Jumaat, 4 Mac 2011

Utusan Online - Dalam Negeri

Utusan Online - Dalam Negeri


Najib, Gillard komited perkukuh kerjasama

Posted:

Najib, Gillard komited perkukuh kerjasama

Najib, Gillard komited perkukuh kerjasama

CANBERRA 3 Mac - Malaysia-Australia memasuki lembaran baru dengan kedua-dua negara bertekad untuk mengukuhkan lagi hubungan yang sedia terjalin bagi meneroka peluang kerjasama baru demi faedah bersama pada masa depan.

Kedua-dua negara juga sepakat untuk meningkatkan kerjasama menangani pelbagai isu berkaitan keselamatan serantau, memerangi keganasan global, membanteras penyeludupan manusia dan kegiatan jenayah antarabangsa melibatkan kedua-dua negara.

Sambil menyifatkan Australia sebagai negara sahabat dan rakan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, hubungan Malaysia-Australia sudah terjalin sejak era Perang Dunia Kedua dan ketika darurat menentang komunis di Malaysia, dan berharap ia dapat diperluaskan lagi, terutama dalam bidang ekonomi, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan keselamatan.

"Sehubungan itu, Malaysia berharap untuk melihat Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA) dapat ditandatangani dalam tempoh setahun menjelang Mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) pada tahun depan," katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Australia, Julia Gillard di Bangunan Parlimen Australia di sini, hari ini.

''Kita berharap dapat menyelesaikan semua masalah berbangkit (dengan MAFTA) dalam tempoh setahun ini dan menjelang sidang kemuncak APEC pada November tahun depan, Malaysia dan Australia sudahpun menandatangani perjanjian MAFTA dan menjadi rakan di rantau Asia Pasifik.

Semasa lawatan ke Bangunan Parlimen Australia di sini pagi ini, Najib diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor diberi sambutan meriah setibanya di Bangunan Parlimen dengan tembakan 19 das, sebelum memeriksa perbarisan kehormatan.

Najib kemudian diiringi Gillard menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman membabitkan kerjasama dalam bidang sukan dan pendidikan.

Kedua-dua pemimpin kemudian mengadakan pertemuan selama kira-kira sejam membincangkan pelbagai isu kerjasama dua hala, isu serantau, keselamatan, penyeludupan manusia, memerangi pengganas dan kegiatan jenayah antarabangsa melibatkan kedua-dua negara.

Najib berkata, Malaysia sentiasa komited memerangi keganasan dan membantu memastikan keamanan serta kestabilan di wilayah selatan Filipina agar rantau ini bebas daripada kegiatan pengganas. - Utusan

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu

Posted:

SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu

SMK Bandar Baru Sungai Long diarah tutup seminggu


Pengawal keselamatan SMK Bandar Baru Sungai Long, Kajang menutup pintu pagar sekolah berkenaan yang diarah tutup seminggu setelah seorang daripada pelajarnya menjadi korban H1N1 baru-baru ini.


KUALA LUMPUR 3 Mac - Pelajar perempuan yang menjadi korban terbaru wabak Influenza A (H1N1) di negara ini dipercayai baru pulang dari bercuti di Shanghai, China, sebelum meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

Pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang itu dikatakan mengunjungi negara tersebut bersama keluarganya semasa cuti persekolahan sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Timbalan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan, Jeff Tung Kok tidak menolak kemungkinan pelajar tersebut dijangkiti wabak berkenaan ketika berada di luar negara.

"Jadi, saya menasihatkan agar pelajar sekolah ini supaya melakukan pemeriksaan kesihatan sekiranya terdapat tanda wabak tersebut kerana kita tidak mahu ada lagi yang menjadi mangsa,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan hari ini menghantar sepasukan pemantau ke sekolah tersebut dan melakukan kerja-kerja pembasmian kuman bagi membendung wabak berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr. Wee Ka Siong berkata, sekolah berkenaan diarahkan tutup selama seminggu bermula hari ini setelah mendapat persetujuan daripada Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran.

"Sebelum ini pihak sekolah hanya diarahkan tutup selama dua hari sahaja.

''Namun tempoh itu dilanjutkan sehingga 9 Mac ini sebagai langkah membendung penularan wabak itu kerana 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar terbabit turut mengalami gejala batuk atau selesema,'' katanya.

Katanya, Kementerian Pelajaran khuatir wabak itu merebak dalam kalangan pelajar dan guru.

''Oleh itu, lanjutan penutupan itu akan dimaklumkan esok kepada pengetua sekolah berkenaan," katanya

Ka Siong berkata, penutupan berkenaan bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan pembasmian kuman dijalankan bagi mengekang wabak H1N1.

"Kementerian dari semasa ke semasa akan mendapatkan khidmat serta kerjasama Jabatan Kesihatan bagi memastikan sekolah bebas daripada virus itu," katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati sekolah berkenaan lengang dan pihak sekolah turut menggantung notis tutup pada pintu pagar utama selama dua hari.

Arahan tersebut dikeluarkan oleh pihak sekolah kepada guru-guru serta pelajarnya pada sesi petang persekolahan semalam kira-kira pukul 5 petang.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini

Posted:

Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini

Pelajar di Kajang antara 3 korban H1N1 tahun ini

KUALA LUMPUR 3 Mac - Pelajar perempuan tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Sungai Long, Kajang dekat sini ialah antara tiga orang yang meninggal dunia akibat wabak Influenza A (H1N1) pada tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahu, pelajar tersebut yang pengsan selepas berjoging sebelum itu mengalami gejala muntah, sakit kepala dan batuk selama seminggu tetapi tiada demam serta dibawa ke sebuah hospital swasta pada 22 Februari lalu.

Pelajar terbabit, katanya, kemudian dirujuk ke Institut Perubatan Respiratori di sini seterusnya ke Hospital Kuala Lumpur dan meninggal dunia pada 24 Februari lalu.

"Sebab kematian seperti yang dinyatakan pakar perubatan adalah ARDS teruk dengan jangkitan miokarditis bersama septisemia akibat jangkitan virus pneumonia.

''Sementara itu, ujian pengesahan virus pada 25 Februari lalu mendapati kes positif H1N1," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ekoran itu kata Tiong Lai, Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Langat menjalankan siasatan di sekolah terbabit pada 1 Mac dan mendapati 15 daripada 42 rakan sekelas pelajar itu mengalami gejala batuk atau selesema.

Semalam, katanya, pengetua sekolah terbabit memaklumkan bahawa dua orang guru cuti sakit kerana demam, batuk, selesema dan 149 daripada 1,600 pelajar sesi pagi tidak hadir ke sekolah.

"Memandangkan kadar ketidakhadiran yang tinggi, pihak sekolah membuat keputusan untuk menutup sekolah itu," jelasnya.

Justeru, beliau mengingatkan semua guru besar dan pengetua sekolah agar mematuhi garis panduan pengurusan H1N1 di sekolah memandangkan kejadian kluster sering berlaku dalam kalangan murid sekolah.

"Saringan bagi mengesan mereka yang menunjukkan gejala berkenaan hendaklah dilakukan di sekolah yang mengalami kejadian kluster atau ketidakhadiran yang tinggi.

"Penutupan sekolah hanyalah langkah terakhir sekiranya masalah jangkitan menjejaskan keseluruhan fungsi sekolah,'' katanya.

Sementara itu, Tiong Lai berkata, jumlah kes H1N1 yang disahkan sejak 1 Januari lalu sehingga semalam ialah 679, dengan 279 pesakit ILI kini menerima rawatan di hospital dan daripada jumlah itu 31 pesakit disahkan positif H1N1.

"Dua pesakit masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kedua-duanya mempunyai faktor risiko untuk dijangkiti wabak tersebut," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta individu yang mempunyai gejala ILI supaya tidak ke tempat tumpuan ramai.

''Kita juga meminta masyarakat sentiasa mengamalkan langkah mudah dalam mencegah penularan jangkitan H1N1 seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi,'' katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan