Utusan Online - Utara |
Posted: Hasil padi Kedah merosotOleh MOHD. SHARIZA ABDULLAH ALOR SETAR 3 Mac – Kebanyakan pesawah di negeri ini mengeluh kerana hasil tuaian padi mereka bagi musim ini merosot berbanding pendapatan yang diperoleh pada musim lalu. Pengerusi Penyelaras Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Ahmad Radin berkata, kemerosotan pendapatan antara 10 hingga 40 peratus itu berpunca daripada serangan makhluk perosak tanaman terutama bena perang dan ulat. Katanya, keadaan diburukkan lagi dengan banjir besar yang melanda negeri ini pada awal November tahun lalu iaitu ketika padi yang ditanam baru berusia antara 40 hingga 60 hari. "Makhluk perosak di kawasan sawah padi yang tenggelam akibat banjir akan berpindah untuk menyerang tanaman di kawasan yang tidak dinaiki air. "Keadaan cuaca yang tidak menentu selepas banjir juga mengakibatkan serangan semakin hebat. Ini kerana penyakit padi akibat serangan haiwan perosak boleh merebak dengan cepat menerusi tiupan angin atau aliran air," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Menurut Ahmad, ramai pesawah yang selesai menuai dan menjual padi mereka mengeluh selepas mengalami kemerosotan sehingga 40 peratus jika dibandingkan dengan musim lalu. Sebagai contoh, katanya, jika seorang petani mendapat pendapatan sebanyak RM10,000 pada musim lepas, hasil yang diperoleh itu menurun kepada RM6,000 pada musim ini. Sehubungan itu, dia meminta para pesawah yang belum menuai tanaman mereka supaya berhati-hati dengan ancaman penyakit berkenaan yang boleh mengakibatkan kemusnahan kepada pokok padi. Menurutnya, mereka boleh memaklumkan kepada PPK masing-masing agar tindakan segera dapat diambil bagi memulihkan pokok padi. "PPK juga boleh memberikan khidmat nasihat kepada petani mengenai cara dan waktu penyemburan racun yang sesuai untuk membasmi penyakit tersebut," katanya. | ||
UUM biayai kos perubatan penuntut nahas Posted: UUM biayai kos perubatan penuntut nahas
ALOR SETAR 3 Mac - Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menanggung kos perubatan seorang penuntutnya yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Sintok-UUM pada Isnin lalu. Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak memberitahu, penuntut terbabit, Lim Seow Ching, 23, dari Pulau Pinang yang mengalami cedera parah kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini. Katanya, pembiayaan tersebut sebagai rasa keprihatinan pihaknya terhadap mangsa dalam mengurangkan beban kewangan keluarganya. "Kita bersyukur kerana mangsa yang mengalami kecederaan serius pada kepala, kaki dan abdomen kini berada dalam keadaan stabil dan mendapat rawatan di sini. "Seow Ching iaitu pelajar semester akhir jurusan perhotelan diberi kelonggaran menangguhkan pengajiannya dan dia boleh menyambung semula selepas pulih nanti," katanya. Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa dan menghulur sumbangan RM1,000 yang disampaikan kepada bapa mangsa, Lim Ah Keng, 52, dan isterinya Tan Ah Yeow, 45 di hospital terbabit semalam. Dalam kejadian pada 28 Februari itu, Seow Cheng parah sementara dua rakannya yang juga penuntut UUM maut selepas terlibat dalam nahas membabitkan dua kenderaan. Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi ketika tiga penuntut perempuan itu dari arah UUM ke Hotel EDC-UUM untuk menghantar Seow Cheng menjalani latihan praktikal. Dua penuntut iaitu Lim Hsiao Pei dan Teh Chiew Sien yang masing-masing berusia 23 tahun, maut. Mohamed Mustafa menambah, pihak UUM juga akan mencuba sedaya upaya membantu mangsa dan keluarga mereka dari segi kewangan termasuk menguruskan tuntutan insurans mangsa. "Kesemua mangsa mempunyai insurans kelompok jadi kita akan uruskan semua ini untuk membela nasib mereka dan keluarga. "Selain itu, sebelum ini UUM turut menanggung pembiayaan menguruskan pengebumian kedua-dua penuntut yang maut itu," katanya lagi. Dalam pada itu, ibu mangsa, Ah Yeow turut gembira atas keprihatinan pihak UUM membantu meringankan beban mereka daripada keluarga berpendapatan rendah. "Seow Ching adalah anak sulung kami dan semua adik beradik lain masih bersekolah dan suami saya cuma bekerja sebagai mekanik. "Di sebalik musibah ini kami gembira kerana UUM tampil membantu," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Tempe Tani diterima ramaiOleh SAFINA RAMLI
KUBANG PASU 3 Mac – Ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan. Begitu juga juadah tempe yang begitu sinonim dengan masyarakat Jawa. Tempe yang kaya dengan pelbagai khasiat seperti bahan anti oksida, asid amino, serabut, phytokimia, vitamin B1, B2, B6 dan E kini sudah popular di seluruh negara dan semakin mula diterima pelbagai lapisan masyarakat. Tempe yang diperbuat daripada kacang soya mentah yang direbus kemudian dihancurkan sebelum digaul serta diperam bersama ragi. Selepas itu, tempe akan dibentuk dalam kepingan nipis dan dibiarkan menapai pada suhu sekitar 30 darjah celsius selama kira-kira 48 jam. Kira-kira 20 tahun lalu, mungkin sukar bagi penggemar tempe di negeri-negeri Utara semenanjung untuk mencari tempe dan mungkin juga ada di antara masyarakat di sini tidak tahu apa itu tempe. Kesukaran untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di negeri Kedah diceritakan oleh seorang pengusaha tempe, Yusob Hanapiah, 57, yang menghadapi pelbagai cabaran semasa mula-mula menjadi pembuat dan penjual tempe di negeri ini kira-kira 27 tahun yang lalu. Yusob yang merupakan anak jati Kampung Lubok Ipoh, Malau di sini memberitahu, sewaktu berumur awal 20-an dia merantau meninggalkan kampung halaman untuk mencari pengalaman hidup sehingga sampai ke kawasan Kota Tinggi, Johor. "Sewaktu sampai di sana saya cuba rasa satu benda baru yang agak pelik rasanya bagi saya kerana makanan itu tidak pernah saya makan sewaktu di Kedah. "Setelah saya makan barulah rakan saya beritahu makanan pelik yang saya makan ini adalah tempe yang dibuat masak lemak cili api," ujarnya ketika ditemui di bengkel membuat tempe di Kampung Lubok Ipoh di sini baru-baru ini. Yusob yang tertarik dengan keunikan tempe kemudiannya mengambil keputusan untuk mempelajari cara-cara untuk membuat makanan berasaskan kacang soya itu. Jelasnya, pada mulanya dia memang tidak gemar dengan rasa tempe namun lama kelamaan dia mula jatuh cinta dengan tempe yang mempunyai rasa dan tekstur yang unik. "Saya belajar cara-cara membuat tempe daripada rakan saya di Kota Tinggi dan kemudiannya saya balik ke Kedah untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat negeri ini. "Bukan mudah berniaga tempe di sini dan pelbagai pengalaman yang lucu dan menarik dapat saya tempuhi sepanjang menjual tempe bermula pada 1984," katanya. Yusob berkata, dia mula berniaga tempe di pasar tani seluruh negeri Kedah dan untuk memperkenalkan tempe buatannya itu dia memasak dan menunjukkan kepada pelanggan cara-cara untuk memakan tempe. "Pada masa itu memang orang Kedah tidak tahu apa itu tempe dan saya perlu menerangkan kepada mereka apa itu tempe. "Sewaktu saya mula-mula berniaga tempe, saya balut tempe ini dengan daun pokok leret dan ada seorang warga emas dari Kuala Nerang yang menyangkakan tempe ini kuih lepat pisang lalu dia terus membeli lima bungkus tempe untuk sarapan. "Kemudian, saya nampak dia pergi ke kedai kopi dan membuka pembalut tempe untuk memakannya mentah-mentah. Apabila saya teringatkan peristiwa ini memang saya akan ketawa," ujarnya. Jelasnya, lama kelamaan setelah Universiti Utara Malaysia (UUM) dibuka di kawasan Kubang Pasu barulah tempe buatannya dikenali ramai ekoran daerah ini mula didatangi dan diduduki oleh masyarakat dari seluruh negara terutama dari tempat yang tempe sudah popular seperti dari selatan Semenanjung. Kini, dengan menggunakan jenama Tempe Tani, Yusob boleh tersenyum kerana usahanya untuk memperkenalkan tempe kepada masyarakat di negeri ini sudah berjaya. "Saya tidak lagi berniaga di pasar tani dan tempe-tempe yang dibuat oleh saya kini diambil oleh pemborong-pemborong untuk dipasarkan di sekitar Kubang Pasu. "Saya bersyukur kerana tempe buatan saya semakin dikenali dan dengannya saya mampu membesarkan tiga orang anak," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Utara To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan