Khamis, 17 Mac 2011

Utusan Online - Jenayah

Utusan Online - Jenayah


Kapal alatan senjata ditahan

Posted:

Kapal alatan senjata ditahan

Kapal alatan senjata ditahan

Oleh AZIAN AZIZ, ANGELINA SINYANG dan MOHD. ASRON MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my


ISMAIL Omar melihat Duta Jepun, Masahiko Horie (tengah) mencuba peralatan keselamatan pada majlis penyerahan Geran Bantuan Kerajaan Jepun kepada PDRM di Pulau Indah, semalam.


PELABUHAN KLANG 17 Mac – Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar hari ini mengesahkan polis menahan sebuah kapal dan merampas dua kontena yang memuatkan peralatan membuat senjata pemusnah di Pelabuhan Utara pada 8 Mac lalu.

Menurut Ismail, kedua-dua kontena itu diperiksa oleh sepasukan polis yang mendapat maklumat mengenainya sebaik sahaja kapal itu transit di Pelabuhan Utara.

Menurut beliau, selagi isi kandungan kontena itu tidak diketahui, pihaknya tidak akan membuat sebarang kenyataan dan meminta tiada pihak membuat spekulasi mengenainya.

Bagaimanapun, katanya, apa yang diketahui oleh polis setakat ini adalah peralatan tersebut berbentuk seperti dandang (boiler) atau mesin pengadun.

"Kedua-dua kontena itu dikatakan dibawa dari China oleh sebuah kapal dagang dan ketika ditahan, ia dalam perjalanan ke Iran.

"Kita telah minta bantuan pihak Interpol untuk mengesahkannya," kata beliau kepada pemberita selepas majlis penyerahan Geran Bantuan Kerajaan Jepun kepada PDRM di Pangkalan Marin Pelabuhan Klang di Pelabuhan Barat, Pulau Indah di sini hari ini.

Sebuah akhbar tabloid percuma berbahasa Inggeris hari ini melaporkan, PDRM telah merampas dua kontena mengandungi peralatan dipercayai digunakan untuk membina senjata pemusnah termasuk peledak nuklear dari sebuah kapal dagang di Pelabuhan Klang kira-kira 10 hari lalu.

Menurut laporan itu, kedua-dua kontena tersebut dirampas selepas didapati membawa peralatan yang disyaki berbahaya.

Ismail berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan apa sebenarnya peralatan yang berada di dalam kontena tersebut kerana masih menunggu laporan daripada Lembaga Perlesenan Tenaga Atom.

Kata beliau, pihaknya juga masih belum mengenal pasti siapa pemilik kontena tersebut dan pembelinya.

"Yang penting keadaan memang terkawal dan kita juga telah mengambil tindakan dengan menahan kapal tersebut mengikut Akta Perdagangan Strategik," kata beliau.

Sementara itu, Ismail dalam kenyataan yang dikeluarkan petang ini mengesahkan, PDRM telah menerima satu laporan polis berhubung rampasan barangan terbabit yang dibuat oleh pegawai dari pejabat Pengawal Perdagangan Strategik Malaysia pada 8 Mac lalu.

Menurutnya, barang-barang itu dirampas dari Kapal Bunga 1 iaitu sebuah kapal kepunyaan syarikat MISC yang telah berlabuh di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang pada hari sama.

"Barang-barang yang dirampas adalah dua kontena dipercayai mengandungi barang-barang strategik yang memerlukan permit untuk dieksport atau dibawa untuk transit seperti mana kehendak Akta Perdagangan Strategik Akta 2010 (Akta Perdagangan Strategik).

"Siasatan sedang dijalankan oleh PDRM di bawah Seksyen 9(2) Akta Perdagangan Strategik Akta 2010," katanya.

Ismail juga mengesahkan tiada tangkapan dibuat setakat ini tetapi sudah merekodkan keterangan 34 saksi untuk membantu siasatan.

Hishammuddin pula ketika bercakap di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur berkata, kerajaan memberi perhatian serius terhadap perkara itu kerana menyedari penyeludupan peralatan itu boleh mengancam keselamatan negara.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Lima suspek didakwa menipu

Posted:

Lima suspek didakwa menipu

Lima suspek didakwa menipu

Oleh ASLIZA MUSA
utusanperak@utusan.com.my


MOHD. Shukri Dahalan menunjukkan kepala surat dan dokumen mengenai kes penipuan dalam pembelian tanah pada sidang akhbar di Ipoh, Perak, semalam. - Utusan/Roy Azis Abd Aziz


IPOH 17 Mac - Seorang pesara pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) adalah antara lima suspek yang ditahan kerana terlibat dalam kes penipuan pembelian tanah seluas 9.7 hektar di Bidor dengan menyamar sebagai pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG), baru-baru ini

Selain pesara itu, empat lagi yang ditahan adalah dua bekas kakitangan dan seorang pembantu am di PTG Ipoh serta seorang broker tanah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Shukri Dahalan berkata, kesemua mereka berusia antara 28 hingga 56 tahun ditahan selepas polis menerima aduan daripada seorang peniaga besi buruk yang terpedaya dengan penyamaran kumpulan itu.

Menurutnya, suspek menyamar sebagai pegawai di PTG dan menawarkan bantuan memohon tanah di negeri itu kepada peniaga tersebut.

Katanya, suspek kemudian meyakinkan mangsa bahawa permohonan untuk tanah yang dimohon telah diluluskan dengan menyerahkan beberapa dokumen kelulusan daripada PTG.

"Penipuan itu terbongkar apabila mangsa membuat semakan di PTG dan mendapati tiada permohonan tanah diluluskan di bawah namanya manakala dokumen-dokumen yang diserahkan suspek adalah palsu.

"Ekoran itu, mangsa yang mengalami kerugian sebanyak RM24,000 telah membuat laporan polis dan kesemua suspek berjaya ditangkap di sekitar Ipoh dan Tapah," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, semasa tangkapan tersebut, polis merampas sembilan cop PTG palsu, 45 keping kepala surat PTG, 20 helai dokumen PTG palsu dan 13 resit rasmi bayaran premium PTG palsu.

Selain itu katanya, turut dirampas 4 keping salinan pelan tanah dan sebuah komputer riba yang disyaki digunakan untuk menghasilkan dokumen palsu tersebut.

"Siasatan mendapati kumpulan tersebut telah memalsukan surat kelulusan permohonan tanah dengan menggunakan kepala surat PTG Ipoh serta meniru tandatangan pegawai yang berkuasa meluluskan permohonan.

"Kesemua suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan hasil semakan polis mendapati tiada rekod kesalahan lama membabitkan mereka," katanya.

Menurutnya, pihak polis kini masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti mangsa-mangsa atau suspek lain yang terlibat dalam kes penipuan itu.

Mohd. Shukri turut menasihatkan orang ramai supaya tampil membuat laporan polis sekiranya terdapat keraguan berhubung transaksi pembelian tanah dan memeriksa di PTG mengenai kesahihan sesuatu dokumen pembelian.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya sedang memburu seorang wanita dan seorang lelaki yang dikenal pasti terlibat dalam penipuan membabitkan penggunaan nama Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.

"Kita telah mengenal pasti kedua-dua suspek yang terlibat dan tangkapan akan dibuat dalam masa terdekat," katanya.

Pada 7 Februari lalu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak, Datuk Azhar Ahmad membuat dua laporan polis selepas menerima dua surat menggunakan kepala surat Menteri Besar dan mempunyai tanda tangannya berhubung kelulusan tanah pertanian di dua lokasi oleh kerajaan negeri.

Surat pertama membabitkan kelulusan tanah pertanian seluas kira-kira 324 hektar di Mukim Kenering manakala surat kedua dengan menggunakan modus operandi sama membabitkan kelulusan tanah seluas kira-kira 400 hektar di Mukim Pengkalan Hulu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan