Jumaat, 4 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


ADUN Lenggeng bersalah

Posted:

ADUN Lenggeng bersalah

ADUN Lenggeng bersalah

Oleh MOHAMMAD YASIR JAAFAR
utusanN9@utusan.com.my



RASAH 4 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng, Mustafa Salim (gambar) didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen Seremban di sini hari ini atas tuduhan menerima rasuah RM2,000 daripada seorang kontraktor bagi mendapatkan permit menjual pasir, dua tahun lalu.

Mustafa, 52, yang memakai kot berwarna hitam nampak tenang di kandang tertuduh sementara isteri dan beberapa penyokongnya di galeri awam kelihatan menggelengkan kepala apabila keputusan dibacakan oleh Hakim Amran Jantan.

Dia didapati bersalah menerima suapan RM2,000 daripada M. Manimaran di Restoran Jahrin Maju, Taman Bunga Raya 2, Mantin pada pukul 5 petang, 31 Ogos 2008.

Mustafa yang dipilih sebagai ADUN Lenggeng pada 2008 didakwa menerima suapan itu sebagai dorongan untuk mengeluarkan permit menjual pasir kepada pengadu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 10(a)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum 14 hari dan maksimum 20 tahun serta denda lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Amran menetapkan 1 April ini untuk menjatuhkan hukuman.

Mahkamah bagaimanapun membebaskan Mustafa daripada dua lagi tuduhan meminta wang daripada pengadu melalui orang tengah berjumlah RM2,000 dan RM3,000 di Lot 1321, Mukim Pantai pada 28 Ogos 2008 serta di pejabat SPRM di Jalan Dato' Kelana Makmur pada 30 Ogos 2008.

Terdahulu, Amran berkata, tertuduh yang memberi keterangan bersumpah mendakwa dia tidak menerima atau meminta wang itu daripada pengadu dan juga memberitahu bahawa kedatangannya di restoran tersebut disalaherti oleh pengadu.

''Bagaimanapun, seorang saksi pendakwaan yang juga anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang berada di lokasi kejadian mendengar perbualan mereka mengenai surat sokongan untuk mendapatkan permit menjual pasir dan besi buruk.

''Keterangan saksi yang melihat kejadian tersebut konsisten dengan keterangan yang diberikan oleh pengadu dalam kes ini,'' katanya.

Ujar Amran, tertuduh juga mendakwa tidak mengambil dan hanya menyentuh wang RM2,000 dalam satu sampul surat yang diletakkan di atas meja oleh pengadu serta memberitahu bahawa dia tidak selesa dengan tindakan pengadu tersebut.

''Namun satu rakaman video menunjukkan tertuduh masih duduk ditempat duduknya dan dia juga dilihat berbual dan ketawa sambil menghisap rokok.

''Tindak-tanduk tertuduh menunjukkan dia gagal memberi penjelasan yang jujur,'' ujarnya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Kevin Morais manakala Mustafa diwakili peguam Datuk Taqiyuddin Yahya dan Feisal Mustapha.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Anwar, peguam dimaklumkan

Posted:

Anwar, peguam dimaklumkan

Anwar, peguam dimaklumkan

Oleh AMIRUDDIN HARUN dan SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Mac - Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim dan peguamnya, Sankara Nair telah dimaklumkan bahawa penangkapan Ketua Pembangkang itu pada 16 Julai 2008 adalah di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Supritendan Ahmad Taufik Abdullah, 49, dari Bahagian Unit Tindakan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang ditugaskan menangkap Anwar berkata, dia menyatakan demikian semasa ditanya oleh Nair setelah dia bersama pasukannya memintas kereta ahli politik itu di Segambut kira-kira pukul 1 petang pada tarikh tersebut.

''(Anwar ketika itu) berada dalam kereta, pintu (kereta) dah terbuka, kalau tak silap saya, dia sedang (bercakap di) telefon.

''Lepas itu saya bercakap dengan Datuk Seri (Anwar) dan lepas ditanya saya beritahu dan minta dia ikut,'' katanya sebagai saksi pendakwaan tunggal pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) dalam kes liwat membabitkan Anwar dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26.

Anwar, 64, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya itu mengikut Seksyen 377B kanun tersebut di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Bicara dalam perbicaraan tersebut diadakan selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah membenarkan permohonan pasukan pembelaan yang mempertikaikan kemasukan barang-barang seperti tuala kecil 'Good Morning, berus gigi dan botol plastik jenama 'Cactus' untuk dijadikan bahan bukti dalam kes liwat tersebut.

Barang-barang tersebut dirampas dari lokap yang menempatkan Ketua Pembangkang itu ketika ditahan di Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada 17 Julai 2008.

Ahmad Taufik berkata, selepas Anwar dibawa ke IPK, pegawai penyiasat, Deputi Supritendan Judy Blacious Pereira (kini Supritendan) telah memberinya satu waran tangkap untuk diserahkan kepada Anwar setelah diminta menurunkan tandatangan.

Menjawab soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi itu berkata, waran tangkap bertarikh 15 Julai 2008 dikeluarkan atas arahan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin kepadanya.

''Arahan yang saya terima ialah sediakan pasukan untuk tangkap Datuk Seri jika Datuk Seri dalam perjalanan dari Putrajaya tidak terus ke IPK Kuala Lumpur,'' katanya yang kini sedang bercuti melanjutkan pelajaran selama 18 bulan.

Ketika disoal balas oleh peguam Karpal Singh, saksi itu menjelaskan, hanya satu tangkapan dibuat iaitu di Segambut manakala penyempurnaan waran tangkap kepada Anwar dibuat di IPK.

Saksi itu juga tidak bersetuju dengan cadangan Karpal bahawa dia berbohong apabila menyatakan telah memaklumkan kepada Nair alasan penangkapan tersebut memandangkan peguam itu dalam keterangannya mendakwa dia (Ahmad Taufik) tidak berbuat demikian.

Terdahulu, Anwar yang dipanggil semula dalam prosiding TWT telah diminta membaca rakaman percakapannya yang antara lain menyatakan bahawa dia telah dijelaskan mengenai alasan penahanannya pada 16 Julai 2008 oleh Judy dan atas nasihat peguamnya, dia memohon agar tiada rakaman video dibuat sepanjang keterangannya diambil.

Selain itu, Judy telah memberitahunya tentang laporan polis yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari yang mendakwa dia telah diliwat oleh ahli politik tersebut.

Menurut Anwar, sebelum rakaman percakapan tersebut dibuat, dia juga ada menandatangani satu dokumen ketika berada di sebuah bilik di D9 IPK tersebut tetapi dia tidak dapat mengingati apakah dokumen tersebut.

Mohd. Yusof kemudiannya mengemukakan satu salinan waran tangkap kepada Anwar tetapi tindakan itu dibantah oleh Karpal ekoran dokumen yang dikemukakan hanya satu salinan dan bukannya dokumen asal.

Peguam Cara Negara II itu sebaliknya menyatakan, dokumen itu ditunjukkan untuk membantu Anwar mengingati apakah dokumen yang ditandatangani dan bukannya untuk dijadikan bukti.

Karpal terus membuat bantahan dan meminta anak guamnya agar tidak menjawab soalan tersebut menyebabkan Mohd. Yusof terpaksa 'beralah' buat seketika tetapi menyatakan beliau akan membangkitkan semula isu tersebut.

Sewaktu ditanya sama ada tertuduh ada melihat salinan dokumen rakaman percakapan itu yang telah diserahkan kepada peguamnya pada 14 November tahun yang sama, Anwar menyatakan dia ada melihatnya.

Dalam jawapannya juga, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu memberitahu sewaktu melihatnya, dia tidak membuat sebarang aduan mahupun menyatakan bahawa ia bukanlah rakaman percakapan yang dibuat sebelum ini.

Bagaimanapun sewaktu disoal semula oleh Karpal, Anwar menyatakan terdapat perbezaan antara salinan yang diterima oleh peguamnya dengan dokumen asal yang dibaca di mahkamah hari ini.

Sementara itu, saksi pembelaan ketiga dalam TWT tersebut, peguam R. Sivarasa memberitahu, Judy membuat keputusan sendiri untuk menahan Anwar di lokap D9.

''Saya beritahu kalau sekadar hendak melengkapkan rakaman percakapan, saya sanggup beri akujanji sebagai peguam dan akan membawa Anwar semula ke IPK esok hari. Tetapi Judy tetap kata 'ini adalah keputusan saya, saya akan menahannya','' katanya.

Beliau kemudiannya meninggalkan IPK kira-kira hampir pukul 12 tengah malam dan datang semula ke balai berkenaan keesokan harinya.

Sejurus selepas Sivarasa selesai memberi keterangan, Karpal tiba-tiba memaklumkan hasrat untuk memanggil Mohd. Bakri, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hasan dan bekas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Tindakan itu bagaimanapun hanya mengundang rasa kurang senang Hakim Mohamad Zabidin terutamanya apabila peguam itu memaklumkan sapina masih belum dikeluarkan untuk memanggil ketiga-tiga individu itu.

Karpal bagaimanapun menarik semula permintaan itu selepas kesemua pihak terbabit menemui hakim tersebut di kamar beliau.

Mahkamah menetapkan Isnin ini untuk hujahan TWT.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan