Berita Harian: Mutakhir |
Tiga anggota panel India setuju selesai isu Interlok Posted: 18 Mar 2011 03:02 AM PDT Mutakhir KUALA LUMPUR: Tiga anggota panel dari kaum India yang dilantik ke dalam panel bebas mengenai Interlok telah bersetuju bekerjasama menyelesaikan isu tersebut, kata Presiden MIC, Datuk G Palanivel.Katanya, beliau telah bertemu dengan dua daripada mereka bersama-sama dengan Pegawai Khas Perdana Menteri, Datuk Ravin Ponniah. "Anggota panel dari kaum India telah meminta saya mengatur pertemuan khas dengan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pelajaran. "Mereka juga memberitahu saya yang mereka telah mengenal pasti semua bahagian sensitif dalam novel itu dan akan membentangkannya kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin," kata Palanivel dalam satu kenyataan di sini.Kelmarin, Dr NS Rajendran, G Krishnabahawan dan Uthaya Shankar SB dilaporkan menarik diri daripada panel itu kerana tidak berpuas hati desakan mereka mengenai 100 lagi pindaan dilakukan tidak diendah. Semalam, Muhyiddin berkata ketiga-tiga mereka yang juga wakil MIC masih anggota panel bebas terbabit yang bertujuan menyelesaikan kontroversi buku berkenaan. Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau dimaklumkan wujud salah faham, namun ketiga-tiga anggota panel itu telah dihubungi bagi meneruskan perbincangan berkenaan isu tersebut.
"Bab mengenai Maniam dalam novel itu mengandungi penulisan yang menyentuh sensitiviti kaum India. Kementerian Pelajaran harus mengambil serius pandangan kami," katanya yang mahu isu Interlok diselesaikan segera. Pada 27 Januari lalu, Muhyiddin mengumumkan novel Interlok akan terus digunakan sebagai komponen sastera untuk Bahasa Malaysia bagi Tingkatan Lima di Zon 2 yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan. Kerajaan, bagaimanapun, bersetuju pindaan dibuat pada bahagian yang dianggap sensitif bagi komuniti India. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
Sijil kelahiran berbeza untuk bukan warga negara mulai 1 Julai Posted: 18 Mar 2011 02:52 AM PDT Mutakhir KOTA KINABALU: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memperkenalkan format sijil kelahiran yang berbeza antara warga negara dan bukan warga negara berkuatkuasa 1 Julai ini.Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, dalam satu kenyataan di sini hari ini, berkata inisiatif yang akan dilaksanakan melalui Jabatan Pendaftaran Negara itu membabitkan perbezaan beberapa ciri format, termasuk warna sijil. Sebagai permulaan, katanya, JPN akan mengeluarkan sijil kelahiran berwarna merah bagi kanak-kanak yang bertaraf bukan warga negara. "Pada masa ini, semua sijil kelahiran yang dikeluarkan oleh JPN berwarna hijau tanpa mengira taraf kewarganegaraan kanak-kanak itu."Taraf kewarganegaraan kanak-kanak ditentukan berdasarkan kepada taraf kewarganegaraan ibu bapa semasa kelahiran tersebut berlaku," katanya. Hishammuddin berkata, itu adalah satu daripada 22 syor dan inisiatif yang dicadangkan oleh Makmal Khas Pengurusan Warga Asing Sabah yang mana laporannya telah dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin kali kelima semalam. Beliau berkata, sijil kelahiran yang berbeza warna antara warga negara dan bukan warga negara bertujuan mengelak ibu bapa warga asing yang mendapat anak di negara ini beranggapan bahawa dengan memiliki Sijil Kelahiran Malaysia, anak-anak mereka adalah secara automatik menjadi warga negara Malaysia.
Hishammuddin berkata, bagi kanak-kanak bertaraf bukan warga negara yang telah memiliki sijil kelahiran berwarna hijau, ianya dikekalkan dan hanya berubah apabila pemohon membuat Cabutan Sijil Kelahiran di mana-mana pejabat JPN. Katanya, bagi kanak-kanak yang dilahirkan sebagai bukan warga negara dan kemudiannya disahkan sebagai warga negara Malaysia melalui proses Pengesahan Taraf Kewarganegaraan di bawah Perlembagaan Persekutuan, sijil kelahiran kanak-kanak berkenaan akan ditukar dengan sijil kelahiran berwarna hijau, dengan dicatatkan indikator yang menunjukkan perubahan status kewarganegaraan itu. "Sungguhpun cadangan-cadangan ini dikemukakan oleh Makmal Khas Sabah, inisiatif ini akan dilaksanakan di seluruh negara," katanya. Beliau berkata, syor dan inisiatif dari Makmal Khas Sabah itu yang berlangsung di negeri itu dari 4 hingga 27 Mei tahun lalu, adalah sebagai tambahan kepada 48 syor dan inisiatif yang telah dicadangkan oleh Makmal Pengurusan Warga Asing peringkat nasional. Katanya, pelaksanaan makmal khas itu, yang dianggotai 27 pegawai dari pelbagai agensi persekutuan dan negeri berkaitan di Sabah, memperlihatkan kesungguhan Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu warga asing khususnya PATI yang telah berlarutan sekian lama di Sabah dan merupakan isu yang amat dekat dengan rakyat Sabah. - BERNAMA Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Mutakhir To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan