Utusan Online - Pahang |
- Menyelami kehidupan Orang Asli
- Logo terbesar 1Malaysia daripada bola kertas
- UMP anjur program motivasi kepada calon UPSR
Menyelami kehidupan Orang Asli Posted: Menyelami kehidupan Orang AsliOleh HARIS FADILAH AHMAD PENUNTUT Fakulti Pendidikan UKM bergambar bersama pensyarah mereka selepas melaksanakan program Opkim dengan penduduk Orang Asli di Pos Betau, Hulu Jelai, Kuala Lipis, Pahang, baru-baru ini. – utusan/Haris Fadilah Ahmad KUALA LIPIS 15 Mac – Seramai 26 penuntut tahun empat Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melaksanakan Program Operasi Khidmat Masyarakat (Opkim) di perkampungan Orang Asli Pos Betau, Hulu Jelai dekat sini baru-baru ini. Menerusi program itu, peserta didedahkan dalam kegiatan gotong-royong, pemeriksaan kesihatan, pameran kerjaya, pertandingan melukis untuk kanak-kanak dan sukaneka. Pengarah program, Siddiq Syukkri Afanddi Zahari berkata, program bertemakan Budi Ditabur, Kasih Disemai itu bertujuan merapatkan hubungan di kalangan penuntut dengan penduduk Orang Asli. "Peserta dapat menyelami pengalaman dan pengetahuan khususnya masalah dan kesukaran Orang Asli menjalani kehidupan di kawasan pedalaman walaupun tempias pembangunan mula memasuki kawasan itu. "Justeru, penuntut diberi peluang memberi sumbangan dan motivasi kepada penduduk setempat khususnya kepentingan pendidikan untuk mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang," katanya selepas majlis penutup program itu di Pos Betau, Hulu Jelai tersebut. Majlis penutup program dilaksanakan oleh pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Razak Ahmad. Menurut Siddiq Syukkri, program tersebut dapat meninjau kadar keciciran di kalangan anak Orang Asli serta mencari punca masalah dan mengatasinya untuk melengkapkan tesis peringkat ijazah penuntut Fakulti Pendidikan. "Kita berpeluang menyampaikan ceramah dan berinteraksi dengan penduduk untuk meningkatkan kesedaran serta motivasi terhadap kepentingan pendidikan," katanya. Jelasnya, pelaksanaan program tersebut adalah relevan kerana dapat memenuhi aspirasi konsep 1Malaysia. "Kita kagum melihat kesungguhan Orang Asli membanting tulang mencari rezeki serta kegigihan mereka dalam sektor pertanian sebagai sumber pendapatan," katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Logo terbesar 1Malaysia daripada bola kertas Posted: Logo terbesar 1Malaysia daripada bola kertas
ROMPIN 15 Mac - Universiti Tenaga Nasional (Uniten) Kampus Sultan Haji Ahmad Shah Muadzam Shah di sini mencipta sejarah apabila membina logo terbesar 1Malaysia menggunakan bola kertas di sini baru-baru ini. Logo terbesar itu dibina di Kompleks Sukan Muadzam Shah di sini sekali gus melayakkannya dicatatkan dalam Malaysia Book of Records. Program yang bertemakan Logo 1Malaysia Terbesar 2011 dianjurkan oleh Kelab Bahasa Inggeris, Kelab Citra Seni, Biro Kebudayaan Cina dan India serta Techflow Uniten. Pengarah program, Erzan Shafizan Gulam Mohd. berkata, program itu mengajar para penuntut Uniten melakukan perubahan daripada segi pemikiran, kreativiti dan komunikasi di kalangan mereka. Menurutnya, langkah itu akan meningkatkan kualiti penuntut dalam menghadapi apa jua situasi pada masa depan. "Objektif utama adalah merapatkan hubungan dan memupuk sifat bekerjasama antara satu sama lain dalam sebuah kumpulan. "Program ini juga membawakan konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan menekankan soal kerjasama dan menerap nilai toleransi antara kaum di universiti ini," katanya di sini baru-baru ini. Program tersebut turut mendapat kerjasama daripada The Star, Maybank cawangan Muadzam Shah, Perpustakaan Uniten, pensyarah serta pemilik kedai di sekitar Muadzam Shah. Erzan Shafizan berkata, pihaknya juga menganjurkan kerja kebajikan bagi memberi bantuan kewangan dan barang keperluan kepada keluarga yang tidak berkemampuan di sekitar kampus tersebut. Tambahnya, tiga keluarga terbabit dipilih oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang daripada tiga kaum di sekitar Kuantan iaitu Melayu, Cina dan India untuk disalurkan bantuan tersebut. | ||
UMP anjur program motivasi kepada calon UPSR Posted: UMP anjur program motivasi kepada calon UPSR
KUANTAN 15 Mac - Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Batu 10 di sini bersama Universiti Malaysia Pahang (UMP) menganjurkan program motivasi jaya diri kepada 160 murid tahun enam sekolah itu yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini. Program itu dilaksanakan oleh kalangan pensyarah dari Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK) universiti itu bagi merangsang murid-murid mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan itu. Dekan PBMSK, Prof. Abdul Jalil Borham berkata, program itu bertujuan meningkat motivasi dan kemahiran belajar dengan bantuan pensyarah UMP yang berpengalaman luas. Menurutnya, penganjuran itu akan mendedahkan murid dengan suasana pembelajaran berkesan selain membina masa depan yang lebih cemerlang. "Selain itu, ia bersesuaian dengan kehendak sistem pendidikan masa kini ke arah membina modal insan cemerlang dan seimbang," katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini. Program tersebut dikendalikan oleh pensyarah pusat itu, Dr. Muhammad Nubli Abdul Wahab dan Norihan Sulan. Selain itu, murid sekolah itu melawat makmal kejuruteraan Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA) dan makmal komputer di universiti tersebut. Dalam pada itu, kaunselor sekolah tersebut, Lukman Al Hakim Nor, 38, berkata, pendedahan yang diberikan oleh para penceramah terbabit mampu membuka minda dan menyuntik semangat kepada murid-murid sebagai persiapan diri menghadapi peperiksaan itu tahun ini. Tambahnya, murid-murid berpeluang menjalankan demonstrasi biofeedback yang berfungsi mengatasi masalah tekanan perasaan sama ada dalam kerjaya atau kehidupan seharian. "Kajian Dr. Muhammad Nubli itu berfungsi sama seperti amalan yoga yang dikatakan dapat menyelesaikan masalah tekanan manusia menggunakan teknologi. "Perkara itu boleh mengesan tahap ketidakstabilan emosi sekali gus sebagai terapi dalam menangani masalah yang dialami pelajar," jelasnya. Seorang murid, Syed Qamarul Akmal Syed Kamarudin, 12, berkata, program itu memberi semangat kepadanya untuk belajar bersungguh-sungguh dalam menghadapi persediaan peperiksaan nanti. Katanya, pengalaman melawat ke universiti itu amat bermakna buat dirinya kerana selama ini tidak pernah didedahkan dengan suasana kampus. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Pahang To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan