Utusan Online - Rencana |
Memanipulasi kebangkitan rakyat Posted: Memanipulasi kebangkitan rakyatOleh Ezam Mohd Nor
SETIAP peristiwa yang berlaku di alam ini semestinya ada hikmah dan iktibar buat manusia. Begitu juga peristiwa di Timur Tengah hari ini tentunya ada pengajaran dan iktibar buat kita semua. Justeru bukan sesuatu yang luar biasa apabila kita melihat saban hari pelbagai laporan, analisis, saranan, dilakukan terhadap peristiwa besar kebangkitan rakyat Tunisia, Mesir, Libya dan negara-negara lain di rantau itu. Dalam keriuhan dunia menghadapi fenomena ini kita dapat melihat dengan jelas munculnya suara-suara lantang kelompok ahli politik pembangkang dengan pelbagai masalah peribadi dan parti politik mereka mengambil kesempatan atas peristiwa Timur Tengah untuk menutup kemelut yang melanda mereka akhir-akhir ini. Kita faham benar kerenah dan gelagat mereka ini yang akan memutar belit setiap peristiwa yang berlaku di dunia ini untuk meraih keuntungan politik buat diri mereka demi mencapai cita-cita ke Putrajaya yang tidak kesampaian. Buat kesekian kalinya mereka memainkan politik pembohongan dan melampaui batas memanipulasi peristiwa ini untuk kepentingan politik sempit mereka. Dari Tenang, Merlimau , Kerdau dan serata negara mereka menggunakan pentas ceramah cuba membangkitkan semangat kebangkitan rakyat terutamanya golongan muda untuk mengambil inspirasi kebangkitan rakyat Timur Tengah. Pemerintah dan pemimpin Malaysia disamakan dengan rejim Mubarak. Kegagalan Tunisia dan Mesir sebagai sebuah negara disamakan dengan Malaysia. Yang paling lantang tentulah Ketua Umum PKR walaupun hakikatnya tokoh politik Malaysia yang paling banyak persamaannya dengan ciri kediktatoran Mubarak adalah dirinya sendiri. Mengangkat dirinya menjadi Ketua Umum tanpa dipilih sama sekali. Malah sebenarnya kediktatoran Mubarak tidak mampu mencapai taraf kediktatoran Anwar kerana Mubarak tidak mampu meletakkan isterinya sebagai Presiden, orang yang paling istimewa bagi dirinya sebagai Timbalan Presiden, dan anaknya sendiri sebagai Naib Presiden parti dalam satu masa. Beliau jugalah yang mencipta sejarah politik tanah air dan mungkin juga di dunia ini dengan mengarahkan isterinya meletakkan jawatan sebagai ahli Parlimen sebaik setelah beliau ditangkap dengan salah laku jenayah. Kebiasaannya seorang ahli politik akan melepaskan jawatan bila disabitkan dengan kes jenayah namun bagi Anwar dia mengarahkan isterinya meletakkan jawatan sebaik selepas beliau ditahan agar dia boleh bergayut dengan jawatan politik dalam menghadapi kes salah laku jenayah peribadinya dan mengheret kes peribadi itu menjadi kes politik. Maka seluruh negara di heret dalam menghadapi kes peribadinya. Masalah peribadinya menjadi masalah negara. Mubarak dan Ghaddafi sekalipun tidak punya kemampuan memutar belit 'menegarakan' masalah peribadi mereka sehebat yang dilakukan Anwar! Kegagalan Malah Ben Ali, Ghadafi dan Mubarak dalam segala kegagalan, kekurangan, kelemahan dan kezaliman mereka tidak tergamak menghina tanah air dan bangsanya sendiri hanya kerana mahu meraih populariti. Dalam hal ini Anwar sekali lagi lebih hebat daripada mereka. Anwar mampu dan tergamak secara terbuka menghina batik Malaysia buatan anak bangsanya sendiri di Indonesia hanya kerana mahu menjadi popular. Sifat antinasional inilah yang menyebabkan negara ini menerima kesan dihina hinggakan dibaling najis di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta gara-gara ketegangan hubungan dua hala. Hidup berjiran apatah lagi serumpun adalah lumrah berlaku ketegangan dari masa ke semasa. Namun tidak pernah terjadi di dalam sejarah ketegangan dua hala sehingga kita dihina dengan dibaling najis di kedutaan kita. Ia gara-gara ada pemimpin kita sanggup menghina tanah air dan bangsanya sendiri di negara orang. Sebusuk-busuk diktator Arab tidak sanggup menghina bangsa dan tanah airnya sendiri apatah lagi bila berada di negara orang. Diktator Melayu abad ini rupanya jauh lebih hebat kediktatorannya berbanding diktator-diktator Arab itu. Malah diktator-diktator Arab itu tidak pernah kita dengar menggelar diri mereka anugerah Tuhan dan menjual kalimah Allah dengan harga undi politik. Diktator Melayu ini jauh lebih hebat sifat melampaui batasnya. Kalau diktator-diktator Arab ini dikatakan menjadi tali barut Yahudi, diktator Melayu ini juga pada hakikatnya jauh mengatasi mereka. Kononnya dia menuduh kerjaan bersekongkol dengan Yahudi kerana mangambil APCO sebagai konsultan tetapi hakikat yang diketahui oleh seluruh warga Bank Dunia beliaulah sebenarnya yang menjadi alat kepada Yahudi. Kerajaan membayar APCO untuk membuat tugas-tugas demi kepentingan negara yakni hubungan dagangan dua hala Amerika -Malaysia tetapi diktator Melayu ini sanggup menjadi alat menutup skandal Pengerusi Bank Dunia, Wolwofitz, seorang Yahudi yang menjadi Menteri Pertahanan AS semasa Iraq diserang dan ribuan nyawa tidak berdosa menjadi korban. Surat Anwar sebagai Pengerusi Yayasan Masa Depan kepada Bank Dunia untuk tutup pekung Yahudi Wolwofitz itu bukan rahsia lagi di Bank Dunia. Diktator Arab pun tidak sanggup meletakkan diri serendah itu untuk menjadi alat kepada seorang Yahudi yang telah membunuh ribuan nyawa manusia tidak berdosa. Dalam sejarah negara ini juga kita tidak pernah saksikan seorang pemimpin negara yang sanggup melakukan perbuatan sejijik itu. Dari sudut pencapaian ekonomi dan kemajuan sebagai sebuah negara jauh sekali bezanya antara Mesir,Tunisia dan Libya ini berbanding kedudukan ekonomi kita. Pendapatan perkapita di Mesir hanya AS$2 (RM6.14) sehari bermakna sekitar RM200 sebulan .Bandingkan per kapita kita lebih RM2,000 bermakna lebih sepuluh kali ganda mereka. Gaji seorang profesor di Mesir purata 1000 Pound Mesir kira-kira RM800 manakala minimum Profesor Malaysia hari ini berpendapatan RM10,000. Terlalu banyak data perbandingan yang boleh ditampilkan pokoknya ia terlalu jauh bezanya sehingga sebarang perbandingan ekonomi yang dilakukan pastinya kelihatan tempang. Justeru hanya orang yang terdesak yang sanggup berselindung di bawah fakta yang jelas untuk mengabui mata rakyat. Rakyat sekali lagi menjadi mangsa putar belit, dibakar semangat mereka berasaskan fakta palsu. Mereka di minta mengutip peristiwa Mesir dan Timur Tengah sebagai punca inspirasi mereka untuk bangkit. Hakikatnya anak muda Arab bangkit dengan menjadikan kejayaan Malaysia membina negara sebagai sumber inspirasi mereka. Kebetulan saya berada di Mesir semasa kebangkitan bermula. Saya tempuhi jalan yang disekat oleh anak-anak muda Mesir yang berdemonstrasi. Apabila mereka tahu kita dari Malaysia mereka akan bandingkan Mubarak dengan Tun Mahathir. Kedua-duanya menjadi pemimpin negara mereka pada waktu yang sama, awal 80-an tetapi Malaysia jauh meninggalkan Mesir hari ini. Mereka kecewa dengan negara mereka, Mesir tetapi mereka amat menghormati Malaysia dan bagi mereka Malaysia adalah sumber inspirasi mereka untuk bangkit melakukan perubahan. Di Malaysia pula ada pemimpin politik terdesak yang buat kerja songsang.. Mengajak rakyat Malaysia pula untuk menjadikan Mesir sebagai sumber inspirasi. Cukuplah dia seorang melakukan perbuatan songsang. Janganlah heret rakyat melakukan perbuatan yang songsang juga. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Najib dan perjuangan bahasaBisik-Bisik Mingguan PARA pejuang bahasa dan orang Melayu di Malaysia seharusnya mendengar dengan penuh lapang dada ucapan Perdana Menteri, Najib Tun Razak pada malam kemuncak Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri di Putrajaya pada Jumaat lalu. Ucapan itu akan memberikan mereka suatu perasaan dan gambaran betapa sayangnya pucuk pimpinan negara kepada Bahasa Melayu. Mereka akan tahu bahawa Bahasa Melayu bukan sahaja selamat, malah masa depannya akan diperkasakan oleh Najib dan kerajaan. Pertandingan Pidato Antarabangsa itu yang pada tahun ini disertai 59 peserta dari 56 buah negara dari seluruh dunia adalah manifestasi iltizam Najib untuk memastikan Bahasa Melayu terus menjadi bahasa dunia. Beliau bertanggungjawab memulakan pertandingan itu lima tahun lalu ketika menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri lagi. Dalam ucapan Jumaat lalu, Najib mengakui Bahasa Melayu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dan hambatan dan beliau bertekad "akan memastikan dasar-dasar yang digubal sentiasa menyokong ke arah usaha mengembang dan memperkasa Bahasa Melayu, sama ada bersifat kenegaraan mahupun keantarabangsaan." Di seluruh dunia, terdapat lebih 6,000 bahasa yang masih digunapakai, tetapi hanya 20 bahasa yang diberikan taraf bahasa rasmi. Menurut Perdana Menteri, Bahasa Melayu adalah salah sebuah daripada 20 bahasa itu dengan jumlah penuturnya lebih kurang 300 juta orang. Bahasa Melayu ialah bahasa kelima terbesar di dunia dari segi jumlah penuturnya. Selepas Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2011 berakhir, Malaysia akan mempunyai berpuluh-puluh orang sahabat muda dari 56 buah negara. Esok, mereka akan berada di Trolak, Sungkai, Perak untuk menyertai program inap desa dengan keluarga peneroka Felda sebelum pulang ke negara masing-masing. Usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu serta mempromosikan budaya, pelancongan dan keharmonian Malaysia pasti akan mendapat lonjakan besar daripada pertandingan pidato Bahasa Melayu itu dan program-program sampingan yang dijalankan. Melaluinya, Bahasa Melayu tidak mungkin mati, sebaliknya terus hidup, disegar dan disemarakkan. Pengajaran daripada pertandingan itu pula amat banyak khususnya kepada penutur asli Bahasa Melayu. Jika anda berpeluang mendengar pidato juara antarabangsa pertandingan itu pada tahun ini, Halil Ibrahim dari Turki yang begitu pandai bermain kata ketika mengusik Najib dalam pidatonya, anda pasti akan terpesona. Tidak ramai dalam kalangan kita yang selancar Halil kalau diminta berpidato. Kerana itulah, Najib mengingatkan bahawa kepetahan anak-anak muda dari negara luar menggunakan Bahasa Melayu dengan gaya dan susun kata yang begitu indah "sebenarnya memberikan sindiran tajam kepada ramai antara kita yang lebih cenderung menggunakan bahasa rojak dan bahasa pasar dalam percakapan harian, seringkali pula sarat dengan campuran bahasa dalam urusan penulisan rasmi." Bahasa Melayu adalah bahasa kita tetapi kita mungkin tewas berpidato dengan anak muda Turki itu atau sahabat-sahabatnya dari Rusia, China, Korea Selatan, hatta dari Nigeria dan Sudan, jika kita tidak sayangkan bahasa sendiri dan tidak bersama-sama memperkasakannya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan