Berita Harian: Wilayah |
Posted: 28 Feb 2011 03:18 PM PST Wilayah KAWASAN setinggan yang dihuni lebih seribu warga asing membawa bermacam masalah di Kampung Semangat, Johor Bahru. JOHOR BAHRU: Kampung Semangat, yang turut digelar Kampung Perpaduan, di Kempas di sini, dulunya pernah menempatkan lebih 400 keluarga penduduk setinggan. Dengan pembangunan serta usaha kerajaan menangani masalah setinggan di negeri ini, semua keluarga di kampung itu dipindahkan ke flet Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas kira-kira setahun lalu, manakala ada segelintir keluarga menetap di Taman Tampoi Utama, hasil bantuan kerajaan. Namun, apa yang mengecewakan, usaha kerajaan untuk menangani masalah setinggan di kampung itu tidak berakhir di situ, selepas masalah baru wujud apabila dihuni lebih 90 peratus warga asing. Sejak kampung itu diduduki kira-kira 1,500 penghuni baru-baru ini, banyak masalah sosial dan jenayah timbul termasuk dijadikan tempat penagihan dadah, sarang pelacuran dan terbaru kejadian rogol.Lebih mengecewakan, kerajaan negeri tidak dapat melakukan apa-apa berikutan tapak perumahan setinggan tidak tersusun itu dimiliki individu persendirian. Berikutan itu, beberapa rumah kayu dan rumah batu sedia ada dimiliki penghuni lama tapak itu dikatakan disewakan pula kepada warga asing, termasuk mereka yang bekerja di negara ini tanpa permit. Penghuni dikenali sebagai Sukran, 35, dari Tanjung Balai, Indonesia berkata, beliau sudah menetap di kampung itu sejak dua tahun lalu dengan bayaran sewa tidak tetap dengan purata kira-kira RM125 sebulan.
"Sewa tidak menentu, ada kalanya RM125 sebulan dan kadang-kadang RM130 sebulan. Sememangnya saya dan rakan lain selesa menetap di sini," katanya ketika ditemui di kampung itu baru-baru ini. Bagaimanapun, keadaan itu tidak digemari penduduk terdahulu kampung itu, Sarah Abdullah, 53, kerana pelbagai masalah dikatakan timbul sejak kampung yang pernah didiaminya itu dihuni ramai warga asing. Sarah atau dikenali sebagai Mak Long mengakui sudah menetap di kampung berkenaan selama 25 tahun sebelum berpindah ke kediaman PRR Kempas kira-kira setahun lalu. "Kini saya masih datang ke sini untuk berniaga kuih-muih dan minuman berdekatan surau di sini, namun banyak perkara kurang baik yang saya dengar termasuk berlakunya kes rogol dan gejala dadah di kampung ini. "Saya berharap kerajaan dapat merobohkan, membersihkan dan memagar kawasan ini kerana semua penduduk asal kampung ini sudah pun dipindahkan. Kini tinggal kurang 10 peratus penduduk tempatan menetap di sini, dan selebihnya warga asing," katanya yang sanggup berniaga di tempat lain sekiranya kerajaan memusnahkan setinggan di kampung itu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian berkata, kawasan kampung seluas kira-kira 60 hektar itu dimiliki seorang individu juga pewaris pemilik asal tanah dan kini menetap di Singapura. "Tanah itu dikurniakan Sultan terdahulu kepada pemiliknya untuk dibangunkan dengan pegangan hak milik tanah selama 999 tahun. "Namun, selepas pemiliknya meninggal dunia, warisnya yang masih membayar cukai tanah setiap tahun tidak pula membangunkan kawasan ini sebaliknya membenarkan tapak ini disewakan kepada warga asing," katanya. Katanya, sebagai wakil rakyat, masalah sosial di kawasan itu disedari sudah mula meningkat termasuk menjadi tempat 'mat gian', wujudnya aktiviti pelacuran dan terbaru, kejadian rogol. Osman berkata, lokasi tanah itu berdekatan Taman Bukit Mewah, Taman Anggerik, Taman Cempaka dan Taman Impian Emas dan menjadi satu kawasan strategik untuk dibangunkan daripada dibiar menempatkan warga asing. "Saya sudah cadangkan kepada kerajaan supaya tanah ini diambil mengikut Kanun Tanah Negara, kerana pemiliknya didapati menyalahguna tanah diberikan. "Saya harap menerusi Akta Kanun Tanah Negara, tanah ini dapat diambil kembali oleh kerajaan untuk dibangunkan kerana lokasinya yang strategik di bandar raya ini," katanya. |
Posted: 28 Feb 2011 03:17 PM PST Wilayah MERLIMAU: Dalam tempoh dua bulan sejak Januari lalu, Unit Pembangunan Desa (UPD) Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM) meluluskan 49 permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau membabitkan kerja pembinaan baru dan membaiki kerosakan rumah dengan kos RM550,398.Keprihatinan UPD itu pastinya melegakan penduduk sekali gus membantu mereka meneruskan kehidupan dengan lebih baik berbanding sebelum ini yang terpaksa tinggal di rumah usang dan uzur. Seorang penerima bantuan PPRT, Sapi Md Arof, 73, dari Kampung Ayer Merbau, berkata beliau amat gembira dan bersyukur kerana kerajaan membantu beliau dan keluarganya untuk memiliki kediaman yang selesa. "Kerajaan bukan saja membantu kami memiliki kediaman sendiri, malah kerosakan bumbung rumah saya juga mendapat perhatian apabila dibaiki menerusi kerja membaik pulih yang dilakukan baru-baru ini," katanya ketika ditemui di sini, semalam.Seorang lagi penduduk, Zakaria Keling, 52, berkata usaha dilakukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Ayer Merbau dengan membuat pemantauan terhadap permohonan penduduk yang memerlukan PPRT itu amat baik demi kesejahteraan penduduk. Zakaria berkata, jika dulu, beliau sekeluarga terpaksa tinggal di rumah yang usang dan reput, namun keprihatinan kerajaan dalam membantu menyediakan rumah PPRT dapat mengubah kehidupan mereka sekeluarga. "Saya begitu terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri dan berterima kasih kepada kepimpinan negeri termasuk bekas wakil rakyat, Allahyarham Datuk Mohamad Hidhir Abu Hasan yang begitu prihatin dengan nasib kami sekeluarga.
Seorang lagi penerima PPRT dari Kampung Chinchin, Mariani Hasan, 52, pula berkata beliau amat berterima kasih kepada kerajaan BN kerana begitu prihatin dengan rakyat yang kurang bernasib baik sepertinya. Beliau yang juga ibu tunggal sebelum ini tinggal di rumah pusaka ibu bapanya dan lega apabila permohonan untuk mendapatkan rumah PPRT diluluskan JKMM. "Sebelum ini saya tinggal di rumah arwah ibu bapa saya yang juga mempunyai ramai nama ahli keluarga, tetapi dengan adanya rumah PPRT ini, saya dan dua anak saya dapat tinggal di rumah baru dengan lebih selesa dan sempurna," katanya. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Wilayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan