Jumaat, 18 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Usaha lahirkan pelayar tempatan

Posted:

Usaha lahirkan pelayar tempatan

Usaha lahirkan pelayar tempatan

Oleh FAUZI MOHD.
utusanterengganu@utusan.com.my


Para peserta turut diuji dengan menyertai pertandingan Pelayaran Remaja EPIC ketika Klinik Pelayaran Remaja di Pulau Duyung, Kuala Terengganu, baru-baru ini. –utusan/FAUZI MOHD.


KUALA TERENGGANU 17 Mac – Menjadi tuan rumah kepada kejohanan tahunan berprestij dunia, Piala Monsun dengan menarik penyertaan pelayar-pelayar ternama mungkin suatu yang membanggakan.

Namun, kerajaan negeri tentunya tidak mahu sekadar berbangga sedangkan rakyat tempatan hanya memerhati sukan yang agak asing dan mungkin sukar difahami dan dikuasai itu.

Justeru, Terengganu kini menggiatkan usaha untuk melahirkan jaguh-jaguhnya sendiri pada masa depan yang mampu diketengahkan bagi bersaing di persada dunia.

Apatah lagi, di Muara Sungai Terengganu di sebagai lokasi Piala Monsun berlangsung, tempat lokasi di mana tamadun negeri tercipta dengan tradisi pembinaan perayu layar dan kapal dagang.

Melalui Kelab Perbendaharaan Negeri Terengganu (KPNT) dan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC), inisiatif diambil dengan menganjurkan Klinik Pelayaran Remaja baru-baru ini.

Penganjuran program dua hari ini merupakan kesinambungan daripada program pertama pada Mac tahun lalu yang bertujuan menanamkan minat generasi muda untuk bergiat secara serius dalam sukan ini.

Tahun lalu, 28 pelajar sekolah menengah dari negeri ini telah dilatih untuk mengetahui asas sukan itu dan 28 lagi peserta pada tahun ini menyertai program yang merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat pihak EPIC.

Pengerusi KPNT, Mohd. Huzairil Nizam Ibrahim berkata, klinik itu memberi pendedahan mengenai sukan dan cabaran pelayaran kepada golongan remaja berusia antara 14 hingga 17 tahun.

Katanya, bertempat di Ri-Yaz Heritage Marina Resort and Spa, program ini dikendalikan oleh T-Best Events iaitu agensi yang turut menguruskan kejohanan kapal layar Piala Monsun sejak 2005.

"Sama seperti tahun lalu, empat pasukan menyertai klinik ini dan seterusnya menguji kemampuan pasukan dengan Pertandingan Pelayaran Remaja EPIC pada hari keduanya.

"Pasukan pelayar muda ini berpeluang menimba pengalaman dengan berlatih menggunakan perahu layar Foundation 36, iaitu perahu yang sama digunakan oleh pelayar dalam kejohanan kapal layar Piala Monsun," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Empat pasukan yang terlibat adalah Treasury Junior, Permint Junior 1, Permint Junior 2 dan pasukan dari Pusat Aktiviti Kanak-Kanak Chendering.

Tambah Mohd. Huzairil, peserta didedahkan dengan aspek asas tentang sukan layar yang merangkumi isu keselamatan dan format pertandingan serta pelbagai jenis perlumbaan dalam lapan sesi program.


Kesemua peserta remaja yang menyertai Klinik Pelayaran Remaja EPIC di Pulau Duyong, Kuala Terengganu, baru-baru ini.


Katanya, selain penerangan berbentuk teori di dalam kelas, peserta turut dibawa ke marina bagi menerangkan sebahagian daripada jenis-jenis kapal yang diguna untuk kejohanan dan fungsi setiap posisi awak dalam perlumbaan.

"Para peserta akan diajar aspek teknikal, peraturan perlawanan, taktik dan strategi sebelum empat pasukan itu bersaing di antara satu sama lain di penghujung program.

"Peserta turut didedahkan dengan cara mengawal keadaan semasa dalam kapal dan aspek pengendalian layar dengan baik," jelasnya.

Apa yang penting, katanya, program itu menekankan aspek keyakinan dalam diri peserta untuk menghadapi segala cabaran secara berkumpulan serta menunjukkan sikap bertanggungjawab dalam diri masing-masing.

Peserta juga berpeluang untuk belajar secara langsung daripada pelatih yang sememangnya berpengalaman dan telah mencipta nama dalam kejohanan sebelum ini seperti David Mills yang juga Pengurus Kejohanan Piala Monsun.

Turut diberi kepercayaan menjadi 'mentor' pada program ini, Juara Malaysia Match Racing (MMR) 2010, Sean Ong Khong Shing; Juara MMR 2009, Hazwan Hazim Dermawan; Juara MMR 2008, Nurul Ain Md. Isa dan pelajar elite dari pasukan kebangsaan, Nik Ashraf Qaedi.

Sementara itu, Pengarah Urusan EPIC, Ramli Shahul Hameed dalam ucapan penutup program itu berkata, pendedahan tersebut dibuat bagi memberi peluang kepada anak tempatan menunjukkan bakat yang sebelum ini tidak pernah digilap.

Katanya, pihak penaja berharap lebih ramai jaguh mampu dilahirkan walaupun sekarang sudah mempunyai beberapa anak tempatan yang terlibat sepenuhnya dalam sukan ini.

"Sokongan kerajaan dan pihak swasta menjadi kunci kepada usaha memartabatkan sukan ini serta peluang yang diperoleh dapat dimanfaatkan untuk sesi latihan sama ada hujung minggu atau setiap kali cuti persekolahan.

"Sekurang-kurangnya mereka mempunyai satu pengalaman pembelajaran yang baru selain daripada tumpuan dalam bidang akademik," katanya.

Dalam pada itu, David Mills juga mahu memperbetulkan persepsi masyarakat yang menganggap sukan perahu layar sebagai sukan mahal.

Pada masa kini, katanya, peluang lebih terbuka dengan segala kelengkapan dan kemudahan yang sudah disediakan oleh kerajaan serta sokongan kuat daripada syarikat korporat.

"Mereka yang berminat serta mempunyai kesungguhan tidak perlu membeli sebuah kapal, tetapi cukup sekadar dengan baju keselamatan dan sepasang sarung tangan," katanya.

Beliau sempat mengingatkan, ciri-ciri juara dalam sukan itu adalah keupayaan melakukan banyak perkara pada satu masa dan kebolehan membuat keputusan dengan pantas.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

MDS turun sewa kedai 30 peratus

Posted:

MDS turun sewa kedai 30 peratus

MDS turun sewa kedai 30 peratus

Oleh ADNAN MOHAMAD
utusanterengganu@utusan.com.my

SETIU 17 Mac - Majlis Daerah Setiu (MDS) bersetuju menurunkan kadar sewa hampir 30 peratus terhadap para peniaga di Perkedaian Buluh Perindu dekat sini bermula bulan ini.

Kadar baru sewa kedai bagi kawasan itu ialah RM500 sebulan berbanding RM650 sebelum ini untuk lot kedai aras bawah, manakala tingkat atas pula diturunkan kepada RM300 berbanding RM500 sebulan.

Yang Dipertua MDS, Ishamudin Hashim memberitahu, pihaknya mengambil langkah sedemikian setelah mengambil kira kepentingan semua pihak untuk tidak membebankan para peniaga terlibat.

Menurutnya, bayaran sewa yang ditawarkan oleh MDS sebelum ini dikatakan agak tinggi sehingga mendorong para pekedai di premis tersebut mengemukakan rayuan.

"Menyedari masalah itu, MDS bersetuju menurunkan sewa bulanan 30 peratus supaya ia tidak membebankan. Kita harap mereka (peniaga) tak ada masalah untuk membayar sewa dengan kadar sewa baru ini.

"Walaupun sewa baru ini dianggap terendah berbanding daerah lain di negeri ini kerana ia terletak dalam lokasi Perkedaian Buluh Perindu dalam bandar ini, demi kepentingan kedua pihak (MDS dan peniaga), maka kita akur," katanya.

Beliau menyatakan demikian pada Karnival Sehari Bandar Permaisuri dan Perasmian Perkedaian Buluh Perindu MDS di sini semalam.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Permaisuri, Abdul Halim Jusoh. Hadir sama ialah Pegawai Daerah Setiu, Mohamad Nor Ibrahim.

Sempena program itu, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti persembahan artis dari Kumpulan Iklim, Saleem selain pertandingan karaoke terbuka, dikir barat, street soccer dan gerai pameran yang disertai agensi kerajaan serta swasta.

Ishamudin berkata, Perkedaian Buluh Perindu yang mengandungi 32 unit termasuk taman permainan kanak-kanak telah siap Ogos tahun lalu dan ia menelan kos RM3.3 juta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, 24 unit kedai menjual pelbagai barangan manakala lapan unit lagi menempatkan pejabat beberapa agensi kerajaan di daerah itu.

"Semua peniaga terlibat di situ telah menjalankan perniagaan masing-masing sejak awal tahun ini," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Kampung Seri Kenangan JKKK Terbaik Setiu

Posted:

Kampung Seri Kenangan JKKK Terbaik Setiu

Kampung Seri Kenangan JKKK Terbaik Setiu


Muhammad Nor Ibrahim (berbaju batik) menyerahkan replika cek kepada Mohammad Saad (empat dari kiri) pada Pertandingan Kebersihan Kampung Daerah Setiu 2010 di Dewan Pejabat Pelajaran Daerah Setiu, kelmarin.


SETIU 17 Mac -Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Seri Kenangan dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 apabila dinobatkan sebagai JKKK Terbaik Daerah Setiu 2010, semalam.

Selain memenangi kategori itu, JKKK tersebut turut menjuarai dua kategori iaitu JKKK Terbaik DUN Langkap dengan meraih wang tunai RM2,000 dan kategori Kebersihan Kampung Luar Kawasan Operasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sekali gus membolot hadiah RM1,500.

Dalam pertandingan Kebersihan Kampung Daerah Setiu, JKKK Gong Batu dari DUN Permaisuri pula diisytiharkan Kampung Paling Bersih di daerah ini dengan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000.

Selain itu, JKKK berkenaan yang dikenali sebagai perkampungan Laguna Setiu turut menjuarai kategori JKKK Terbaik DUN Permaisuri yang meraih RM2,000 dan Kebersihan Kampung Dalam Kawasan Operasi (PBT) dengan hadiah RM1,500.

JKKK Guntung Luar pula mendapat tempat kedua (RM1,000) dan ketiga ialah JKKK Rhu Sepuluh (RM800) untuk kategori Kebersihan Kampung Dalam Kawasan Operasi PBT.

Bagi kategori Kebersihan Kampung Luar Kawasan Operasi PBT itu, naib johan dimenangi oleh JKKK Langkap (RM1,000) dan JKKK Bahagia (RM800).

JKKK Rhu Sepuluh juga turut mendapat RM1,500 selepas menduduki tempat kedua manakala tempat ketiga disandang oleh JKKK Guntung Luar (RM1,000) bagi kategori JKKK terbaik DUN Permaisuri.

Di samping membawa pulang hadiah wang tunai, semua pemenang dalam pertandingan anjuran Pejabat Daerah Setiu (PDS) itu turut menerima sijil penghargaan, surat rasmi dan baju T yang disampaikan oleh Pegawai PDS, Mohamad Nor Ibrahim.

Sementara itu, Penolong Kanan Pegawai Daerah, Mohamad Ridwan Mohd. Nor berkata, 20 JKKK daripada 78 JKKK di daerah Setiu menyertai pertandingan itu yang terbahagi kepada enam kategori sepanjang tahun lepas.

Menurutnya, para hakim yang terlibat dengan penilaian program itu ialah pegawai dari Majlis Daerah Setiu (MDS), Jabatan Pertanian Daerah, Jabatan Veterinar Daerah, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah, Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan Pejabat Kesihatan Daerah.

"Bagi kategori JKKK Terbaik Daerah Setiu, ia baru diadakan tahun lalu manakala kategori lain telah dianjurkan sejak 2005.

"JKKK Terbaik dinilai melalui pelbagai aktiviti, termasuk mesyuarat bulanan JKKK, keceriaan kampung, kepimpinan, kemajuan masa lampau dan penyediaan profil kampung," katanya ketika ditemui pada majlis tersebut di Dewan PDD dekat sini.

Hadir sama ialah Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Rohaizat Abd. Ani dan Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah, Saari Mustaffa serta Ketua Penolong Pentadbir Tanah Daerah, Marzuki Endut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan