Utusan Online - Timur |
- Paparan keindahan kain dunia Melayu
- RISDA lulus peruntukan RM3.2 juta
- Teguran bapa bawa tuah Siti Hawa johan seni khat
Paparan keindahan kain dunia Melayu Posted: Paparan keindahan kain dunia MelayuOleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOBM
KUALA TERENGGANU 14 Mac – Dalam tradisi masyarakat silam, kain atau istilah moden dan komersialnya, tekstil bukan sekadar menutup tubuh, ia lebih daripada itu, dengan menjadi hiasan diri dan cerminan peribadi. Melalui proses evolusi, dari segi reka corak dan pemakaian, penggunaan kain disesuaikan dengan strata kehidupan dan pandai seni tenunan mencurahkan jiwa mereka bagi memancarkan keindahannya. Ungkapan 'sedap mata memandang' menjadi sebahagian daripada ukuran nilai dengan segenap corak mengandungi makna dan lambang yang dipetik dari unsur alam dan rekaan bentuknya mempunyai pelbagai fungsi. Mungkin ramai antara kita yang memakai jenis kain tertentu tetapi tidak mengenalinya, apatah lagi untuk memahami bagaimana ia dihasilkan dan menyedari betapa mempunyai estetika yang tinggi. Pameran tekstil 1ASEAN 1Jalinan oleh Lembaga Muzium Negeri di sini dengan kerjasama Terengganu Institute Of Design Excellence (TIDE) yang bermula hari ini berusaha beri kefahaman dan kesedaran meluas. Program yang akan berlangsung sehingga 30 Jun depan memaparkan legasi peninggalan dunia Melayu dari segi tekstil. Di sebalik keterbatasan teknologi, masyarakat silam melakukan inovasi dan kreativiti yang kemudian memperlihatkannya sebagai salah satu simbol ketinggian peradaban dan ketamadunan bangsa. Kain songket, limar, sutera, tenun, telepuk benang halus, batik dan pelangi adalah antara tekstil tradisional yang masih boleh dilihat kini. Pengarah Muzium Negeri, Mohd. Yusof Abdullah ketika ditemui berkata, pameran ini diusahakan bagi meningkatkan apresiasi dan kecintaan terhadap tekstil warisan yang unik dan tinggi nilainya. Pameran itu mengetengahkan koleksi muzium, individu-individu dan badan-badan tertentu dari negara-negara serantau yang mencerminkan persamaan dan sedikit perbezaannya.
"Di sini sejarah tekstil diketengahkan dengan bahan-bahan awal menghasilkan fabrik termasuk kulit kayu, daun nanas, pokok abaca selain kapas dan sutera. "Pengunjung juga boleh melihat demonstrasi proses penghasilan benang sehingga menjadi kain melalui pelbagai peralatan yang digunakan di samping membeli produk melalui gerai-gerai yang disediakan. "Peralatan, bahan dan teknik tradisional pembuatan tekstil melalui proses tenunan, sulaman, batik, tekatan, mengait serta hiasan manik boleh disaksikan selain persembahan fesyen dan bengkel," katanya. Pada masa silam, laut dan bahtera menjadi penghubung yang turut menjalin kerja pandai seni tenunan nusantara dan saling mempengaruhi. "Kebanyakannya memiliki persamaan dalam pelbagai sudut. Ini menunjukkan masyarakat dalam satu rumpun ini saling berkongsi dalam berbagai bidang termasuk dalam teknologi penghasilan tekstil," katanya. Kapas dan sutera melengkap tekstil dari India dan China, berlegar melalui sistem perdagangan dalam dunia Melayu yang kemudiannya membantu mencorak wajah dan identiti tersendiri bagi setiap negara. Ia bukan sahaja daripada sudut motif tetapi juga dilihat dari sudut teknik dalam menghasilkannya. "Ia memaparkan kebijaksanaan dan kreativiti kepada generasi muda yang perlu diselami dan dijiwai semula. "Mereka (generasi muda) perlu belajar menghargai keintelektualan nenek moyang mereka, di samping mengenali jati diri warisan yang masih mampu ditatap dan disentuh itu," katanya. Pameran tekstil 1ASEAN 1Jalinan menjadi wadah dalam menjayakan matlamat tersebut, di samping boleh dijadikan sumber inspirasi kepada artisan muda untuk menghasilkan koleksi tekstil yang lebih bermutu dan diminati masyarakat tempatan dan luar negara. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
RISDA lulus peruntukan RM3.2 juta Posted: RISDA lulus peruntukan RM3.2 jutaOleh TOREK SULONG
PASIR PUTEH 14 Mac - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi RISDA telah meluluskan peruntukan berjumlah RM3.2 juta bagi membantu meningkatkan pendapatan 350 penduduk miskin tegar di negeri ini. Pengarah RISDA negeri, Zahari Mat Amin berkata, kumpulan sasaran yang mendapat pembelaan kerajaan pusat itu terdiri daripada penduduk di empat jajahan iaitu Tumpat, Kota Baharu, Bachok dan daerah ini yang tersenarai dalam e-Kasih. Beliau berkata, bantuan itu berbentuk peralatan dan barangan telah diagihkan oleh RISDA selepas kursus khas Program Peningkatan Pendapatan (PPP) dilaksanakan kepada kumpulan sasaran. "Pegawai RISDA dipertanggungjawabkan memastikan pendapatan mereka mampu dijana dengan memberi bimbingan secara berterusan supaya mereka berjaya keluar daripada kepompong kemiskinan," katanya selepas majlis perasmian program peningkatan pendapatan 20 penduduk miskin tegar di daerah ini, di sini. Majlis itu dirasmikan Timbalan Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Pasir Puteh, Mohd. Rujhan Salleh. Zahari berkata, antara barangan yang diagihkan termasuk peralatan membuat kuih, jentera pembajak, peti sejuk, mesin pemotong rumput dan motosikal roda tiga. Beliau berkata, setiap peserta yang terpilih dalam senarai e-Kasih itu mendapat bantuan barangan dan peralatan bernilai melebihi RM10,000. Katanya, RISDA turut mengagihkan bantuan lebih 10 beruk memetik buah kelapa kepada penduduk miskin yang berminat menjalankan usaha memetik buah kelapa di kawasan Tumpat dan Bachok. "Harga beruk terlatih menjangkau RM2,800 seekor dan usaha itu terbukti mampu meningkatkan pendapatan kumpulan sasaran. "Kita laksanakan pendekatan ini berasaskan minat dan kecenderungan supaya kedudukan ekonomi mereka dapat ditingkatkan," katanya. Sementara itu, Mohd. Rujhan berkata, sejak 2008 sehingga kini seramai 209 penduduk miskin di Pasir Puteh mendapat manfaat menerusi program ini dengan anggaran perbelanjaan RM1.9 juga. Beliau berkata, hasrat utama Kerajaan Pusat ialah memastikan rakyat termiskin mendapat pembelaan sewajarnya dan mampu meningkatkan pendapatan mereka bagi merapatkan jurang ekonomi dalam komuniti. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||||
Teguran bapa bawa tuah Siti Hawa johan seni khat Posted: Teguran bapa bawa tuah Siti Hawa johan seni khat
KUALA TERENGGANU 14 Mac - Teguran bapa yang meminta agar Siti Hawa Zainal Abidin, 28, memperbaiki tulisan jawinya yang teruk ketika berada di sekolah menengah tidak sia-sia. Dia yang akhirnya memilih kerjaya sebagai penulis khat di Yayasan Restu semalam muncul sebagai johan kategori karya siap (kanvas) pada pertandingan seni khat program Inspirasi Seni Khat Taman Tamadun Islam (TTI) 2011. Siti Hawa membawa pulang wang RM4,000 dan turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Piala Tengku Sri Bendahara Raja. Anak kelahiran Grik, Perak itu tidak menyangka menerima dua kemenangan berkenaan memandangkan persaingan adalah sengit dan melibatkan ramai penulis khat. Katanya, penulisan khat bermotifkan corak kayu yang diketengahkan dalam pertandingan itu merupakan idea yang difikirkan pada saat-saat akhir. "Pada mulanya, saya terfikir corak lain bagaimanapun menukarnya kerana melihat corak berinspirasikan kayu lebih menarik dan sesuai dengan lenggok tulisan yang saya mahu ketengahkan. "Saya amat berterima kasih kepada keluarga yang banyak mendorong saya dalam bidang ini," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan itu di Taman Tamadun Islam, di sini hari ini. Pada majlis berkenaan, hadiah disampaikan oleh Tengku Sri Bendahara Raja, Tengku Mustaffa Kamel. Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan bernilai RM61,000 dianjurkan oleh kerajaan negeri menerusi agensinya, TTI Sdn. Bhd. dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Malaysia. Program Inspirasi Khat TTI selama dua hari turut diisi dengan seminar yang menyentuh mengenai seminar pemantapan dan perkembangan seni khat global. Sebanyak lima kategori dipertandingkan termasuk kategori karya siap (kayu) yang dimenangi oleh Abdul Wahab Khalid. Kategori karya siap (logam) dinobatkan kepada Syed Ubaidillah Syed Mohamad dan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM5,000. Nik Abd. Rahman Zaki Nik Abd. Karim membawa pulang hadiah bernilai RM2,500 selain dinobatkan pemenang Piala Datuk Seri Ahmad Said setelah menjuarai kategori spontan (terbuka). Kategori spontan (sekolah) dimenangi oleh Muhammad Yazid Samsudin yang membawa hadiah bernilai RM700. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Timur To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan