Utusan Online - Rencana |
Posted: Wujudkan perkongsian pintarOleh NURUL ANUAR KARI NAMA Majlis Perhubungan Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI- MLC) mungkin tidak begitu dikenali berbanding Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Namun, UNI-MLC mempunyai kekuatan lebih 200,000 ahli dari 60 kesatuan kakitangan kolar putih seluruh negara yang mampu memberi impak dalam hubungan antara pekerja, majikan dan kerajaan di negara ini. Didaftarkan secara rasmi pada 2003, UNI-MLC merupakan anggota Kesatuan Global UNI (disebut You and I) yang menggabungkan sekitar 1,000 kesatuan sekerja dari 135 negara dengan keanggotaan kira-kira 20 juta ahli. Kesatuan Global UNI yang beribu pejabat di Nyon, Switzerland dibentuk pada 1 Januari 2000 bagi menggabungkan kesatuan sekerja dari empat sektor utama iaitu komunikasi antarabangsa (pos dan telekom); media dan hiburan; grafik dan pembungkusan; serta kakitangan perdagangan, insurans dan kewangan (FIAT). Di Malaysia, tugas UNI-MLC termasuk memberi khidmat nasihat dalam perjanjian bersama (CA), keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, cara kerja bersesuaian dan juga isu melibatkan pekerja asing. Baru-baru ini, UNI-MLC turut menerima anugerah Breaking Throuh iaitu pengiktirafan tertinggi peringkat global untuk sudut pengelolaan sektor-sektor yang tiada kesatuan sekerja dengan mengatur kerja kesatuan untuk pekerja yang tiada kesatuan sendiri Dalam temuramah khas bersama Presiden UNI-MLC, Mohamed Shafie BP Mammal sebelum ini, beliau berkongsi harapan untuk era baru hubungan kesatuan, majikan dan kerajaan yang lebih 'aman' kelak. "Falsafah kami mahu wujudkan perkongsian pintar dan juga mahu bekerjasama dengan kerajaan, universiti, golongan cendekiawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai matlamat serupa. "Persoalannya, bagaimana membina era perkongsian pintar ini? Ke arah keharmonian dan kesejahteraan pekerja tanpa mengabaikan hubungan yang baik dengan pihak pengurusan," katanya. Antara yang ditegaskannya adalah untuk melihat perubahan minda pemimpin kesatuan sekerja yang perlu mengikut iklim politik, ekonomi dan pertumbuhan peluang pekerjaan di rantau ini. "Perhubungan industri yang sihat dengan majikan bukan bererti kita berkompromi dengan hak kita. Perubahan ini mungkin akan dibawa golongan muda yang akan mengambil alih dalam lima hingga 10 tahun akan datang. "Falsafah mereka mungkin berbeza terutamanya dalam era perkongsian pintar yang tidak hanya melihat kepada isu pendapatan semata-mata," ujarnya. Namun, Mohamed Shafie berpendapat perubahan ke era baru tidak begitu mudah jika pihak pengurusan sendiri masih was-was dengan tahap keterbukaan terhadap kesatuan sekerja yang masih rendah. Tambahnya, majikan juga kena mengubah cara pemikiran lama terutamanya persepsi bahawa ahli kesatuan merupakan golongan yang selalu suka menentang. "Majikan sebenarnya kena jaga pekerja. Dengan cara itu, rasa hormat antara kedua pihak akan bertambah sementara produktiviti dan hasil kerja akan meningkat. "Galakkan latihan dan latihan semula supaya dapat membentuk sistem dan budaya kerja baru dalam era globalisasi kini," tegasnya. Jelasnya lagi, banyak isu boleh diselesaikan dengan baik dan mudah jika Bahagian Sumber Manusia syarikat cekap dan prihatin terhadap situasi kakitangan. "Masalah dapat diselesaikan dengan baik dan mudah jika kesatuan dapat memberi maklum balas dalam suasana kerja yang harmoni, aman dan mementingkan perkongsian pintar semua pihak. Berita lanjut, sila rujuk edisi cetakan Utusan Malaysia atau langgani e-Paper di http://ebrowse.bluehyppo.com/utusan/index.asp Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Rahsia negara tanggungjawab bersama Posted: Rahsia negara tanggungjawab bersamaOleh JENERAL TAN SRI DATUK SRI AZIZAN ARIFFIN
PERUBAHAN ke atas persekitaran strategik, perkembangan teknologi maklumat dan revolusi dalam hal ehwal ketenteraan telah mencorakkan wajah peperangan masa hadapan. Sejajar itu, rancangan pembangunan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah direncanakan secara capability-based yang menyaksikan proses memperkasakan ATM melibatkan perolehan peralatan dan persenjataan baru dibuat secara berperingkat. Kesinambungannya, ATM sedang giat melaksanakan pelan peningkatan keupayaan angkatan yang merupakan dimensi keempatnya ataupun lebih dikenali sebagai Fourth Dimension Malaysian Armed Forces. ATM yakin usaha ini akan melonjakkan keupayaannya pada masa hadapan dari segi pelaksanaan operasi, cegah rintang yang kredibel serta kelebihan asimetri dan penggandaan kekuatan yang akan mengurangkan jurang keupayaan masa kini. Sesungguhnya, hanya ketumbukan yang mantap akan dapat memberi keyakinan kepada rakyat bahawa ATM benar-benar mampu melindungi kedaulatan dan kepentingan strategik negara. Keprihatinan berterusan kerajaan terhadap keperluan tersebut amat ATM hargai. Hasilnya, dapat dilihat pada hari ini di mana sistem pertahanan negara kini diperkuatkan lagi dengan kehadiran aset-aset kapital pertahanan yang moden dan berteknologi tinggi. Tujuan pemodenan tersebut bukanlah untuk kita berlumba atau bermegah dengan mana-mana negara, tetapi semata-mata demi menentukan pembangunan ekonomi dan sosial yang stabil, keselamatan dan kedaulatan negara kekal di tahap yang tinggi serta membolehkan kita menyumbang terhadap keselamatan dan kestabilan serantau dengan efektif. Dalam proses transformasi keupayaan ini, ATM akur akan keperluan untuk berbelanja secara berhemah. Langkah untuk mengubah rancangan perolehan peralatan berdasarkan ancaman (threat-based) kepada keupayaan (capability-based) merupakan satu langkah yang bertepatan. Pembangunan keupayaan secara capability-based mampu mempersiapkan ATM untuk menghadapi ancaman yang lebih meluas (multi spectrum) dengan kos yang lebih rendah. Sungguhpun demikian, perolehan peralatan ketenteraan dewasa ini bukannya murah, malahan semakin hari semakin meningkat. Ini kerana nilai bagi setiap peralatan dan persenjataan bergantung kepada teknologi yang khusus untuk keperluan ATM serta menghadapi dinamisme perkembangan keselamatan serantau yang mempengaruhi keselamatan negara. Pihak pengeluar persenjataan dan peralatan lazimnya akan membuat penyesuaian bagi memenuhi keperluan yang digariskan oleh ATM. Pakej sebegini semestinya mempunyai kos yang jauh berbeza dengan peralatan atau persenjataan yang dibeli secara off the shelf (mengikut spesifikasi pihak pengeluar). Kos tersebut belum mengambil kira aspek nilai tambah seperti kos penyelidikan dan pembangunan (R&D), perolehan teknologi, pemindahan teknologi, perkhidmatan sokongan dan sebagainya. Secara jelas, adalah tidak wajar untuk membuat perbandingan bajet pertahanan sesebuah negara dengan negara-negara lain secara emotional equation tanpa memahami keperluan khusus sebenar negara tersebut, terutama sekali kepada negara-negara membangun. Sebagai pengguna dalam bidang pertahanan yang telah sekian lama mendokong keperluan pertahanan negara, ATM sentiasa mematuhi prosedur yang ketat serta melakukan pertimbangan dan kajian yang terperinci di antara kos dan keupayaan sebelum mengesyorkan setiap rancangan perolehan kepada kerajaan. Keupayaan pertahanan negara adalah rahsia negara yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan warga Malaysia yang mempunyai akses terhadapnya. Rahsia keupayaan pertahanan negara boleh diibaratkan seperti rahsia keselamatan rumah kita. Melalui pandangan mata kasar, orang luar boleh mengetahui bahawa rumah kita berpagar dan mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lain. Namun begitu, mereka tidak akan mengetahui ciri-ciri terperinci mengenai keselamatan dan hal ehwal dalaman rumah kita, jika tidak diberitahu. Apabila rahsia atau ciri-ciri terperinci ini diketahui umum, secara langsung aspek keselamatan dan rahsia dalam rumah kita akan dikompromi dan terdedah kepada pelbagai ancaman seperti jenayah, tohmahan dan fitnah. Begitulah juga dengan kerahsiaan keupayaan ATM termasuk perolehan kelengkapan, sistem dan teknologi pertahanan tidak boleh didedahkan kepada umum kerana ia akan menjejaskan kesiagaan pertahanan negara dan semangat juang pasukan keselamatan. Sehubungan itu, rancangan pemilikan aset strategik ATM yang merupakan maklumat berdarjah perlu dilindungi kerahsiaannya. Pendedahan maklumat berhubung keupayaan dan rancangan aset-aset pertahanan negara sewenang-wenangnya, tanpa ada kesedaran tentang implikasi negatif terhadap kewibawaan ATM dan kemampuan pertahanan negara pada masa hadapan, tidak sepatutnya berlaku. Umum perlu sedar bahawa sebarang kompromi mengenainya akan menjejaskan tahap kesiagaan dan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara. Secara sedar atau tidak, tindakan tersebut juga jelas bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi Negara. ATM, seperti mana-mana organisasi kerajaan yang lain, mengikuti proses perolehan yang ditetapkan kerajaan. ATM juga akur, sebagai stake-holder, rakyat perlu maklum akan perolehan aset-aset utama pertahanan negara. Namun, ciri-ciri terperinci sistem pertahanan tidak sepatutnya dihebahkan, kerana ia adalah rahsia dan strategi ketenteraan untuk ATM menghadapi musuh ketika krisis atau peperangan. Pendedahan rahsia tersebut adalah umpama pucuk dicita ulam mendatang kepada musuh, ini kerana bukanlah mudah untuk mendapatkan rahsia negara seumpama ini. Tiada mana-mana negara secara sukarela mendedahkan rahsia ketenteraan mereka, melainkan melalui tindakan pengintipan, sabotaj atau pengkhianatan. Secara sedar atau tidak, usaha keterlaluan dalam mempolemik serta mendedahkan perolehan dan keupayaan ATM, umpama mencemuh dan memperlekehkan pasukan keselamatan. Harus diingat bahawa pasukan keselamatan inilah yang selama ini telah menjamin kedaulatan dan keselamatan negara semasa era konfrontasi dan darurat. Pasukan keselamatan inilah juga yang akan sentiasa berjuang di masa hadapan demi memastikan negara kita kekal berdaulat dan rakyat hidup dengan aman sejahtera. Keghairahan mempersenda dan mendedahkan keupayaan sistem pertahanan negara akan meletakkan pasukan keselamatan berada dalam kedudukan yang 'disadvantage', kerana segala rahsianya telah didedahkan. Natijahnya, tindakan mendedahkan rahsia negara seperti ini tersasar jauh daripada semangat patriotisme yang sejati. PENULIS ialah Panglima Angkatan Tentera Malaysia Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan