Utusan Online - Dalam Negeri |
- Lebih 50,000 kerja kosong di Johor
- MB akui Yayasan Selangor pincang
- Langkah pembasmian adenovirus di Pulapol diteruskan
Lebih 50,000 kerja kosong di Johor Posted: Lebih 50,000 kerja kosong di JohorOleh LUKMAN HAZIQ JOHOR BAHRU 18 Mac - Kepesatan ekonomi Johor terutama di wilayah Iskandar Malaysia membuka lebih 50,000 peluang pekerjaan dalam pelbagai kategori termasuk 13,000 jawatan profesional di seluruh negeri ini. Di wilayah Iskandar Malaysia sahaja, sebanyak 5,000 jawatan profesional ditawarkan dan jumlah itu dijangka meningkat kepada 15,000 kekosongan jawatan profesional pada tahun depan. Sebanyak 29,000 jawatan lagi melibatkan pekerjaan asas manakala bakinya termasuk perkeranian, juruteknik, perkhidmatan, pertanian dan perikanan, operator loji dan mesin pemasang. Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, orang ramai khususnya warga Johor boleh memperoleh maklumat pekerjaan tersebut dengan mengunjungi Karnival Kerjaya, Perniagaan dan Kemahiran (Kepak) yang akan menjelajah ke setiap daerah mulai April hingga akhir tahun ini. Beliau berkata, Kepak adalah inisiatif kerajaan negeri untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mendedahkan mereka kepada peluang pekerjaan, perniagaan dan kemahiran. "Pendekatan itu adalah usaha kerajaan negeri membentuk sebuah masyarakat maju dan berpendapatan tinggi. Ia sebahagian daripada langkah transformasi ke taraf kehidupan yang lebih baik. "Ini sejajar dengan program pembangunan modal insan di bawah strategi kedua Bajet Negeri Johor 2011 iaitu meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini. Kepak yang dijadual berlangsung selama lima hari di setiap daerah akan mendekati rakyat secara turun padang dengan menghimpunkan agensi dan jabatan berkaitan dengan kerjaya, keusahawanan serta majikan swasta di bawah satu bumbung. Menteri Besar berkata, program Kepak akan memadankan pencari pekerjaan dengan majikan yang memerlukan kemahiran mereka dan proses temuduga secara terbuka boleh dijalankan sepanjang program itu. Aktiviti lain sepanjang karnival berkenaan ialah pendaftaran program latihan dan kemahiran, ujian kecekapan dan kemahiran, pameran peluang perniagaan, sesi perkongsian pengalaman, pendaftaran syarikat, kaunter sokongan teknikal dan pembiayaan modal serta demonstrasi aktiviti perniagaan. Melalui cara itu, rakyat boleh didedah dan dipadankan dengan peluang pekerjaan yang ada, mendapat peluang menjana pendapatan menerusi perniagaan kecil serta meningkatkan kemahiran dan latihan semula. Karnival sulung Kepak dijadualkan bagi daerah Johor Bahru dan Kulaijaya pada 20 hingga 24 April ini, diikuti di Kluang (Mei), Mersing (Jun), Kota Tinggi (Julai), Segamat (September), Batu Pahat (Oktober), Ledang dan Muar (November) dan Pontian (Disember). Abdul Ghani berkata, kerajaan negeri berharap rakyat negeri ini yang sedang mencari kerja dan ingin meningkatkan keupayaan diri melalui kemahiran dan peluang perniagaan tidak melepaskan peluang mengunjungi karnival tersebut. "Anak Johor di perantauan juga digalakkan untuk mencari pekerjaan di negeri ini. Kita yakin bilangan pekerjaan yang ditawarkan akan meningkat dari semasa ke semasa berdasarkan kepesatan ekonomi negeri," katanya. Sebagai contoh, pada tahun ini sahaja, kepesatan Iskandar Malaysia telah menyuntik perkembangan industri elektrikal dan elektronik sehingga memerlukan lebih 2,000 pekerja berijazah, manakala Taman Tema Legoland pula menawarkan 1,000 peluang pekerjaan dengan kelayakan sijil kemahiran, katanya. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
MB akui Yayasan Selangor pincang Posted: MB akui Yayasan Selangor pincangOleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SHAH ALAM 18 Mac – Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim akhirnya mengakui berlaku kepincangan dalam pengurusan Yayasan Selangor termasuk perbelanjaan tidak berhemah menyebabkan kos penganjuran sambutan ulang tahun ke-40 yayasan itu, November tahun lalu mencecah hingga RM1 juta. Jumlah itu melebihi daripada dakwaan asal UMNO Selangor sebelum ini iaitu RM800,000 manakala angka yang dipertahankan Menteri Besar sebelum ini kira-kira RM300,000. Selain itu, perbelanjaan tanpa perancangan menyebabkan kedudukan Yayasan Selangor mengalami defisit sebanyak RM7.41 juta sehingga November tahun lalu. Abdul Khalid dalam kenyataannya berkata, laporan audit Yayasan Selangor oleh Bahagian Audit Dalaman Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang disemak hari ini terdapat beberapa isu berkaitan perbelanjaan yang tidak mengikut aturan selain wujud tindakan yang didapati tidak menjaga kepentingan yayasan itu. "Perbelanjaan yang tidak telus, tidak berhemah dan tidak munasabah menyebabkan kos perbelanjaan Ulang Tahun ke-40 Yayasan Selangor mencecah hampir RM1 juta," katanya. |
Langkah pembasmian adenovirus di Pulapol diteruskan Posted: Langkah pembasmian adenovirus di Pulapol diteruskanKUALA LUMPUR 18 Mac - Langkah-langkah pembasmian di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini berjalan secara berterusan bagi memastikan jangkitan adenovirus yang berlaku sejak 4 Mac lepas terkawal. Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Robiah Abd. Ghani berkata, sehubungan itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpendapat tidak perlu mengasingkan pelatih sihat ke maktab berdekatan melainkan ada arahan Kementerian Kesihatan. "PDRM memberi perhatian serius terhadap jangkitan virus ini dan sentiasa bekerjasama serta mematuhi segala arahan dan nasihat Kementerian Kesihatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Katanya pelatih sihat juga dibenarkan menjalani aktiviti riadah, manakala pelatih wanita pula akan dipindahkan ke asrama baru setelah proses pembasmian selesai. Dalam kenyataan itu, Robiah mewakili Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar mengucapkan takziah kepada anggota keluarga dua pelatih yang meninggal dunia akibat jangkitan tersebut. Mereka ialah Pelatih Inspektor Mohd. Redzuan Ishak, 26, meninggal dunia semalam dan Pelatih Konstabel Mohd. Azizan Azirid, 21, yang meninggal dunia minggu lepas. Berhubung perkembangan terbaru serangan virus itu, Robiah berkata, seramai 26 pelatih masih berada di Hospital Kuala Lumpur. Ini termasuk seorang pelatih konstabel lelaki dan dua pelatih inspektor wanita yang masih dirawat di Unit Rawatan Rapi. "Seramai 11 pelatih inspektor lelaki, 10 pelatih inspektor wanita serta dua pelatih konstabel lelaki ditempatkan di wad biasa," katanya. Jumlah pelatih yang menjalani pengasingan pula ialah 478 orang. - BERNAMA |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan