Utusan Online - Kota |
- Penduduk gembira dapat meter air individu
- Hidupkan semula lampu isyarat
- DBKL wujud anugerah iktiraf pemain industri pelancongan
Penduduk gembira dapat meter air individu Posted: Penduduk gembira dapat meter air individu
RAWANG 13 Mac - Masalah yang timbul akibat penggunaan meter air pukal sehingga menyebabkan sebilangan penduduk meninggalkan Pangsapuri Seri Bakawali di Bukit Sentosa di sini akhirnya diselesaikan apabila Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas) bersetuju untuk menukarnya kepada meter individu. Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan berkata, penduduk di situ sudah lama dibelenggu dengan masalah yang timbul akibat penggunaan meter pukal sehingga menyebabkan ramai yang berpindah dari pangsapuri itu kerana masalah bekalan air walaupun prasarana yang lain boleh dianggap sudah pun baik. Beliau berharap dengan adanya pemasangan meter individu, penduduk yang telah berpindah dan tinggal di luar akan pulang semula ke pangsapuri itu. "Saya menyambut baik tindakan Syabas yang telah meluluskan permohonan mereka untuk mendapatkan meter individu kerana ia dapat meringankan beban penduduk yang selama ini terpaksa berkongsi bil," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program migrasi meter anjuran Syabas di pangsapuri tersebut di sini hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Abdul Halem Mat Som, dan Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Seri Bakawali, Adnan Mat Saad. Kerja menukar meter individu itu akan memberi faedah kepada 86 keluarga di Pangsapuri Seri Bakawali. Pada program itu, Adnan telah menyerahkan 74 borang migrasi meter pukal kepada meter individu kepada pihak Syabas manakala selebihnya akan diserahkan kemudian. Abdul Halem berkata, pihaknya sedang mengumpulkan kesemua borang migrasi tersebut untuk diproses dan menjangka Syabas akan dapat memulakan kerja menukar meter dalam masa seminggu lagi. Menurutnya, migrasi meter adalah usaha yang dilakukan oleh pihak Syabas untuk mengatasi masalah meter pukal yang membebankan pengguna dengan kadar tarif air yang lebih mahal. "Kebanyakan pengguna yang menggunakan meter pukal sering merungut bekalan air mereka dipotong walaupun telah membuat pembayaran ekoran kegagalan syarikat pengurusan yang tidak membayar kepada Syabas. "Langkah ini (menukar meter) dapat mengelakkan pengguna daripada berdepan krisis pemotongan air atas kesalahan pihak lain dan akan bertanggungjawab sepenuhnya atas diri sendiri," jelasnya. Sementara itu, seorang penduduk, Salmah Sarif, 68, berkata, dia berasa lega dengan perkembangan terbaru ini kerana ia membawa banyak manfaat. "Mak cik hanya tinggal berdua bersama suami, sudah tentulah penggunaan air kami tidak banyak, tetapi purata yang perlu dibayar sebelum ini adalah RM50 bagi setiap rumah. "Selepas ini, kami hanya perlu bayar apa yang kami gunakan sahaja dan ini akan menjimatkan wang kerana tidak lagi perlu menanggung bil yang tidak digunakan," ujarnya. Dalam pada itu, seorang lagi penduduk, K. Janaki, 37, berkata, dengan penukaran meter pukal ke meter individu ini akan menjimatkan lagi kos perbelanjaan penduduk. Tambahnya, sebelum ini mereka mengalami kesukaran akibat segelintir penduduk yang tidak membayar bil. "Bertukar kepada meter individu membolehkan Syabas mengenal pasti penduduk yang tidak membayar bil dan sekiranya berlaku masalah tersebut, Syabas boleh memotong bekalan air kepada penduduk yang berkenaan sahaja," ujarnya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Posted: Hidupkan semula lampu isyaratOleh ABDUL RAZAK IDRIS
KUALA SELANGOR 13 Mac – Penduduk Kampung Ijok di sini meminta pihak berwajib menghidupkan semula fungsi lampu isyarat di simpang empat di kawasan tersebut bagi menjamin keselamatan orang ramai terutama murid sekolah. Menurut mereka, lampu isyarat itu dilihat amat diperlukan setelah pembinaan sebuah jejantas berhadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Ijok, Batu 7 bagaikan projek 'gajah putih' ekoran lokasinya agak jauh dari simpang masuk ke sekolah berkenaan. Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu, Afandy Dahalan, 47, berkata, masalah timbul apabila ibu bapa yang menghantar anak mereka menggunakan kereta atau motosikal sukar untuk memasuki simpang ke sekolah berkenaan. "Kereta yang datang dari arah Kuala Selangor mahupun dari kampung di seberang kawasan sekolah menghadapi masalah untuk memasuki jalan ke sekolah kerana terlalu banyak kenderaan menghala ke Kuala Selangor. "Keadaan itu berbeza setahun yang lalu ketika lampu isyarat masih berfungsi untuk kegunaan pejalan kaki melintas, tetapi sekarang kenderaan dari kedua-dua arah langsung tidak berhenti hingga menyukarkan pergerakan penduduk," katanya kepada Utusan Malaysia ketika meninjau kawasan itu baru-baru ini. Afandy berkata, pada masa sama, jejantas bernilai RM1.4 juta yang di bina di situ gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana lokasinya tidak sesuai, malah kedudukannya juga membahayakan pengguna terutama murid-murid sekolah. Ini kerana, katanya, murid-murid sekolah dan penduduk kampung terpaksa melawan arus lalu lintas bagi menaiki jejantas tersebut yang terletak kira-kira 20 meter dari jalan masuk ke kampung berkenaan. "Apa yang lebih membimbangkan jalan keluar dan masuk di seberang sekolah tersebut dibina betul-betul menghadap jalan besar Ijok-Kuala Selangor. "Bayangkan jika ada kenderaan seperti basikal atau motosikal terlajak sedikit selepas menuruni jejantas dari seberang kawasan sekolah, kemalangan mudah berlaku," katanya. Guru Besar sekolah tersebut, Nurhamshah Yaacob turut melahirkan kebimbangan dengan kesesakan lalu lintas yang perlu dihadapi oleh murid-murid dan guru semasa datang dan pulang dari sekolah. "Saya sendiri bimbang untuk keluar dari simpang sekolah kerana jumlah kereta dari kedua-dua arah yang bertali arus. "Saya setuju langkah paling sesuai adalah dengan membina pembahagi jalan atau menyediakan lampu isyarat di lokasi simpang empat di hadapan sekolah ini," katanya. Nurhamshah menjelaskan, langkah segera bagi melindungi 516 orang murid di sekolah tersebut kerana keadaan lalu lintas di situ berisiko tinggi terjadi nahas jalan raya. "Perkara ini sudah dibawa ke dalam mesyuarat PIBG dan kami berharap pihak berwajib mencari jalan untuk menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas dan isu keselamatan penduduk dan murid-murid sekolah," katanya. Jamaluddin Jalil, 53, yang bertugas sebagai pengawal sukarela di simpang empat di hadapan sekolah tersebut turut mengakui beliau berasa bimbang dengan keadaan lalu lintas yang sentiasa sibuk. "Puncanya ialah pemberhentian operasi lampu isyarat pejalan kaki selain tiadanya pembahagi jalan bagi memudahkan pergerakan kenderaan keluar masuk. "Sepatutnya garisan kuning diletakkan 300 meter sebelum kawasan sekolah agar kenderaan dari pekan Ijok dapat memperlahankan kenderaan mereka. "Dengan cara itu, kenderaan dari arah Kuala Selangor yang ingin masuk ke simpang sekolah tidak menghadapi masalah," katanya. Tambahnya, insiden kemalangan maut pernah berlaku di kawasan itu tahun lalu akibat lalu lintas trafik yang terlalu sibuk terutama selepas waktu pagi dan tamat waktu persekolahan. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
DBKL wujud anugerah iktiraf pemain industri pelancongan Posted: DBKL wujud anugerah iktiraf pemain industri pelanconganKUALA LUMPUR 13 Mac - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) buat pertama kalinya memperkenalkan Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2001 bagi mengiktiraf dan menghargai usaha pihak yang berjaya menjadikan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan antarabangsa. Datuk Bandar, Datuk Seri Ahmad Fuad Ismail (gambar) berkata, objektif mengadakan anugerah berprestij itu adalah untuk meningkatkan taraf perkhidmatan serta sebagai satu inspirasi dan menggalakkan para pemain industri pelancongan untuk lebih berusaha ke arah kecemerlangan. Menurutnya, sebagai bandar raya pelancongan Kuala Lumpur kini mempunyai lebih banyak produk pelancongan bertaraf global berbanding seabad lalu. Ini termasuk hotel pelbagai bintang, gedung beli-belah, produk pelancongan, pusat hiburan, restoran yang menawarkan pelbagai pilihan makanan serta pusat perubatan dan kebudayaan yang disokong oleh kemudahan sistem pengangkutan yang moden. "Kemudahan ini telah memberikan kepuasan dan pengalaman yang baik untuk para pelancong berkongsi dengan rakan-rakan, sekali gus akan terus meningkatkan profil Kuala Lumpur sebagai bandar raya pelancongan untuk dilawati. "Dan saya percaya inilah masa yang sesuai untuk DBKL mengiktiraf sumbangan mereka," katanya dalam ucapan perasmian pengenalan anugerah berkenaan di sini. Turut hadir Pengerusi Anugerah Pelancongan Datuk Bandar Kuala Lumpur 2011, Datuk Seri Micheal Yam; Timbalan Ketua Pengarah Pentadbiran DBKL, Datuk Normah Malik; Ketua Sekretariat Anugerah, Noraza Yusof serta wakil-wakil pelbagai pihak dalam industri pelancongan. Tambah beliau, kejayaan meletakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi pelancongan antarabangsa adalah hasil daripada sumbangan, komitmen, pelaburan, minat serta kesungguhan pelbagai pihak dalam industri pelancongan. Sebanyak sembilan kategori anugerah dipertandingkan serta satu anugerah Kl Lifetime Achievement untuk tahun ini. Kategori tersebut adalah Penginapan, Restoran, Pusat Hiburan, Kompleks Beli-belah, Tarikan Pelancongan, Agensi Pelancongan Antarabangsa, Penerbangan Antarabangsa dan Percetakan Media (Majalah). Selain itu anugerah kecemerlangan juga akan diberikan kepada individu yang telah memberikan prestasi perkhidmatan cemerlang kepada para pelancong. Ia terbuka kepada petugas barisan hadapan termasuk pemandu pelancong, pemandu teksi dan bas pelancong, polis pelancong, petugas kaunter pelanggan, pelayan restoran dan lain-lain. Bagi kategori penginapan, terdapat tiga sub kategori iaitu penginapan lima bintang, empat bintang dan tiga bintang serta penginapan bajet. Bagi kategori restoran pula akan menawarkan empat anugerah cemerlang, satu anugerah cemerlang untuk syarikat penerbangan antarabangsa, dua anugerah cemerlang untuk percetakan media (majalah) dan tiga anugerah untuk barisan hadapan. Satu anugerah gemilang dan tiga anugerah cemerlang akan disampaikan bagi setiap kategori seperti Tarikan Pelancongan, Pusat Hiburan, Kompleks Beli-belah dan Operator Pelancongan Antarabangsa. Pendaftaran pencalonan boleh dilakukan dengan tiga cara iaitu pencalonan sendiri, pencalonan oleh pihak ketiga atau melalui jemputan dan semua yang terlibat dalam industri pelancongan di Kuala Lumpur digalakkan mengambil bahagian. Pencalonan telah mula dibuka Jumaat lalu dan borang boleh dimuat turun melalui laman web rasmi anugerah ini iaitu www.klmayortourismawards.com. Tarikh tutup penyerahan borang pencalonan adalah pada 21 April depan manakala majlis penganugerahan dijadualkan berlangsung pada 21 Jun 2011. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan