Ahad, 20 Mac 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Hasrat kahwin setiap bulan

Posted: 19 Mar 2011 12:32 PM PDT

KUALA LUMPUR: Tembelang seorang lelaki yang bercita-cita hidup senang dengan mengikis wang wanita bukan saja terbongkar, malah dia kini tidak keruan apabila terpaksa berdepan pakatan empat 'madu' yang berganding bahu untuk memporak-perandakan hidupnya.

Pakatan berkenaan membabitkan tiga mangsa yang dijanjikan untuk dikahwini dalam tempoh selang sebulan, bermula bulan depan, manakala bekas isteri lelaki itu mahu melunaskan dendam selepas menyedari suaminya curang.

Sebagai wanita, dia berang kerana suaminya memperdaya mangsa hingga ada yang mengandung, ditipu lebih RM10,000 dan diperbodoh-bodohkan.

Antara perancangan empat mangsa lelaki yang selayaknya digelar kasanova kaki temberang itu adalah membuat laporan polis selepas mendakwa diugut lelaki berkenaan dan muncul di majlis perkahwinannya dengan seorang lagi mangsa.


"Kami menyimpan khidmat pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan yang dihantar lelaki itu selepas tembelangnya pecah. Kami juga mendapat maklumat dia akan berkahwin dengan seorang lagi mangsanya beberapa bulan lagi.


"Tunggulah kehadiran kami," kata seorang mangsa mewakili kumpulan wanita itu yang mahu dikenali sebagai Nani, 28.

Nani ditemui Metro Ahad bersama dua lagi mangsa dikenali sebagai Miza, 42; Dira, 51, dan bekas isteri lelaki terbabit yang mahu dikenali sebagai Alin, 29.

Menurut Nani, tembelang lelaki itu terbongkar selepas dia, Miza dan Dira yang masing-masing berstatus ibu tunggal berhubung antara satu sama lain di laman sosial yang menjadi punca kepada perkenalan mereka dengan lelaki terbabit.

Katanya, mereka mengenali lelaki itu sekitar Ogos tahun lalu menerusi laman sosial dan segala-galanya terbongkar dua bulan lalu.

"Dalam laman sosial itu, Miza dan Dira turut menjadi kenalan saya. Apabila berhubung antara satu sama lain, masing-masing bercerita mengenai 'drama king' itu dan terbongkarlah rahsia.

"Dalam menjalin hubungan cinta dengan saya, rupa-rupanya dia turut bercinta dengan dua rakan saya. Taktiknya sama, antaranya menggunakan panggilan diri 'papa' dan menagih simpati dengan mengatakan ibunya terlantar di hospital dua tahun akibat koma," katanya.

Nani berkata, lelaki itu turut merayu supaya diberikan RM15,000 untuk menanggung kos rawatan ibunya.

"Dengan saya dia minta RM15,000, begitu juga Miza dan Dira. Kerana tertipu dengan janji manisnya, sepanjang perkenalan, saya menyerahkan lebih RM10,000.

"Paling menyedihkan, saya sanggup meminjam RM5,000 daripada along untuk diberikan kepadanya," katanya yang turut mengakui menyerah tubuhnya kepada lelaki itu sehingga kini mengandung dua bulan.

Menurut Nani, satu lagi tembelang yang dibongkar, lelaki yang pada mulanya mengaku bujang itu rupa-rupanya berkahwin.

"Lelaki itu meminjam telefon bimbit saya dan menggantikan dengan 'telefon buruk' miliknya. Saya mengesan satu nombor tanpa nama dan menghubunginya.

"Alangkah terkejutnya saya, individu yang saya hubungi adalah isterinya. Isterinya tidak terkejut kerana tahu kerenah suaminya yang banyak skandal dengan wanita, malah pada masa sama mengakui tidak tinggal sebumbung dan akan bercerai," katanya.

Selepas mengenali satu sama lain sebulan lalu, Nani bersama Miza, Dira dan Alin mengadakan pertemuan dan terbongkarlah lebih banyak rahsia lelaki itu.

"Dalam pertemuan itu Alin mengesahkan sudah bercerai. Walaupun masing-masing sakit hati tetapi apabila bercerita, lucu pula jadinya.

"Ketika menjalin hubungan dengan kami, dia sudah ada isteri. Dengan saya dia janji nak kahwin April tahun ini dan dengan dua lagi 'kekasihnya' (Miza dan Dira), dia janji nak kahwin pada Mei dan Jun. Justeru, kami ini empat madulah jadinya," katanya.

Menurut Nani, dakwaan lelaki itu bahawa ibunya sakit juga dusta semata-mata.

"Kami sudah berjumpa ibunya. Memang dia raja drama sebab ibunya sihat saja di rumah. Kami juga bertemu seorang adik beradiknya dan ternyata dia memang penipu," katanya.

Nani mengakui 'tewas' dengan ayat manis lelaki itu dan kini menyesal.

"Saya pun sukar menyatakan mengapa saya jatuh hati dengannya sebab boleh dikatakan dia masuk dalam kategori kasanova 'cap ayam'. Nak kata tampan, tak adalah pula, perut buncit adalah.

"Cuma, dia guna ayat manis untuk memikat sehingga saya terpikat. Kini, saya menanggung akibatnya," katanya.

Bagi Miza pula, dia kerugian kira-kira RM1,000 selepas 'buta-buta' menyerahkan wang kepada lelaki itu.

"Lelaki itu memang pandai memujuk rayu. Kerjanya asyik minta wang... tambah nilai kredit telefon bimbit pun minta dengan saya.

"Kira-kira RM1,000 sudah saya beri kepadanya. Selepas tembelangnya terbongkar, saya akan menuntut kembali wang saya," katanya.

Dira pula berkata, dia kerugian kira-kira RM500 sepanjang berkenalan dengan lelaki itu.

"Eloklah tembelangnya pecah sebab belum apa-apa, sudah terserlah sikap buruknya. Kerjanya asyik cemburu, mengongkong dan memaki saja.

"Nasiblah siapa mangsanya selepas ini. Orang seperti itu tidak akan berhenti menipu dan menyusahkan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Alin mengakui sehingga hari ini dia menerima panggilan daripada wanita tidak dikenali melepaskan kemarahan dan menuntut wang.

"Saya memang ada menggunakan nombor telefon bekas suami. Justeru, ada wanita yang dikenakan bekas suami menghubungi nombor telefon itu.

"Saya nak buat macam mana. Pekakkan telinga sajalah," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dengar bunyi pelik

Posted: 19 Mar 2011 12:32 PM PDT

ALOR GAJAH: "Saya dengar bunyi pelik di luar tapi tidak syak apa-apa sebelum terasa bas bergegar dan terhoyong-hayang lalu merempuh penghadang tengah lebuh raya dan terus melencong ke kiri jalan."

Begitu kata penumpang bas pesiaran, Shibli Sabtu, 26, selepas bas dinaiki bersama lapan penumpang lain terbalik di Kilometer 214.4, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah Selatan, kira-kira jam 2.30 pagi, semalam.

Dalam kejadian itu, semua penumpang yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Johor Bahru itu berdepan detik mencemaskan apabila bas dipandu lelaki berusia awal 30-an hilang kawalan sebelum terbabit dalam kemalangan.

"Ketika leka bermain telefon bimbit, tiba-tiba bas merempuh sesuatu dengan kuat sebelum senget ke kanan. Rakan saya pula tercampak ke lantai bahagian depan.


"Saya dengar penumpang menjerit dan meraung ketakutan selepas bas terbabas ke kiri sebelum terbalik ke kanan dan terseret, mengakibatkan sembilan penumpang lain tercampak dari tempat duduk," kata penuntut pusat pengajian tinggi awam itu.


Katanya, dia merasakan ada sesuatu yang tidak kena apabila perjalanan yang dijadualkan jam 12.40 tengah malam dari Perhentian Bas Bukit Jalil ditangguhkan ke jam 1 pagi akibat hal yang tidak dapat dielakkan. Malah bas juga dirasakan tidak stabil kerana halajunya berubah-ubah.

Seorang lagi penumpang, Azlan Abdullah, 46, berkata pemandu lewat memulakan perjalanan kira-kira 30 minit daripada masa dinyatakan dan berhenti di Hentian Sebelah Nilai.

"Selepas memandu 30 minit, sekali lagi pemandu berhenti di Hentian Sebelah Senawang untuk menghilangkan mengantuk dan meneruskan perjalanan 10 minit kemudian sebelum terbabit kemalangan," katanya.

Katanya, ketika kejadian kebanyakan mereka terlelap dan dia tersedar apabila bas dirasakan senget sebelum terbalik dan terseret sejauh 50 meter.

"Saya cuba pegang tempat duduk depan dengan kuat tapi tetap tercampak. Keadaan huru hara kerana ramai penumpang tercampak dari tempat duduk.

"Saya cuba tendang cermin depan dengan harapan kami semua tidak terperangkap di dalam bas tapi tidak berjaya.

"Kemudian saya cuba membuka pintu kecemasan di atas bumbung bas dan dari situl kami semua merangkak keluar dari bas yang terbalik itu.

"Saya bersyukur kami semua, termasuk pemandu, terselamat dan tidak mengalami kecederaan serius," katanya.

Sementara itu, sumber Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah (IPD) berkata, hasil siasatan awal, pihaknya percaya bas pesiaran dari arah Kuala Lumpur ke Johor Bharu hilang kawalan selepas terlanggar penghadang jalan dan melencong ke kiri lalu melanggar tebing dan terbalik ke kanan.

Bagaimanapun, bas itu hanya membawa sembilan penumpang dan mereka menyambung perjalanan ke Johor Bahru menggunakan bas pesiaran lain.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan