Isnin, 7 Mac 2011

The Malaysian Insider :: Bahasa

The Malaysian Insider :: Bahasa


MIED dakwa agenda tambah 10 ahli dapat ‘sokongan’ MIC

Posted: 07 Mar 2011 12:49 AM PST

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Lembaga pemegang amanah Institut Kemajuan Pendidikan Maju (MIED), dipengerusikan oleh bekas presiden Datuk Seri S. Samy Vellu menegaskan, pihaknya memang ada sokongan penuh MIC untuk menambah 10 ahli tambahan.

Lembaga itu mengeluarkan kenyataan ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi membenarkan injunksi sementara menghalang agenda menambah keahliannya.

Sehubungan itu, ia juga mengambil tindakan segera untuk memohon mengetepikan permohonan injunksi sementara yang diperoleh oleh bekas timbalan presiden Datuk S. Subramaniam, bekas ketua Pemuda MIC S. Vickneswaran dan ahli jawatankuasa kerja pusat (CWC) MIC Datuk S. Ganesan.

Awal minggu lalu salah seorang pemegang amanahnya Tan Sri Dr K.S. Nijhar meminta Samy Vellu menangguhkan mesyuarat hari ini sementara CWC MIC memperakui nama ahli-ahli baru atas alasan MIED adalah entiti milik MIC dan kedua-duanya tidak harus dipisahkan.

"Lembaga pemegang amanah MIED dijadualkan untuk bertemu hari ini bagi mempertimbangkan permohonan 10 individu bagi menjadi ahli MIED.

"Permohonan 10 individu untuk menjadi ahli menerima sokongan penuh MIC," kata kenyataan itu, seolah-olah menolak dakwaan sesetengah pihak bahawa agenda menambah ahli tambahan bertujuan membawa keluar sayap pendidikan itu, yang mempunyai aset RM1 bilion, daripada milikan dan penguasaan MIC.

Bagaimanapun The Malaysian Insider difahamkan lembaga itu meneruskan mesyuaratnya pagi ini tetapi tidak membincangkan agenda menambah 10 ahli baru ekoran perintah mahkamah yang diperoleh sekitar 10 pagi tadi.

"Bagaimanapun, mengenai permohonan tiga individu Datuk Subramaniam, Vickneswaran dan Ganesan, Mahkamah Tinggi Malaya telah mengeluarkan injunksi sementara bagi menghalang lembaga pemegang amanah daripada mempertimbangkan permohonan (menjadi ahli baru)," katanya lagi.

Permohonan lembaga itu juga akan didengar pada hari yang sama iaitu 14 Mac ini.

Sehubungan itu kata kenyataan tersebut,  lembaga pemegang amanah MIED juga kesal dengan tindakan ketiga-tiga mereka yang hanya mahu menghalang ahli-ahli kanan MIC dan CWC daripada berkhidmat dalam sayap tersebut.

Terdahulu pagi tadi, salah seorang peguam plaintif T Rajasekaran dan Vigneswaran sendiri mengesahkan telah menerima perintah sementara itu.

"Setelah didengar selama satu setengah Hakim Datuk Mohd Arif Mohd Yusof membenarkan injunksi 'interim' sehingga 14 Mac ini.

"Permohonan ini akan didengar pada 14 Mac (Isnin depan)," kata Rajasekaran.

Katanya, di bawah kebenaran itu lembaga pemegang amanah MIED tidak boleh meneruskan agenda membincangkan usaha menambah ahli.

Samy Vellu, yang merupakan pengasas dan pengerusinya mahu menambah 10 lagi ahli dalam MIED.

Permohonan ketiga-tiga pemimpin itu itu dibuat Jumaat lalu.

Minggu lalu mereka mengemukakan notis rekuisisi meminta Samy Vellu dan seorang lagi pemegang amanahnya Tan Sri Dr T. Marimuthu melepaskan kedudukan mereka di MIED.

Subramaniam berkata beliau memutuskan untuk menyertai usaha membawa notis rekuisisi demi bagi memastikan MIED kekal sebagai entiti MIC.

"Saya bersetuju untuk menandatangani (dokumen rekuisisi) atas hasrat saya juga mahu menyelamatkan MIED, di mana MIED mesti kekal dalam MIC," kata Subramaniam yang melahirkan pendirian yang sama dua tahun lalu.

Dalam SMS kepada Samy Vellu awal minggu lalu, Nijhar meminta Samy Vellu supaya menangguhkan mesyuarat lembaga pemegang amanah hari ini sehingga idea menambah ahli dan pelantikan ahli baru selesai dibincangkan di CWC terlebih dahulu.

Difahamkan, ini kali pertama keputusan seumpama itu dibantah oleh anggota lembaga amanahnya sendiri.

Sebelum ini ada pandangan bahawa MIED dan AIMST merupakan dua sayap pendidikanmilik MIC, dan tidak wajar disusun menjadi entiti berasingan sebagai sebuah yayasan.

MIED kini menguruskan AIMST atau Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia yang terletak di Semeling, Kedah.

Pada tahun 1996/97, MIED menerusi MIC memulakan usaha menubuhkan AIMST. MIED juga menyediakan bantuan kewangan pendidikan.

Ketika itu, Samy Vellu menegaskan, tiada apa-apa kaitan antara MIED dan AIMST dengan MIC.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Majlis Fatwa Terengganu teliti bahan pameran mistik

Posted: 07 Mar 2011 12:42 AM PST

KUALA TERENGGANU, 7 Mac – Majlis Fatwa Negeri Terengganu (MFNT) akan memanggil penganjur pameran mistik yang dirancang untuk diadakan di sini April ini bagi membincangkan mengenai bahan pameran yang akan diperlihatkan kepada orang ramai.

Ahli Jawatankuasa MFNT Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata beliau telah memaklumkan kepada Mufti negeri Terengganu untuk mengadakan perbincangan dengan penganjur berhubung pameran itu.

"Kita akan mengadakan perbincangan dengan penganjur pameran iaitu Dynasty Event Sdn Bhd Isnin ini bagi meneliti pengisian program yang akan diadakan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Tadarus Al-Quran Terengganu FM oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Shaikh Harun berkata, berdasarkan maklumat awal yang telah diberikan oleh pihak penganjur, MFNT mendapati sebahagian besar pengisian pameran itu tidak bercanggah dengan agama Islam.

Pameran mistik yang dijadual akan diadakan di Dataran Syahbandar selama sebulan itu akan mempamerkan lebih 130 artifak seperti jenglot, jin dan anak kerak selain pengunjung turut disajikan dengan penerangan, forum dan perbincangan dengan pakar-pakar agama.

"Bagaimanapun jika ada perkara atau benda yang dipamerkan itu bercanggah dengan agama Islam dan mendatangkan keburukan kepada masyarakat kita tidak akan benarkan ia dipamerkan," kata Shaikh Harun.

Beliau yang juga Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) berkata setakat ini JHEAT belum memberi kata putus untuk memberi kerjasama kepada Dynasty Event Sdn Bhd untuk mengadakan pameran itu.

"Dia (penganjur) baru berhasrat untuk mendapatkan kerjasama daripada kita. Sama ada kita setuju atau tidak, kita belum putuskan," katanya.

Mengenai Tadarus Al-Quran anjuran Terenggnau FM itu, ia melibatkan 30 pelajar Sekolah Imtiaz yang akan memperdengarkan bacaan Al-Quran di Masjid Kristal selama lima hari mulai 13 Mac ini dan ia turut dirakam untuk disiarkan pada bulan Ramadan nanti melalui Terengganu FM. – Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan