Jumaat, 4 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


‘Susah nak cari makan’

Posted: 03 Mar 2011 09:55 AM PST

KUALA LUMPUR: "Harga minyak naik, harga barang pun naik, susah peniaga nak cari makan," keluh peniaga burger, Asraf Ahmad, 24 berikutan kenaikan beberapa harga barang yang memberikan kesan kepada perniagaan yang diusahakannya di sini.

Katanya, harga sedozen roti burger yang dibelinya sebelum ini RM9, namun baru-baru ini ia naik sehingga RM12.80 sedozen.


"Selain itu, harga sos, mayonis dan kicap turut mengalami kenaikan," katanya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro di beberapa kawasan di sini mendapati beberapa barang kegunaan harian mengalami kenaikan harga, malah ada beberapa barang makanan utama mengalami peningkatan harga sehingga menyebabkan peniaga serba salah untuk menaikkan harga.


Kenaikan itu dakwa mereka kerana harga ditawarkan pemborong amat tinggi berbanding harga sebelumnya.


"Payah sebab kami nak jaga pelanggan, tapi harga daging naik pula," kata Kamarulzaman Ghazali, 55, yang kini berada dalam dilema untuk menaikkan harga daging dalam pasaran.

Menurut Kamarulzaman, harga borong bagi sekilogram daging tempatan RM18 dan harga daging import antara RM12 hingga RM13, namun berlaku perubahan harga yang mendadak baru-baru ini.


"Harga baru kami terima dari pemborong semalam RM24.50 bermakna harga daging tempatan naik RM6.50," katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Sementara itu, beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kenaikan harga barang membebankan mereka. Menurut Rafei Jamil, 32, harga makanan mentah utama tidak perlu dinaikkan kerana ia akan membebankan.


"Sepatutnya harga makanan mentah seperti ayam, daging dan ikan tidak perlu naik kerana harga sekarang pun membebankan," katanya.


Setiausaha Kerja Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, ketika mengulas isu kenaikan harga barangan, berkata keadaan ini sukar untuk dikawal memandangkan sifat tamak sesetengah peniaga yang mengaut keuntungan mudah menaikkan harga barang sesuka hati.


Katanya, sifat tamak peniaga sukar untuk dikikis memandangkan mereka tahu pembeli pasti akan membeli barangan keperluan harian berkenaan.


Menurutnya, bagi menangani masalah ini pengguna mempunyai hak bagi membasmi penularan kenaikan harga barang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Diskaun kompaun DBKL hingga 10 Mac

Posted: 03 Mar 2011 09:49 AM PST

KUALA LUMPUR: Orang ramai masih berpeluang memperoleh diskaun bagi bayaran kompaun trafik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berikutan tarikh akhir pembayarannya dilanjutkan hingga Khamis depan.

Pengurus Komunikasi Korporatnya, Anwar Mohd Zain, berkata lanjutan tarikh itu selaras keputusan kerajaan yang turut melanjutkan tempoh bagi saman trafik Polis Diraja Malaysia dan pihak berkuasa tempatan lain.


Katanya, kegagalan orang ramai membayar tunggakan saman trafik DBKL sebelum tarikh berkenaan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk disenaraihitamkan.

"Jika mereka membayar sebelum 10 Mac akan dikenakan RM30, tapi perlu diingat kerana nilai kompaun ini hanya membabitkan mereka yang dikenakan tindakan sehingga 28 Februari.


"Bagi kompaun yang dikeluarkan selepas 1 Mac, kadar yang dikenakan dan tempoh pembayaran balik adalah seperti diluluskan kerajaan baru-baru ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, semalam.


Anwar berkata, proses pembayaran semula boleh dibuat pada waktu bekerja bermula 8 pagi hingga 5 petang setiap hari termasuk Sabtu dan Ahad di beberapa kaunter bayaran DBKL.

Antaranya, Kaunter Bayaran Menara DBKL 1, Jalan Raja Laut; Kaunter Bayaran Menara DBKL 3, Jalan Raja Abdullah, Kaunter Bayaran Pejabat-pejabat Cawangan DBKL; Kaunter Bayaran Pejabat Zon Perumahan DBKL dan Kaunter Bayaran Pejabat Kecil Perumahan DBKL.


Untuk rekod, sehingga tahun lalu terdapat 1.2 juta tunggakan kompaun yang belum dijelaskan warga ibu kota.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan