Utusan Online - Rencana |
Posted: Gendang pilihan raya bermulaOleh SAIFUL HAIZAN
Seandainya boleh disukat, pastinya suhu politik di Sarawak semalam berada pada tahap 100 darjah celcius. Ia kerana penantian sejak berbulan lalu berhubung tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak menemui noktah iaitu berlaku esok. Lebih istimewa kali ini ia diumumkan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam sidang akhbar yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin. BN memalu gendang perang mereka dengan cukup bergaya, kehadiran Najib dan Muhyiddin secara serentak memahat satu sejarah kerana ia tidak pernah berlaku di Sarawak. Bermula dengan pertemuan Perdana Menteri bersama rakan-rakan facebook yang rata-rata terdiri daripada generasi muda, ia diikuti dengan acara kemuncak iaitu perasmian Program Sejiwa Senada Bahagian Samarahan sebelum mengadakan lawatan secara berasingan di sekitar Samarahan, Kuching dan Sri Aman. Kehadirannya amat membanggakan rakyat dan riak wajah mereka cukup gembira menantikan kehadiran dua pemimpin besar itu sehingga ada yang berlari ke arah khemah utama Program Sejiwa Senada di Pekan Serian untuk menatap wajah Najib dan Muhyiddin. Ia merupakan satu petanda baik kepada BN dan hakikat itu turut dikongsi oleh Penganalisis politik terkenal Sarawak, Dr. Jeniri Amir yang mengakui 'rating' Najib cukup tinggi di mata rakyat. Beliau yang rapat dengan denyut nadi politik Sarawak juga pantas memberikan jawapan "BN akan menang dengan majoriti dua per tiga sekali lagi" apabila diminta mengulas mengenai peluang parti pemerintah itu. Hujah beliau, sehingga hari ini masih belum ada parti pembangkang yang benar-benar berjaya mencabar BN Sarawak yang dianggotai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sabah (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik (SPDP) dalam konteks yang lebih menyeluruh. Malah beliau tanpa teragak-agak menyatakan pertarungan sebenar ialah antara calon BN dari SUPP menentang calon pembangkang DAP sahaja di kawasan-kawasan bandar. Dan kawasan bandar itu menurutnya, tidak akan mencorakkan politik Sarawak kerana jumlah kerusinya terlalu kecil jika dibandingkan dengan kerusi di kawasan luar bandar yang masih berpaksikan politik pembangunan dan bukannya politik berasaskan isu. "Di kawasan bandar, saya lihat BN perlu lebih berhati-hati jika mahu berkempen dengan kaedah pengumuman projek kerana ia tidak digemari orang Cina," katanya. Apa pun, DAP dilihat cukup fokus untuk meluaskan pengaruh mereka dan jelas mereka bertindak bijak apabila tidak menunjukkan sikap tamak berebut kerusi sebagaimana Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sanggup melukakan parti tempatan, Parti Kebangsaan Sarawak (Snap) yang kini bergelar pembangkang. DAP sedar mengenai kemampuan mereka di Sarawak, tidak sebagaimana sebuah lagi parti import dari Semenanjung, PKR yang amat bernafsu besar. "Kalau di peringkat nasional, PKR sudah bergelut masalah, masakan PKR boleh meyakinkan rakyat Sarawak. "Imej PKR dan Anwar yang tercalar teruk itu sudah cukup menggerunkan rakyat," kata Jeniri. Pembangkang, walaupun sedar mereka berdepan dengan laluan sukar, tetap tidak mahu mengalah dan membuat kenyataan demi kenyataan kononnya akan menawan Sarawak, barang kali untuk menghiburkan hati sendiri. Pelengkap Penasihat DAP, Lim Kit Siang umpamanya, menyifatkan pilihan raya negeri akan datang sebagai pelengkap kepada tsunami politik yang berlaku pada pilihan raya umum 2008. Lantaran itulah, tidak pelik jika 'hantu-hantu jembalang' dari Semenanjung yang dimaksudkan oleh Muhyiddin sudah mula kelihatan keluar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sejak beberapa hari lalu. Terpulanglah kepada rakyat Sarawak untuk membuat penilaian sama ada hantu-hantu jembalang ini berhak mencorakkan masa depan mereka. Hanya kuasa undi rakyat yang akan menentukan sama ada angka 63 kerusi yang dimiliki BN dan tujuh kerusi milik pembangkang akan berubah. Turut mencuri tumpuan ramai semalam ialah pengumuman Abdul Taib bahawa beliau akan berundur selepas menyelesaikan tugasnya iaitu mengetuai jentera pilihan raya BN dan mengenal pasti calon yang sesuai untuk mengambil alih tempatnya. Mengakui masa untuk berundur semakin hampir, Abdul Taib sebagai bapa pemodenan Sarawak membuat satu kenyataan yang cukup dalam maknanya: "Saya tidak mahu cita-cita saya (untuk memajukan Sarawak) mati dengan diri saya sendiri, saya mahu ia terus hidup selama mungkin," tegasnya. Jelas Abdul Taib, meletakkan Sarawak di atas segala-galanya dan kerana itulah Jeniri menganggap Ketua Menteri hampir 30 tahun sebagai seorang negarawan. "Seorang pemimpin yang bijaksana tahu bila masa yang sesuai untuk berundur," katanya. Menurut beliau, jasa Abdul Taib amat besar di Sarawak sebagai arkitek pembangunan dan meninggalkan jejak dalam semua bidang. "Apa yang penting sekarang ialah beliau perlu mewujudkan satu pasukan yang boleh bekerjasama bukan sahaja untuk PBB dan BN malah untuk perpaduan rakyat Sarawak," katanya. Buat rakyat Sarawak, hayatilah lirik lagu rasmi negeri sebelum membuat perhitungan politik yang dijangka berlangsung pada pertengahan April depan: Sarawak Tanah Air Ku Negeri Ku Tanah Air Ku Sarawak Engkaulah Tanah Pusaka Ku Tanah Tumpah Darah Ku Ibu Pertiwi Ku Rakyat Hidup Mesra dan Bahagia Damai Muhibbah Sentiasa Bersatu Berusaha Berbakti Untuk Sarawak Ku Cintai Sarawak Dalam Malaysia Aman Makmur Rahmat Tuhan Maha Esa Kekallah Sarawak Bertuah Teras Perjuangan Rakyat Berjaya Berdaulat Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Pecah tembok filem Melayu
MINGGUAN: Norman semakin bergerak ke hadapan dengan memecah tembok pasaran antarabangsa dalam filem terbaru Hikayat Merong Mahawangsa. Bagaimana ia bermula? NORMAN: Pertama sekali bila buat filem kena fikirkan siapa sasaran kita. Kita juga mahu buat filem yang lain dari apa yang ada di pasaran. Selalunya filem kami berbentuk komedi. Jadi untuk lari dari filem berbentuk komedi atau seram kita kena cari sebuah filem yang senang dijual antarabangsa dan tempatan. Bagi saya genre yang sesuai untuk pasaran antarabangsa adalah aksi. Kemudian kami cuba untuk mencari bentuk filem yang kami mahu buat kerana yang penting walaupun berbentuk aksi akhirnya apa yang dijual adalah cerita, bukan aksi atau teknik CGI. Itu adalah faktor tambahan. Kemudian kami buat penyelidikan dan membaca pelbagai cerita seperti Hang Tuah, Raja Brook tetapi kami dapati yang paling sesuai adalah Hikayat Merong Mahawangsa. Tetapi ia perlu dipersembahkan dalam interpretasi moden. Kami dapat tahu asal cerita ini adalah dari penglipurlara yang diceritakan dari mulut ke mulut. Ia kemudian berubah-rubah dan lebih kepada cara penceritaan lama. Dalam filem ini kita akan lihat ada elemen universal, pertama kerana ia ada melibatkan konteks antarabangsa melibatkan kerajaan Rom dan China. Bagaimana kedua-dua putera Rom dan China ini disatukan di tanah air yang baru ditubuhkan iaitu di Langkasuka. Itu yang saya rasakan ada tarikan untuk ke peringkat global dan juga tempatan. Kami juga kemudian mendapat tahu ada insentif dari Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang dinamakan geran e-content. Kami kemukakan cadangan kerana dari segi bajetnya ia memang agak besar RM8 juta dan kami tidak mampu. Kami juga terpaksa mencari penaja seperti Celcom dan Malaysian Philharmonic Ochestra dan modal dalaman sendiri. Apabila selesai pengambaran filem ini apa yang kami lakukan adalah membuat threller filem selama seminit yang kemudian kami jaja ke pasaran antarabangsa. Kami bawa ke ejen penjualan di Amerika Syarikat dan mereka yang akan buat perjanjian dengan semua pengedar lain. Bagaimana saudara boleh memulakan langkah ke pasaran luar? NORMAN: Saya sebenarnya sudah pergi meneroka pasaran antarabangsa sejak tahun 2006 lagi. Saya sudah pergi ke Hong Kong, Bangkok, American Filem Market dan mula membuat kenalan di sana. Ia sebagai networking dengan mereka untuk pasaran antarabangsa. Ada salah sebuah syarikat berminat untuk mengedar tetapi mereka tidak tahu kita boleh buat filem seperti ini. Mereka pun tidak sangka kerana pada asalnya mereka lebih kepada mahu menolong saja. Tapi apabila mereka menerima sambutan yang banyak dari negara-negara lain dan kemudian makin ramai yang mahu mengambil hak pengedaran itu. Jadi filem ini sudah terjual walaupun ia masih belum disiapkan sepenuhnya. Dari situ kami juga dapat modal untuk menampung kos selebihnya. Bagi saya tugas membuat filem itu bukan sekadar membuat filem tetapi perlu melibatkan pemasaran. Oleh itu pertama sekali kita kena tahu siapa pasaran kita, jadi kita perlu melibatkan hubungan dengan pengedar dari peringkat awal. Sekarang ini saya ada dua filem antarabangsa, satu filem animasi dan satu lagi filem aksi berkonsepkan seperti filem 300 dan Avatar. Pengambaran berlangsung di dalam studio di Cyberjaya. Kita panggil pelakon dari Hollywood berlakon dengan kami di sini. Sekarang kami sudah buat pre-sale dengan bagi skrip dahulu, apa yang kami buat bermula dari peringkat awal iaitu ketika membuat skrip lagi. Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Mingguan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan