-ribu penduduk. Sebelum itu pada abad ke-15, ombak gergasi telah memusnahkan sebuah dewan yang menempatkan Daibutsu iaitu sebuah patung Buddha gangsa yang besar di Kamakura, sebuah pekan di selatan Tokyo. Jepun terletak di atas beberapa plat tektonik menyebabkan ia mengalami kira-kira 1,000 gegaran setahun. Pada tahun 1923, satu gempa bumi besar melanda Tokyo. Dikenali sebagai gempa bumi Great Kanto, gempa sekuat 7.9 pada skala Ritcher itu mengakibatkan kebakaran rumah-rumah kayu dan membunuh 100,000 orang. 72 tahun kemudian, satu lagi gempa berukuran 7.9 melanda bandar pelabuhan Kobe di barat Jepun. Banyak lebuh raya bertingkat berguguran dan beribu-ribu bangunan hancur. Kereta api laju JEPUN mempunyai sejarah panjang kemusnahan akibat gempa bumi dan tsunami. Dikatakan satu daripada lima buah bangunan di Kobe musnah sama sekali. Seramai 6,400 orang terbunuh dan lebih 400,000 cedera. Api marak di seluruh bandar itu. Kerajaan Jepun telah memberi perhatian serius kepada bencana tsunami dan gempa bumi. Apabila berlaku gempa, data yang mengandungi magnitud dan lokasi serta-merta disiarkan oleh stesen televisyen kebangsaan NHK. Mesej itu turut memuatkan sama ada amaran tsunami telah dikeluarkan. Di kebanyakan pekan dan bandar, sistem pembesar suara boleh menyalurkan maklumat kecemasan kepada penduduk. Di kawasan luar bandar, penduduk juga memiliki radio yang diagihkan oleh kerajaan tempatan di mana arahan berpindah boleh didengar. Kanak-kanak dilatih menyorok di bawah meja semasa gempa. Semua orang dewasa diberitahu di mana pusat penempatan sementara terdekat dengan kediaman mereka sama ada di padang atau taman. Pemeriksaan infrastruktur tidak dilupakan. Bangunan-bangunan pencakar langit di bandar-bandar utama direka supaya boleh bergoyang mengikut gegaran gempa, menjadikannya lebih selamat. Sesetengah kawasan pantai mempunyai tempat perlindungan tsunami, sementara yang lain membina pintu banjir untuk bertahan daripada ombak itu. Jika berlaku gempa bumi pada magnitud tertentu pula, kereta api laju dan loji nuklear akan terhenti secara automatik. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Zee leka bina kekOleh SITI NOR AFZAN KASIMAN ZEE menghias kek sempena ulang tahun sebuah syarikat swasta di rumahnya yang terletak di Setia Alam, Shah Alam, Selangor. DALAM majlis sambutan ulang tahun kelahiran atau majlis resepsi perkahwinan, acara memotong kek dianggap sebagai momen kemuncak yang dinanti-nantikan. Jika 10 atau 15 tahun dahulu, tradisi memotong atau memakan kek hanya dilihat pada hari-hari istimewa dan masih menjadi pilihan kedua selepas pulut kuning, kini keadaan telah berubah. Sudah banyak kedai kek atau kafe yang menyediakan hidangan kek untuk masa santai seperti minum petang. Ini tidak termasuk pengusaha yang membakar kek di rumah dan menjualnya di laman maya seperti blog. Antara individu yang aktif menjual kek di laman maya ialah Zee Helena Abdul Rahman, 32. Ditegur Dia yang tidak mempunyai pendidikan khusus dalam bidang pastri atau kulinari memilih untuk melepaskan jawatannya sebagai pegawai teknologi maklumat (IT) di sebuah syarikat di ibu kota dan mula membakar kek dan menjualnya di blog. "Saya memang suka ke dapur, lebih-lebih lagi kalau dapat peluang membuat kek. "Kebetulan, di kawasan rumah sewa semasa menuntut dahulu, ada seorang mak cik yang kerjanya membuat kek. "Hari-hari saya menghidu bau harum daripada dapur rumahnya. " Lantas, saya beranikan diri untuk berjumpa dengan mak cik tersebut dan menyatakan kesanggupan saya menjadi pembantunya. "Sejak itu, saya akan ke rumahnya tiga atau empat hari dalam seminggu untuk belajar dan membantunya membuat kek," ujar ibu kepada seorang anak lelaki ini. Mula fokus kepada perniagaan kek dari rumah sejak dua tahun kebelakangan ini, Zee cuba mengambil sebanyak mana peluang untuk memantapkan hasil kerja tangannya. "Alhamdulillah, tentang rasa, memang ramai yang kata kek saya tidak terlalu manis, ringan dan gebu. Jika kek buah, ia tahan hingga berbulan-bulan. "Pernah sekali ada pelanggan tegur bunga hiasan di atas kek nampak kurang stabil. Walaupun teguran itu bukan satu isu besar, saya tidak pandang remeh. "Saya cari peluang untuk belajar hias kek dan kini sedang menjalani kursus tahap dua menghias kek di International Academy of Color Conciousness (IACC) di Damansara. "Selepas belajar teknik yang betul, hasil yang diperoleh jauh beza daripada sebelum ini," ujarnya. Tidak menolak pandangan masyarakat bahawa kek mudah dihasilkan, Zee memiliki pendapat yang berlainan. "Mungkin ramai beranggapan kek akan 'menjadi' jika adunan bahan-bahannya tepat dan dibakar dengan suhu sepatutnya. "Namun, sebenarnya, membuat kek tidak semudah itu. Untuk kek yang besar seperti kek perkahwinan atau kek hantaran yang bertingkat-tingkat, kerjanya lebih rumit. "Cita rasa pelanggan memang berbagai-bagai. Ada pelanggan tidak mahu kek dicampur dengan telur, ada juga yang minta jangan gunakan tepung gandum. Bertingkat SELAIN kek perkahwinan dan kek hantaran, Zee juga menerima tempahan kek untuk acara khas seperti kek 1Malaysia ini. "Ada yang mahukan kek bertingkat yang nampak seperti bercantum dan ada juga yang mahu ia kelihatan terpisah," katanya yang sering dibantu suami, Muhammad Saufi Maarof, 31. Menurut Zee, teknik mencantum kek tidak mudah. Jika kek paling bawah tidak dibina dengan betul, ia akan memberi kesan kepada kek-kek lain yang berada di atasnya. "Untuk membuat lubang pada kek juga tidak boleh sembarangan kerana ditakuti kek akan merekah dan membuatkan kek di tingkat atas tidak stabil," katanya yang sering mendapat tempahan kek perkahwinan setinggi lima tingkat. Kagum dengan hasil kreativiti Zee menggubah bunga daripada krim khas, anak kelahiran Johor Bahru, Johor ini amat menjaga kualiti hiasan keknya. Dia yang minat melukis sejak kecil sedikit pun tidak kekok mencantikkan sebuah kek kosong kepada kek yang mewah dan eksklusif. Dengan bentuk seperti bantal yang dihias dengan reben besar, ataupun kek tiga tingkat bercantum dengan hiasan ala hidupan marin, Zee akui dia cukup asyik apabila menghias kek. "Memang sedikit sukar kerana kita perlu berhati-hati terutama ketika menyalut kek dengan krim khas atau doh fondan yang telah dicanai," katanya. Memberi tumpuan kepada pasaran di sekitar Lembah Klang, melalui blog cakes.cent2u.com, Zee menyediakan tiga jenis asas kek iaitu kek buah, kek coklat lembap dan kek mentega pada harga yang berpatutan. "Kek seberat dua kilogram yang dihias secara asas dijual dijual pada harga serendah RM110. "Jika pelanggan mahu kek dihias dengan tema yang mereka mahukan, harganya boleh dirunding," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Uri ditanam bersama pakuOleh KHAIRUL AMRI HASSAN dan MOHD. ALIF ABU BAKAR DARAH yang terlekat pada uri dibersihkan menggunakan asam keping. SELEPAS 12 jam bertarung nyawa di kamar bersalin Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Shayeeda Ziana Shariff, 24, akhirnya tersenyum tatkala mendengar suara tangisan si kecil yang dinanti-nantikan. Walaupun ibu muda itu sudah tidak tertanggung keletihan, perasaan itu lenyap sebaik sahaja mendakap anak lelaki pertama yang baru dilahirkannya. Selepas selamat bersalin dan bayi itu diazankan bapanya, tibalah pula masa untuk menguruskan uri yang keluar bersama bayi itu daripada rahim ibu. Walaupun dunia semakin moden, kelaziman keluarga Shayeeda menanam uri masih mengikut adat dan pantang larang orang dulu-dulu. Selain bertujuan menjamin kesejahteraan bayi tersebut, menurut Shayeeda seluruh keturunannya juga dipercayai akan kekal terpelihara dan dilimpahi kebaikan. Nasib baik Ibu mentuanya, Rusmah Jaafar, 63, diberi tanggungjawab menguruskan uri tersebut. "Mula-mula uri itu dibasuh bersih sehingga tiada darah yang tertinggal. Kemudian tempurung kelapa yang dicuci luar dan dalam dijadikan bekas mengisi uri itu. "Tempurung yang telah berisi uri itu perlu dibungkus dengan kain putih dan diletakkan di dalam lubang yang digali di halaman rumah. "Sebelum lubang dikambus, saya letakkan paku, jarum dan asam keping yang diikat bersama dan ditanam sekali," jelas Rusmah yang berasal dari Hulu Langat, Selangor. Menurut beliau lagi, barangan itu merupakan simbolik melindungi uri daripada dihurung ulat di dalam tanah. Tidak habis di situ, tradisi diteruskan dengan menghidupkan bara api di permukaan tanah tempat uri ditanam. Ia dipercayai mampu mengelakkan bayi mengalami kembung perut dan menangis sepanjang malam. Seorang warga emas, Mas Mamat, 64, percaya uri yang ditanam mempunyai 'hubungan' dengan kehidupan bayi yang baru lahir. Beliau juga mengakui tradisi pengurusan uri seperti yang dipraktikkan Rusmah turut dilakukan ke atas semua bayi yang lahir dalam keluarganya. "Selepas uri dibersihkan dan direndam dengan air garam semalaman, ia mesti ditanam di kawasan yang orang sentiasa lalu lalang supaya anak yang bakal membesar dipermudahkan urusan dan mendapat rezeki yang mencurah-curah," ujarnya yang berasal dari Kelantan. Selain itu, uri akan dibungkus menggunakan sarung bantal terpakai dan sebatang paku. Amalan itu dipercayai akan mengurangkan masalah bayi menangis malam. Penghormatan Namun begitu, penceramah bebas, Datuk Daud Che Ngah menolak perkaitan antara penanaman uri dengan masa depan atau nasib seseorang. "Tiada kaitan antara kehidupan seseorang dengan uri wanita selepas bersalin. "Namun, seelok-eloknya uri itu diuruskan dengan penghormatan yang tinggi," ujarnya ketika dihubungi Jurnal. Katanya, uri memang perlu dibersihkan dengan air asam dan garam bagi menghilangkan bau dan kekotoran yang terlekat padanya agar tidak diselongkar oleh haiwan buas. Tambahnya lagi, uri adalah sebahagian daripada jasad manusia dan sepatutnya perlu kembali ke tempat asalnya iaitu tanah. "Uri dan manusia datang daripada tanah dan perlu kembali kepada tanah," katanya merujuk kitab Tanbihul Ghafilin. Beliau turut memberitahu, bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang mengiringi upacara penanaman uri boleh dilakukan untuk memperoleh keberkatan. Pakar Perbidanan dan Sakit Puan, Pusat Perubatan Kedah, Dr. Kamaruzaman Ali pula menjelaskan tiada upacara khas dilakukan pihaknya untuk menguruskan uri wanita selepas bersalin. "Biasanya, uri akan dibersihkan menggunakan air bersih bagi menyucikan darah yang masih terlekat sebelum diserahkan kepada keluarga pesakit untuk urusan lanjut. "Namun, bagi uri milik keluarga bukan Islam atau uri yang tidak dituntut, selepas dibersihkan ia akan dinyahkuman dan dibakar," ujarnya. Tambahnya lagi, individu yang menyucikan uri perlu memakai sarung tangan bagi mengelakkan kebarangkalian virus atau kuman yang mungkin melekat pada uri menjangkiti individu terbabit. Kamaruzaman menasihatkan agar uri ditanam di kawasan yang sesuai dan jauh daripada lokasi haiwan berkeliaran bagi mengelakkan uri itu digali. "Seelok-eloknya uri perlu ditanam di dalam lubang yang digali lebih sekaki bagi tujuan membendung dihidu binatang buas," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Kosmo Online - Rencana Utama To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan