Selasa, 22 Mac 2011

Berita Harian: MukaDepan

Berita Harian: MukaDepan


12 muka baru

Posted: 21 Mar 2011 03:08 PM PDT

MukaDepan

PBB lakukan perubahan besar calon tanding pilihan raya; Ramai wakil rakyat berundur beri laluan pemimpin muda

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan mengemukakan sekurang-kurangnya 12 muka baru di 35 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri Ke-10 bagi memberi peluang kepada calon muda.

Selain menampilkan calon boleh menang, ia juga bagi memantapkan barisan calon yang bakal membawa cabaran PBB, berikutan permintaan pengundi yang mahukan calon lebih bertenaga.

Ketua Menteri yang juga Presiden PBB, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, ketika mengesahkan perkara itu semalam, berkata perubahan besar-besaran calon parti itu juga berikutan ada permintaan wakil rakyat sedia ada yang mahu berundur untuk memberi laluan muka baru. "Parti komponen lain saya tidak tahu, tetapi kalau PBB saya tahulah," katanya ketika ditanya perubahan barisan calon parti itu selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Sarawak di sini, semalam.

Hadir sama, dua Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu dan Datuk Abang Johari Abang Openg; Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Awang Tengah Ali Hassan serta Menteri Alam Sekitar dan Kesihatan Awam Sarawak yang juga Naib Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Wong Soon Koh.

Pada Pilihan Raya Negeri Ke-9, BN menguasai 63 kerusi iaitu 35 daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 12 manakala Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) masing-masing lapan kerusi.

Enam lagi kerusi dikuasai DAP manakala Parti Keadilan Rakyat dan Parti Cinta Malaysia (PCM), menerusi wakil rakyat Bebas, masing-masing menguasai satu kerusi.
Mengenai calon yang mahu mengundur diri, akhbar sebelum ini melaporkan, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut dari PBB, Datuk Dr Abang Abdul Rauf Abang Zen, 63, tidak akan mempertahankan kerusi yang disandang selama empat penggal sejak 1991.

Selain beliau, empat ADUN dari PBB yang dilaporkan tidak berhasrat mempertahankan kerusi DUN masing-masing ialah Datuk Wan Abdul Wahab Sanusi (Sadong Jaya), Datuk Bolhassan Di (Beting Maro), Datuk Hamden Ahmad (Belawai) dan Datuk Ambrose Blikau Enturan (Katibas).

Abdul Taib berkata, akan mengumumkan senarai calon BN sebelum penamaan calon selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri James Jemut Masing mengesahkan partinya akan mengemukakan dua muka baru di kerusi Pelagus dan Ngemah.

"Di Pelagus dan Ngemah, kami akan letakkan anak tempatan. Kami yakin akan menang kedua-dua kerusi itu. Larry Sng (Adun Pelagus) bebas bertanding di mana-mana kawasan yang dia mahu. Dia bukan lagi ahli PRS. Saya sudah pecat dia," katanya.

PRS kehilangan kerusi Pelagus apabila Sng dipecat berikutan masalah dalaman parti, tetapi berfungsi sebagai ADUN Bebas. Di DUN Ngemah, calon PRS, Alexander Vincent tewas kepada calon Bebas, Gabriel Adit Demong.

SUPP pula sudah mengumumkan akan mencalonkan muka baru, iaitu Pengarah Pusat Jantung Sarawak, Prof Dr Sim Kui Hian, 46, untuk merampas semula kerusi DUN Pending yang kini diwakili Violet Wong dari DAP.

Presiden Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP), Datuk Seri William Mawan Ikom dilaporkan berkata, parti berkenaan akan mengemukakan senarai lebih daripada lapan calon, termasuk penyandang sekarang.

Komen Anda

Terima kasih diatas penyertaan anda. Berita Harian berhak untuk tidak memaparkan sebarang komen yang menyentuh isu-isu sensitif dan yang berbentuk iklan komersil. Alamat IP anda akan direkodkan dan mungkin digunakan untuk menghalang penghantaran komen seterusnya jika melanggar peraturan yang ditetapkan.

Senarai komen


Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan