Jumaat, 4 Mac 2011

Utusan Online - Pahang

Utusan Online - Pahang


Peneroka jadi duta kecil negara

Posted:

Peneroka jadi duta kecil negara

Peneroka jadi duta kecil negara

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


DUA pelancong Jepun cuba mencanting kain sebagai tanda kehadiran mereka ke Inap Desa Felda Jengka 25 di Kuala Krau, baru-baru ini.


KUALA KRAU 4 Mac - Tanah Rancangan Felda Jengka 25 di sini merupakan satu kawasan penempatan peneroka yang bergantung kepada hasil sawit bagi menampung keperluan kehidupan seharian.

Kini masyarakat di situ boleh berbangga kerana wujudnya program inap desa, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada mereka.

Dikenali sebagai Program Inap Desa Felda Jengka 25, pelbagai kemudahan dan pakej pelancongan menarik disediakan kepada pelancong tempatan dan asing.

Tanah rancangan itu yang terletak dalam gugusan Jengka Segi Tiga begitu dikenali oleh pelancong khususnya dari luar negara.

Kawasan itu boleh dihubungi melalui jalan raya utama sejauh 20 kilometer (km) dari Bandar Jengka, 45km dari Temerloh dan 180 km dari Kuantan.

Inap Desa Jengka 25 yang mula beroperasi pada 2004 menawarkan pelbagai pakej pelancongan seperti kebudayaan, kehidupan masyarakat peneroka dan agropelancongan.

Kedudukannya yang hampir dengan Pusat Rekreasi Gunung Senyum menjadikan tanah rancangan itu lebih popular bagi pelancong asing untuk menerokai tujuh gua misteri di situ.

Penyelaras Inap Desa Felda Jengka 25, Mohd. Tamrin Zakaria berkata, tanah rancangan itu dibangunkan pada 1978 dengan tanaman kelapa sawit seluas 629.45 hektar dan 67.72 hektar pula untuk dijadikan sebagai perkampungan peneroka yang kini dihuni 1,450 orang.

"Felda Jengka 25 juga berdekatan dengan lokasi pelancongan bertaraf dunia seperti Gua Kota Gelanggi, Taman Negara, Jerantut, Pusat Penyelidikan Pertanian Sungai Tekam (PPPTR) dan Sungai Pahang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, aktiviti yang dijalankan ialah merasai kehidupan sebenar masyarakat peneroka tentang kegiatan memetik kelapa sawit, menyusuri Sungai Pahang, memancing ikan, membuat kuih tradisional dan majlis perkahwinan.


PEGAWAI dan kakitangan Felda melihat tapak semaian benih kelapa sawit menggunakan teknologi baru yang menjadi tarikan pelancong ke Felda Jengka 25 di Kuala Krau, baru-baru ini.


Jelasnya, produk pelancongan lain ialah aktiviti kembara jelajah 18 gua termasuk Jebak Puyuh yang terdapat di Gunung Senyum.

"Kita juga mempamerkan kebudayaan dan adat resam orang Melayu kepada pelancong asing yang datang ke situ seperti Silat Gayung Pattani, adat perkahwinan masyarakat Melayu dan aktiviti keagamaan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Tamrin berkata, cadangan mewujudkan program inap desa dibuat berikutan terdapat banyak potensi yang boleh dilakukan sebagai salah satu produk pelancongan di tanah rancangan itu.

Menurutnya, potensi produk pelancongan di situ mendorong penduduk bersetuju menjalankan program itu sekali gus meningkatkan pendapatan mereka.

"Inap desa Jengka 25 menawarkan pakej percutian menarik yang mana pelancong akan tinggal dengan keluarga angkat masing-masing bagi mengetahui kehidupan peneroka," katanya.

Katanya, kewujudan program itu turut mendapat sokongan Jabatan Pembangunan Masyarakat Felda dan pengurusan Felda Wilayah Jengka.

Selain itu, katanya, kerjasama kerajaan negeri, Majlis Tindakan Pelancongan Pahang, Persatuan Inap Desa Pahang, Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia turut mengangkat Jengka 25 sebagai destinasi pelancongan baru di negeri itu.

Tambahnya, antara pelancong asing yang melawat tanah rancangan itu adalah dari Jepun, China, Singapura, Amerika Syarikat, Indonesia, Pakistan dan Afrika Selatan.

Menurutnya, bagi memantapkan program tersebut, pengusaha terbabit perlu mengikuti kursus yang dianjurkan seperti protokol menyambut tetamu, bahasa, budaya dan personaliti.

Katanya, tanah rancangan itu turut menandatangani perjanjian persefahaman dengan dua ejen pelancongan dari Korea Selatan pada tahun lalu sebagai usaha mempromosikan kawasan itu kepada masyarakat di negara tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Pertahankan Felda-GWGF

Posted:

Pertahankan Felda-GWGF

Pertahankan Felda-GWGF

Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
utusanpahang@utusan.com.my


Syed Ibrahim Syed Ahmad (kanan) beramah mesra dengan pengundi semasa berkempen di Jengka 23, Kuala Krau, semalam.


KUALA KRAU 4 Mac - Generasi baru Felda digesa mempertahankan tanah rancangan daripada 'dijajah' oleh pihak pembangkang kerana mereka akan menghancurkan perpaduan dan kemakmuran di kawasan itu.

Timbalan Presiden Gabungan Wawasan Generasi Felda (GWGF), Datuk Abdullah Abu Bakar berkata, pembangkang hanya membawa kerosakan kerana mereka tiada idealisme untuk membela nasib warga Felda.

Beliau menyifatkan cubaan pembangkang untuk campur tangan dalam kehidupan warga Felda sebagai 'tikus membaiki labu' yang mengundang banyak keburukan kepada peneroka yang majoritinya adalah Melayu.

"Saya selaku anak peneroka dapat menilai secara jelas jasa Felda yang telah mengubah kehidupan peneroka dan generasi baru ke tahap yang lebih baik berbanding dahulu.

"Keluarga saya mula berpindah ke Felda Lembah Klau sehelai sepinggang, tetapi berkat kesabaran, ketekunan dan bantuan berterusan Felda semuanya berubah," katanya ketika menyampaikan ceramah di Felda Jengka 22 di sini semalam.

Abdullah yang juga Ketua UMNO Felda Lembah Klau meminta warga Felda khususnya generasi baru tidak melupakan sejarah hidup masing-masing bagi mengelak daripada dimanipulasikan oleh pembangkang.

Dalam pada itu, jelasnya, GWGF yakin majoriti pengundi Felda Jengka 22, Jengka 23 dan Jengka 25 dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau bertekad menyokong calon Barisan Nasional (BN), Syed Ibrahim Syed Ahmad pada pilihan raya kecil kawasan itu lusa.

Menurutnya, hasil tinjauan yang dilakukan oleh pihaknya mendapati sokongan pengundi terus meningkat kerana faktor calon yang dipilih pemimpin BN diterima majoriti pengundi.

"Di samping itu mereka melihat BN sangat prihatin terhadap masalah warga Felda dan berjaya menyelesaikannya dalam tempoh singkat," katanya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Penduduk Gunung Senyum dapat sekolah, masjid baru

Posted:

Penduduk Gunung Senyum dapat sekolah, masjid baru

Penduduk Gunung Senyum dapat sekolah, masjid baru


Syed Ibrahim Syed Ahmad bertanya khabar penoreh getah, Sofian Osman ketika berkempen di Kampung Tekal, Kerdau, Kuala Krau, semalam.


KUALA KRAU 4 Mac - Penantian penduduk di Kampung Gunung Senyum untuk mendapat sekolah dan masjid baru akan berakhir tidak lama apabila kerajaan bersetuju menyediakan peruntukan RM8 juta bagi pembinaan dua kemudahan tersebut.

Berita gembira itu diumumkan oleh Ketua UMNO Bahagian Kuala Krau, Datuk Ismail Said pada majlis ramah mesra Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama penduduk Rumpun Makmur di sini hari ini.

Ismail berkata, peruntukan sebanyak RM6 juta bagi membina sekolah baru itu akan disalurkan pada pertengahan tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan RM2 juta lagi untuk pembinaan masjid baru.

''Pembinaan sekolah itu akan menyelesaikan masalah penduduk di Gunung Senyum kerana sekolah sedia ada agak jauh dari kampung mereka," katanya ketika berucap pada majlis itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Ismail memberitahu, sebanyak enam projek kecil juga diluluskan oleh kerajaan untuk dilaksanakan di Kampung Gunung Senyum terutama yang melibatkan kemudahan awam.

Pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri turut menyerahkan surat persetujuan pemberian peruntukan RM2 juta bagi membina masjid baru untuk penduduk kampung terlibat.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Kampung Gunung Senyum, Ahmad Abdul Ghani berkata, kedua-dua projek tersebut akan memberi keselesaan kepada mereka kerana kemudahan sedia ada terletak agak jauh.

''Sekolah dan masjid sedia ada terletak lebih lima kilometer dari penempatan penduduk di sini. Sudah dua tahun kami membuat permohonan itu kepada kerajaan bagi keselesaan penduduk," jelasnya.

Katanya, projek itu nanti akan memberi kemudahan kepada penduduk di Kampung Gunung Senyum, Rumpun Makmur, Kampung Pulau Raya dan Seberang Kuala Krau untuk menghantar anak mereka ke sekolah baru tersebut kerana ia lebih dekat.

Setiausaha Masjid Kampung Gunung Senyum, Azeman Mohamed, yang menerima surat persetujuan tersebut daripada Muhyiddin berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana memberi perhatian terhadap permohonan mereka itu.

Katanya, pembinaan masjid itu akan memudahkan lagi penduduk untuk beribadat kerana kedudukannya yang lebih dekat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan