Isnin, 21 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


SPRM tidak pilih parti politik

Posted:

SPRM tidak pilih parti politik

SPRM tidak pilih parti politik

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 21 Mac – Siasatan terhadap dakwaan wujudnya penyelewengan peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 2009 dibuat menyeluruh tanpa mengambil kira parti politik.

Pemangku Penguasa Kanan, Mohd. Anuar Ismail berkata, ia berdasarkan aduan oleh beliau pada 13 Julai 2009 atas arahan Timbalan Pengarah SPRM Selangor ketika itu, Hishamuddin Hashim

''Tuan Hishamuddin maklumkan supaya saya membuat aduan secara umum tanpa merujuk mana-mana parti politik kerana siasatan akan dibuat secara menyeluruh bagi tahun 2008 dan 2009.

''Aduan ini bukan terhadap ADUN pembangkang sahaja kerana tuntutan bagi tahun 2008 yang mana ketika itu Selangor dikuasai oleh Barisan Nasional juga akan disiasat,'' jelas beliau.

Mohd. Anuar yang merupakan pegawai penyiasat bagi kes melibatkan ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, beliau bersama pasukannya ke pejabat DAP Seri Kembangan pada 15 Julai 2009 untuk membuat siasatan serta mendapatkan dokumen berkaitan selepas diberi taklimat oleh Hishamuddin sebelum itu.

Selepas dimaklumkan oleh petugas di pejabat tersebut, Evonne Lee bahawa segala tuntutan diuruskan oleh Teoh Beng Hock, beliau bersama pasukannya pergi ke pejabat Setiausaha Politik kepada Hian Wah itu di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor untuk meneruskan siasatan.

''YB Ean ada tanya mengapa datang ke pejabatnya tanpa memaklumkan dia dahulu, sama ada saya ada waran selain meluahkan rasa tidak puas hati kenapa fail tuntutan ADUN Cina sahaja yang diambil dari Pejabat Tanah dan Daerah.

''Saya maklumkan fail tuntutan semua 56 ADUN diambil untuk sedapkan hati beliau agar tiada pertikaian lanjut serta bagi mendapatkan kerjasama beliau.

''Kedatangan kami juga tidak dimaklumkan lebih awal kerana mungkin elemen penting dalam siasatan akan dihilangkan,'' katanya kepada Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock di sini hari ini.

Ditanya tentang waran untuk membuat siasatan di pejabat tersebut, Mohd. Anuar memaklumkan bahawa ia tidak diperlukan kerana pegawai SPRM diberi kuasa untuk melakukan siasatan mengikut Seksyen 31(3) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Katanya, Hian Wah memberi kerjasama apabila komputer riba dan unit pemerosesan (CPU) di pejabat Beng Hock dirampas dengan menandatangani borang sita apabila diminta berbuat demikian.

Prosiding yang diadakan di Mahkamah Tinggi Sivil Baharu (NCvC) di Kompleks Mahkamah di sini akan bersambung esok.

Beng Hock, 30, ditemui mati pada 16 Julai 2009 selepas memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor di tingkat 14, Plaza Masalam, Shah Alam dekat sini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keputusan isu DNA Anwar diketahui Rabu

Posted:

Keputusan isu DNA Anwar diketahui Rabu

Keputusan isu DNA Anwar diketahui Rabu

KUALA LUMPUR 21 Mac - Permohonan pihak pendakwaan yang meminta Mahkamah Tinggi di sini menggunakan kuasanya untuk mengarahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan sampel badannya bagi tujuan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) akan ditentukan Rabu ini.

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan demikian selepas selesai mendengar hujahan balas peguam Karpal Singh yang mewakili Ketua Pembangkang itu dan hujahan semula Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden hari ini.

Selain permohonan tersebut, mahkamah juga akan membuat keputusan terhadap permohonan pihak pendakwaan agar hakim berkenaan menyemak semula keputusan bicara dalam perbicaraan (TWT) yang menolak tiga jenis barang daripada dijadikan bahan bukti dalam kes liwat yang dihadapi oleh Anwar.

Sebatang berus gigi, tuala kecil Good Morning dan botol minuman mineral tidak diterima sebagai bahan bukti setelah hakim mendapati barang-barang itu yang diambil dari lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada 17 Julai 2008 yang menempatkan Anwar semalaman, telah dilakukan secara tidak sah.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Mohd. Yusof dalam hujahannya menyatakan, permohonan yang dikemukakan mengikut Seksyen 73 dan Seksyen 165 Akta Keterangan 1950 bertujuan agar Anwar diarahkan menyerahkan sampel DNA beliau supaya mahkamah memperoleh kebenaran.

Walaupun Seksyen 73 akta itu merujuk kepada tandatangan, tulisan atau meterai, hujah beliau, ia merangkumi semua bentuk identifikasi seseorang sambil menambah ''DNA juga (satu bentuk) identifikasi yang paling hampir''.

Terdahulu, Karpal dalam hujahnya memohon mahkamah menolak kedua-dua permohonan pihak pendakwaan itu yang disifatkan sebagai penyalahgunaan proses mahkamah.

Menurutnya, di bawah kedua-dua seksyen itu, mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan Anwar berbuat demikian apatah lagi Seksyen 165 Akta Keterangan mengehadkan campur tangan kehakiman dalam sesebuah perbicaraan sekalipun ini kali pertama permohonan sedemikian dikemukakan di negara-negara Komanwel.

Peguam tersebut juga memberitahu, meskipun Akta Identifikasi DNA 2009 telah diluluskan oleh Parlimen dan telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 19 Ogos 2009 tetapi sehingga kini, ia masih belum dikuatkuasakan.

Berhubung TWT, Karpal menghujahkan bahawa pihak pendakwaan tidak boleh bertindak menyembunyikan sesuatu keterangan semasa TWT dan memperkenalkannya selepas keputusan dibuat, bagi tujuan semakan.

Sementara itu, Karpal mendesak Hakim Mohamad Zabidin membuat keputusan berhubung tindakan beberapa personaliti termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa telah mengulas mengenai isu penyerahan sampel DNA itu.

Menurut beliau, tindakan mereka itu adalah terjumlah kepada perbuatan menghina mahkamah kerana membelakangkan amaran hakim tersebut sebelum ini meminta semua pihak tidak mengulas kes itu yang masih dibicarakan.

Hakim Mohamad Zabidin bagaimanapun meminta Karpal memfailkan permohonan rasmi.

Karpal ketika ditemui di luar mahkamah menyatakan, beliau akan mempertimbangkan untuk memfailkan permohonan menghina mahkamah terhadap Najib.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan