Khamis, 3 Mac 2011

Harian Metro: BeritaUtama

Harian Metro: BeritaUtama


Ibu jual anak usia 3 tahun

Posted: 02 Mar 2011 11:24 PM PST

KUALA LUMPUR: Ke mana hilangnya naluri keibuan seorang wanita apabila tergamak menjual anak kandungnya yang berusia tiga tahun kepada individu baru dikenali semata-mata kerana wang.

Lebih tragis, wanita terbabit yang berusia 30-an turut bekerjasama dengan anak angkat lelakinya yang berusia 17 tahun membelasah bekas suaminya sehingga cedera selepas lelaki itu marah dengan tindakannya.


Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di tempat kerja lelaki berusia 43 tahun itu di Taman Wilayah di Kepong, di sini, Isnin lalu. Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu dijual kepada seorang lelaki dengan harga belasan ribu ringgit dan kanak-kanak itu dilaporkan kini berada dalam jagaan keluarga pembelinya di Pahang.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata lelaki itu dalam laporannya memberitahu dia beberapa kali menghubungi bekas isterinya selepas mendapat maklumat wanita terbabit menjual anak mereka.


"Dalam perbualan telefon, bekas isteri mangsa mengaku sudah menjual anak mereka menyebabkan berlaku pertengkaran.


"Pertengkaran itu tidak berakhir di situ apabila bekas isteri mangsa bersama anak angkatnya datang menyerang mangsa di tempat kerjanya," katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, remaja berusia 17 tahun itu menumbuk muka mangsa beberapa kali sebelum mendakwa tidak takut kepada bapa angkatnya itu selain berani berdepan pihak berkuasa.


"Selepas itu, remaja terbabit memberikan amaran kepada mangsa supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka. Bekas isteri dan anak angkat itu kemudian meninggalkan mangsa," katanya.

Zainuddin berkata, mangsa membuat laporan polis.


"Kepantasan pihak berkuasa bertindak membuahkan hasil apabila bekas isteri mangsa dan anak angkatnya itu ditahan kurang sejam selepas laporan polis diterima berhampiran rumah mereka.


"Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak terbabit kini dilaporkan berada di Pahang dalam jagaan satu keluarga yang didakwa membelinya," katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang 2007.


Menurutnya, wanita terbabit dan anak angkatnya kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.


Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit bercerai kira-kira setahun lalu dan tindakan wanita itu menjual anak kandungnya untuk mendapatkan wang dipengaruhi anak angkatnya berikutan dia tiada pekerjaan tetap.


Sementara itu, Zainudin menasihatkan orang ramai yang tidak mampu menjaga anak mereka supaya menggunakan saluran betul untuk menyerahkan zuriat itu untuk jagaan pihak lain dan bukan menjual anak mereka seperti barang dagangan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Maut langgar kuda

Posted: 02 Mar 2011 11:08 PM PST

PERMAISURI: Kejutan kecil untuk keluarga yang dirancang seorang petugas Kedutaan Malaysia di Pakistan dengan tidak memberitahu kepulangannya ke tanah air bertukar menjadi kejutan besar apabila dia terbunuh dalam perjalanan ke rumah orang tuanya selepas kereta dipandunya melanggar seekor kuda.

Kemalangan berlaku di Kilometer 38, Jalan Kuala Terengganu - Permaisuri, dekat Kampung Rhu Tapai, Merang di sini kira-kira jam 9.20 malam kelmarin.


Mangsa, Wan Ahmad Fadzil Wan Mohd, 28, bertugas sebagai pegawai imigresen di Kedutaan Malaysia di Islamabad, Pakistan dan memandu Perodua Myvi yang turut dinaiki isteri dan dua anaknya.

Dia yang parah di kepala meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, namun isterinya, Ani Norbaya Abdul Rashid, 26, dan dua anak mereka, Nur Wana, 2, serta Nur Marwa yang berusia 60 hari, tidak cedera.


Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, mangsa yang memandu dari arah Kuala Terengganu terlanggar seekor kuda yang melintas secara tiba-tiba di tempat kejadian menyebabkan keretanya berpusing beberapa kali sebelum merempuh dua kereta lain .


"Mangsa yang tersepit dikeluarkan penduduk kampung dan dihantar ke pusat kesihatan berdekatan sebelum dipindahkan ke HSNZ, tetapi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan," katanya.

Menurutnya, kuda berkenaan yang dianggar bernilai RM9,000 milik seorang penduduk kampung turut cedera teruk dan sempat disembelih penduduk kampung.


Ibu mangsa, Mariam Othman yang ditemui di rumahnya di Kampung Bari Besar berkata, dia terkejut apabila dimaklumkan mengenai kematian arwah kerana kepulangannya dari Islamabad selama ini amat dinantikan keluarga.

"Dia tidak memberitahu saya, tetapi isterinya ada menelefon memberitahu mereka sekeluarga akan pulang bercuti di kampung selepas tamat berkursus di Kuala Lumpur sebelum kembali ke Pakistan pada 7 Mac ini.


"Mungkin tindakan arwah tidak memberitahu saya mengenai kepulangannya untuk memberi kejutan kepada kami sekeluarga yang merinduinya," katanya.


Jenazah Wan Ahmad Fadzil yang berkhidmat di Islamabad sejak pertengahan 2009 dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bari Besar pagi semalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan