Selasa, 8 Mac 2011

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Lelaki warga asing ditemui mati

Posted: 08 Mar 2011 01:56 AM PST

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki rakyat Bangladesh ditemui mati dengan kira-kira lima kesan tetakan dalam sebuah setor kilang barangan logam dan kayu di Jalan Aman Puri, Kepong di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata mayat pekerja kilang yang berumur dalam lingkungan 30-an itu ditemui orang ramai pada jam 8 pagi.

"Terdapat kesan tetakan di kepala dan leher lelaki itu. Dia bekerja di
kilang itu hampir 12 tahun," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata polis kini mengumpul butiran lanjut mengenai kejadian itu
menerusi rakaman CCTV dan mendapatkan keterangan daripada majikan dan rakan

sekerjanya.

Mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat,
katanya. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Bas terbalik: 5 cedera termasuk pemandu

Posted: 08 Mar 2011 01:51 AM PST

KUALA TERENGGANU: Lima orang termasuk seorang rakyat Thailand cedera apabila bas yang mereka naiki terbabas sebelum terbalik dalam parit besar sedalam dua meter di KM 38, Pagoh Jaya, Jalan Kuala Terengganu-Kota Baharu berhampiran Felda Belara hari ini.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Kuala Terengganu ASP Che Khazahari Amat berkata kejadian pada jam 11.05 pagi itu membabitkan bas yang membawa 12 penumpang termasuk lima rakyat Thailand yang dalam perjalanan ke Setiu.

"Sampai di satu selekoh di kawasan kejadian, bas itu dipercayai hilang kawalan kerana keadaan jalan yang licin ekoran hujan renyai-renyai. Bas itu kemudian bergesel dengan sebuah kereta Perodua Kancil dari arah bertentangan sebelum terbalik ke dalam parit besar itu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau berkata rakyat Thailand yang cedera dikenali sebagai Arifah Wan Muda, 20, manakala empat rakyat tempatan yang cedera dalam kemalangan itu ialah Nor Wahidah Mat Ti, 21, Mohd Lim Abdullah, 60, Mohd Zulkifli Zohor, 20, dan pemandu bas Md Amin Mohd, 40.


Kesemua mereka dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) oleh orang awam dan ambulans Jabatan Pertahanan Awam negeri.


Mohd Lim yang merupakan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat dimasukkan ke wad untuk rawatan lanjut akibat terkena serangan jantung dipercayai terkejut dengan kejadian itu, manakala yang lain dirawat sebagai pesakit luar.

Che Khazahari berkata dua penumpang dan pemandu kereta Perodua Kancil itu tidak cedera.

Sementara itu seorang penumpang rakyat Thailand yang ditemui berkata beliau
terdengar bunyi yang kuat sebelum bas tiba-tiba terbalik menyebabkan kepalanya
terhantuk ke dinding bas.

"Semasa kejadian saya terlelap dan apabila sedar sahaja bas terbalik
dan penumpang terutama wanita ada yang menjerit dan menangis ketakutan.

"Kami terpaksa memanjat tingkap untuk keluar dan penumpang yang tidak cedera
saling membantu mengeluarkan penumpang lain yang cedera sebelum bantuan tiba 15
minit kemudian," katanya. - Bernama

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan