Selasa, 15 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Beng Hock tidak dibenar pulang

Posted:

Beng Hock tidak dibenar pulang

Beng Hock tidak dibenar pulang

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 15 Mac - Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu bahawa Setiausaha Politik Exco Selangor itu tidak terus dibenarkan pulang pada pukul 11.45 malam, 15 Julai 2009 kerana rakaman percakapan akan dibuat sebaik sahaja sesi temu bual di Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor selesai.

Ketua Bahagian Siasatan SPRM Selangor, Pemangku Penolong Penguasa Hairul Ilham Hamzah berkata, beliau memaklumkan demikian kepada Ean Yong Hian Wah semasa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan itu meminta setiausaha politiknya segera dilepaskan.

Kejadian itu berlaku semasa Hian Wah datang ke pejabat SPRM dan berada di lobi tingkat 14 bersama beberapa lelaki dan wanita sehingga menimbulkan kekecohan.

''Semasa keluar ke ruang legar, ada YB (Yang Berhormat) Ean dan dia bertanya kenapa siasatan perlu diteruskan pada waktu malam serta meminta Beng Hock dilepaskan pada masa itu juga.

''Memandangkan temu bual sedang dijalankan dan rakaman percakapan belum diambil, jadi saya tidak dapat benarkan Beng Hock pulang pada waktu itu,'' katanya.

Menurut Hairul Ilham, rakaman percakapan terus dibuat kerana beliau tidak mahu Beng Hock menokok tambah keterangannya sekiranya dibenarkan pulang dan bukan bertujuan sengaja menahannya untuk tempoh yang lama.

Walaupun tiada peruntukan mewajibkan rakaman percakapan segera dibuat, jelas beliau, tindakan itu tidak menyalahi undang-undang selain menyoal saksi atau suspek sehingga lewat malam adalah perkara biasa.

''Beng Hock sendiri pun tidak meminta untuk balik. Malah dia bersedia memberikan kerjasama,'' katanya.

Apabila ditegur oleh Pengerusi Suruhanjaya, Tan Sri James Foong Cheng Yuen kerana tidak memberi arahan kepada Beng Hock, Hairul Ilham menjelaskan, setiap saksi akan dibenarkan balik oleh pegawai penyiasat atau pegawai perakam selepas rakaman percakapan diambil.

Beliau juga menafikan tidak mengambil peduli kebajikan Beng Hock kerana lelaki itu berada di bawah tanggungjawab pegawai penyiasat selain jarang berurusan secara terus dengan saksi.

Kata saksi ke-22 itu, beliau dimaklumkan oleh Mohd. Anuar Ismail bahawa beg dan telefon bimbit milik Beng Hock masih berada di pejabat SPRM semasa berselisih dengan pegawai penyiasat itu sebelum menghadiri taklimat di bilik Timbalan Pengarah, Hishamuddin Hashim pada pukul 9 pagi keesokan hari.

Berikutan itu, beliau dan Mohd. Anuar masing-masing meninjau ruang rehat Bahagian Pendidikan Masyarakat dan Bahagian Siasatan bagi mencari lelaki itu.

''Selepas Beng Hock tidak dijumpai, saya berpandangan mungkin saksi pulang ke rumah sebab pegawai penyiasat, Arman Alies memberitahu saya pada malam sebelum itu bahawa Beng Hock akan dapatkan dokumen dari pejabat.

''Jadi mungkin dia tinggalkan beg untuk ambil dokumen dan datang balik ke pejabat SPRM,'' katanya.

Beliau turut memaklumkan terserempak dengan Wai Weng semasa mencari Beng Hock dan bertanya mengapa dia belum pulang selain bertanya lelaki itu sudah bersarapan atau belum.

Jelas beliau, kontraktor itu menjawab dia baru selesai dirakam percakapan dan mahu tidur sekejap serta belum bersarapan.

Terdahulu, Arman mengaku merasa marah apabila diajukan soalan berbentuk peribadi secara bertalu-talu oleh Edmund Bon dengan merujuk peguam yang mewakili Majlis Peguam Malaysia itu sebagai lelaki kacak di hujung sana.

Beliau bagaimanapun tidak merasa marah kepada pihak polis apabila hadir untuk siasatan dan rakaman percakapan dari pukul 9 malam, 17 Julai 2009 hingga 7 pagi, 18 Julai 2009 kerana beranggapan mereka menjalankan tugas serta beliau sendiri bersedia memberikan kerjasama.

''Saya tidak pernah marah pada saksi kerana tidak ada sebab untuk marah. Saksi nak cakap atau berselindung, kita akan cari dokumen dan saksi-saksi lain untuk buktikan kes berkenaan,'' katanya semasa menjawab soalan ahli suruhanjaya, Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom.

Sementara itu, suruhanjaya memaklumkan tunang Beng Hock, Sor Cher Wei telah bersetuju ditemubual oleh pakar psikiatri forensik dengan syarat keseluruhan proses tersebut dirakamkan dengan menggunakan kamera video serta dengan kehadiran peguamnya.

Manakala abang Beng Hock, Teoh Meng Kee pula memaklumkan segala perbincangan berhubung temu bual itu perlu dibuat melalui peguam mereka, Gobind Singh Deo.

Prosiding suruhanjaya yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

Beng Hock, 30, Setiausaha Politik kepada Hian Wah ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor yang terletak di tingkat 14, Plaza Masalam.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Adik Karpal meninggal, kes Anwar tangguh

Posted:

Adik Karpal meninggal, kes Anwar tangguh

Adik Karpal meninggal, kes Anwar tangguh

KUALA LUMPUR 15 Mac - Perbicaraan kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini ditangguhkan sehingga 21 Mac ini berikutan kematian adik lelaki kepada peguam bela utama Ketua Pembangkang itu, Karpal Singh.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan penangguhan setelah seorang lagi peguam bela yang mewakili Anwar, Sankara Nair memaklumkan tentang kematian ahli keluarga Karpal itu, Balwinder Singh kira-kira pukul 11 malam tadi di Pulau Pinang.

Menurut Nair, Karpal tidak dapat hadir ke mahkamah sehingga Isnin depan kerana sebagai anak lelaki sulung dalam keluarganya, peguam berkenaan diperlukan untuk menghadiri upacara keagamaan dan pengebumian mayat adiknya itu.

Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan pula menyatakan bahawa dalam keadaan sedemikian, adalah sukar untuk beliau membantah penangguhan selain mengucapkan takziah kepada Karpal sekeluarga.

Balwinder, 58, yang bekerja sebagai jurubahasa mahkamah di Pulau Pinang meninggal dunia akibat kegagalan fungsi organ badan.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar hujah balas Karpal berhubung permohonan pihak pendakwaan untuk mendapatkan perintah supaya mahkamah menggunakan kuasanya bagi mengarahkan Anwar memberikan sampel bagi tujuan analisis asid deoksiribonukleik (DNA).

Sampel Anwar dikehendaki untuk dibandingkan dengan profil DNA 'Lelaki Y' yang ditemui di dalam rektum (salur dubur) bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa diliwat oleh Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut.

Selain itu, pasukan pendakwaan memohon Hakim Mohamad Zabidin menyemak semula keputusannya dalam bicara dalam perbicaraan (TWT) pada 8 Mac lalu yang tidak menerima masuk tiga bahan bukti yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan.

Tiga bahan bukti yang tidak diterima masuk itu ialah sehelai tuala kecil Good Morning, sebatang berus gigi dan satu botol minuman plastik yang diambil dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur pada 17 Julai 2008 yang menempatkan Anwar semalaman.

Hakim terbabit memutuskan demikian selepas mendapati barang-barang kes berkenaan yang diambil bagi tujuan mendapatkan profil DNA Anwar, telah diperoleh dengan cara yang tidak sah.

Prosiding TWT diadakan ekoran bantahan barisan pembelaan terhadap barang-barang kes itu semasa ahli kimia, Nor Aidora Saedon dalam keterangannya menyatakan bahawa ujian analisis DNA terhadap ketiga-tiga barang itu menunjukkan kehadiran profil DNA 'Lelaki Y'.

Anwar, 64, dibicarakan selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan