Utusan Online - Rencana |
| Kerusi 'mini Malaysia' mula diintai Posted: Kerusi 'mini Malaysia' mula diintaiOleh ZULKIFLEE BAKAR ''Kami tidak rela seinci pun kawasan perkampungan kami ini dipijak oleh pemimpin pembangkang.'' Itulah kata-kata semangat yang diucapkan oleh Tok Batin Perkampungan Orang Asli Pengkalan Tereh, Sembrong, Jarih Uni ketika menyambut ketibaan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong ke kawasan itu, pada Jumaat lalu. Sememangnya, Sembrong merupakan salah satu kawasan yang dikatakan menjadi sasaran utama pakatan pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang. Mereka bukan sahaja sudah mula mengatur strategi, malahan mula bergerak untuk menggempur kawasan Parlimen itu yang dianggap salah satu kubu kuat Barisan Nasional (BN) di Johor. Sembrong dianggap 'mini Malaysia' dan perbandingan ini sering dilafazkan oleh Hishammuddin setiap kali balik ke kawasan berkenaan. Peratusan komposisi kaum di Sembrong hampir sama dengan negara iaitu kira-kira 53 peratus daripada penduduknya terdiri daripada Melayu, manakala hampir separuh lagi adalah masyarakat Cina, India dan lain-lain kaum termasuk Orang Asli. Malah, Sembrong adalah kawasan Parlimen yang diterajui seorang pemimpin Melayu yang mengandungi dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing di bawah pemimpin masyarakat berketurunan Cina dan India iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Hoo Seong Chang dan ADUN Kahang, R. Vidyanathan. Bukan sekadar persamaan daripada segi komposisi kaum, Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO menegaskan Sembrong menjadi model dan lambang perpaduan kaum di negara ini. Sepanjang mengikuti lawatan beliau selama sehari ke Sembrong pada Jumaat lalu, penulis mendapati, Hishammuddin begitu menekankan soal betapa pentingnya Sembrong terus dipertahankan di bawah BN. Beliau mahu perbezaan kaum di kawasan berkenaan dijadikan kekuatan bagi mengecap kejayaan dan bukannya perbalahan. ''Janganlah kita termakan dengan janji dan hasutan pihak-pihak tertentu, mereka hanya datang ke sini menabur janji dan kemudiannya tidak melakukan apa-apa. ''BN dan UMNO tidak mengamalkan fahaman politik sempit sebaliknya memastikan semua kaum menikmati kesejahteraan,'' kata Hishammuddin ketika berucap di majlis bersama masyarakat Orang Asli, Pengkalan Tereh, di Sembrong. Mesej yang itu turut disampaikan oleh beliau ketika bersama masyarakat di Ladang Paloh yang dianggap cukup istimewa kerana perpaduan kaum di situ. Hakikatnya, Hishammuddin menyampaikan mesej mengenai perpaduan dan mempertahankan kerusi BN itu, bukanlah demi meraih sokongan politik semata-mata tetapi bagi memastikan kehidupan rakyat di Parlimen Sembrong dan mana-mana kawasan yang diwakili parti itu tidak musnah akibat mainan politik parti pembangkang. Ketika ini semua orang di Sembrong tahu bagaimana ghairahnya parti pembangkang hendak menawan kawasan Parlimen berkenaan. Mereka bukan sekadar melemparkan janji kosong, malahan 'senjata memfitnah' terutamanya ke atas Hishammuddin mula digunakan. Selain itu, pemimpin-pemimpin pembangkang juga mengatur program ceramah di kawasan berkenaan, terbaru pada Sabtu lalu, apabila Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun ke Sembrong. Seperti biasa mereka turun untuk menabur janji, fitnah dan tohmahan kepada BN, matlamat mereka hanya satu iaitu merampas kerusi Parlimen tersebut. Tetapi persoalannya, apakah ia akan menguntungkan rakyat Sembrong jika pembangkang menguasai kawasan berkenaan? Ketika ini Sembrong sudah cukup unik dengan gandingan tiga pemimpin BN yang mewakili tiga kaum utama di negara ini iaitu Hishammuddin, Seong Chang dan Vidyanathan. Gandingan inilah yang memungkinkan nasib masyarakat Sembrong dibela dengan sebaik-baiknya, tiada yang dipinggir atau ditinggalkan termasuklah masyarakat Orang Asli. Oleh itu kenapakah perlu keistimewaan tersebut mahu dimusnahkan hanya kerana termakan janji pembangkang. Bagaimanapun setakat ini, biar pun apa juga yang dilakukan oleh pembangkang, ia belum mampu menggugat BN. Hishammuddin dan pemimpin-pemimpin BN di situ tetap tenang menghadapi cabaran berkenaan malahan di kalangan penduduk mereka tidak akan mudah 'menggadaikan' kerusi Parlimen Sembrong yang dianggap 'mini Malaysia' itu. Kemesraan, keprihatinan dan kesungguhan Hishammuddin bersama-sama pemimpin-pemimpin BN untuk membela nasib masyarakat Sembrong bukan sekadar retorik. Sebaliknya ia dilakukan bersungguh-sungguh, penulis diberitahu bagaimana Hishammuddin memastikan setiap janji yang beliau lakukan kepada masyarakat di Parlimen itu ditunaikan. ''Kami kena catatkan setiap apa yang beliau janjikan dan melaporkan kepada beliau sama ada ia sudah ditunaikan atau tidak,'' kata seorang pegawai khas Hishammuddin kepada penulis. Selain secara bersemuka, Hishammuddin juga menjadikan twitter beliau untuk berhubung dengan masalah Sembrong. Setiap permasalahan yang dibangkitkan di laman itu akan dicatat dan diambil tindakan. Semua itu beliau lakukan kerana ingin memastikan masyarakat Sembrong tidak menganggap BN sama seperti pembangkang hanya tahu menabur janji. Sembrong seharusnya dijadikan contoh kepada kawasan-kawasan lain yang dikuasai oleh BN bahawa untuk mempertahankan sesuatu kawasan bukanlah sukar sangat jika pemimpin atau lebih tepat lagi wakil rakyat mengambil berat kawasan mereka. Tetapi masalahnya ramai di antara mereka tidak berupaya mengekalkan prestasi seperti mana dilakukan oleh Hishammuddin dan menteri Kabinet lain yang perlu membahagikan masa antara kesibukan tugas di Pusat dengan tugas di kawasan yang diwakili. ''Turun jumpa rakyat macam ini lebih seronok, kita dapat tahu masalah dan pandangan mereka,'' kata Hishammuddin yang bergerak selama lapan jam tanpa berhenti bagi menghadiri program-program yang diatur pada hari berkenaan. Sememangnya bagi mereka yang ingin menjadi wakil rakyat, keletihan dan kepenatan tidak harus ada dalam diari mereka memandangkan apa yang lebih penting ialah meninjau masalah rakyat dan menghakis tohmahan pembangkang. Inilah yang sepatutnya dilakukan oleh semua wakil rakyat BN terutamanya mereka yang tidak ada jawatan di peringkat pusat. Mereka perlu kerap turun ke kawasan dan berdamping dengan rakyat bagi menyampaikan mesej kerajaan, sekali gus mengelakkan kawasan mereka diintai oleh pembangkang. Dalam menghadapi perubahan politik pada masa ini, tiada mana-mana pun kawasan boleh dianggap selamat bagi BN kerana pembangkang sanggup melakukan apa sahaja untuk menang pilihan raya. Oleh itu, pemimpin-pemimpin BN di semua peringkat tidak terlalu ghairah untuk menjadi calon kerana tanggungjawab yang perlu dilaksanakan bukan sekadar mempertahankan kedudukan sebagai YB tetapi lebih penting kesinambungan perjuangan parti. |
| Menganalisis kata dua kepada Anwar Posted: Menganalisis kata dua kepada AnwarKATA dua Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim hasil rumusan Majlis Syura Pas menarik untuk diberikan analisis. Nik Aziz dalam kenyataannya mendesak Anwar membuat kenyataan terbuka menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman The Wall Street Journal (WSJ). Pendirian Majlis Syura Pas seperti yang disampaikan oleh Nik Aziz terkandung beberapa tafsiran dan kemungkinan. Tafsiran pertama adalah kenyataan Anwar ada merit untuk dibincang. Ada merit bermakna kenyataan yang dikeluarkan itu adalah benar-benar berlaku. Ia bukan manipulasi pihak lain tanpa memahami konteksnya. Kalau tidak Majlis Syura tidak akan membincangkan secara panjang lebar. Sekiranya kenyataan itu diada-adakan atau hasil manipulasi media tempatan tentunya Majlis Syura tidak menghabiskan masa untuk membincangkannya. Bila didapati kenyataan itu benar dikeluarkan oleh Anwar selayaknya Majlis Syura Pas menerusi kenyataan Nik Aziz meminta Anwar menyaman WSJ sekiranya kenyataan itu tidak benar. Tafsiran kedua, Majlis Syura Pas sudah tentu ada maklumat, analisis dan kajian tersendiri mengenai isu ini tanpa lebih dahulu meminta pandangan dan ulasan Anwar . Kalau Anwar akhirnya dapat bertemu Nik Aziz memperjelaskan sudut pandangannya mengenai isu itu, merit Majlis Syura Pas akan jatuh. Majlis Syura tidak akan membuat kenyataan supaya Anwar menarik balik kenyataan menyokong keselamatan Israel dan menyaman WSJ. Sepatutnya dalam konteks Pakatan Rakyat isu itu dibincangkan secara bersama. Bila Majlis Syura membuat keputusan lebih awal bermakna ada pendirian bahawa kenyataan Anwar itu adalah benar dan kalau ia tidak benar Anwar harus saman WSJ. Kemungkinan pertama, Anwar tidak akan menjawabnya secara terbuka. Anwar akan menemui Nik Aziz untuk memperjelaskan keadaan. Sekiranya Nik Aziz menerima penjelasan Anwar sebagai wajar, ia memperlekeh kewibawaan Majlis Syura Pas. Kemungkinan kedua, Majlis Syura Pas akan menolak penjelasan Anwar mengenai isu ini dan ia adalah sesuatu yang serius bagi hubungan Pas dan PKR apalagi Pakatan Rakyat. Isu mengenai Israel dan nasib umat Palestin adalah sesuatu yang menyentuh hati orang Pas kerana perjuangan Pas selama ini adalah menyokong umat Palestin dan menentang kehadiran Israel di bumi Palestin. Kalau Pas bersetuju dengan pandangan Anwar bermakna hilang lagi agenda perjuangan parti itu terhadap isu keadilan dan kemanusiaan seperti hilangnya perjuangan negara Islam yang beralih kepada negara berkebajikan. Sebelum ini, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membuat kenyataan keras tentang haramnya menyokong Israel. Haram menyokong Israel memberi implikasi sebarang kenyataan dari tokoh-tokoh Islam adalah haram. Mengikut Pengerusi Pentadbiran Yayasan al Quds Malaysia , Nasharuddin Mat Isa, Ismail Haniyeh orang kuat perjuangan Palestin yang ditemuinya di Kuwait merasa amat kecewa dengan kenyataan Anwar itu. Sebelum itu, Dr. Azzam Tamimi orang kuat Ikhwan Muslimin di London menyatakan pendirian yang sama terhadap kenyataan Anwar berkenaan. Isu ini tidak saja bersifat nasional, ia sudah bersifat antarabangsa. Tokoh-tokoh gerakan Islam antarabangsa tidak merujuk Utusan Malaysia atau apa-apa akhbar tempatan untuk mendapat sumber berita tetapi mereka mengambilnya dari WSJ kepunyaan Rupert Murdoch yang memang diketahui kecenderungannya terhadap perjuangan Yahudi. Ia ditambah kenyataan The Jerusalem Post menerusi Michael Ordman (portal AIDC) menyambut baik sokongan Anwar terhadap keselamatan Israel. Pendirian Abdul Hadi sebagai Presiden Pas, kekecewaan Ismail Haniyeh terhadap kenyataan Anwar, keserahan Dr. Azzam seorang tokoh perjuangan Palestin yang banyak pengaruhnya di kalangan generasi gerakan Islam di Malaysia dan kenyataan memberangsangkan daripada Michael Ordman terkandung maksud yang terdedah dengan pelbagai tafsiran, tersurat dan tersirat. Kenyataan Anwar itu bukan berlaku secara kebetulan. Kerajinan Anwar membuat kenyataan di media antarabangsa sudah tentu mempunyai tujuan tertentu. Dalam kenyataan di WSJ ia tidak terjadi secara tidak dirancang. Ada latar belakang yang cukup intim antara Anwar dan pihak-pihak asing yang menyebabkan kenyataan itu dibuat. Suatu hal yang memang dipercayai ada di kalangan ahli Majlis Syura adalah pengetahuan mengenai keakraban Anwar sejak sekian lama menjalin hubungan dengan pihak-pihak asing di Amerika Syarikat (AS). Anwar sangat rapat dengan Paul Wolfowitz yang pernah menjawat Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan dikenali sebagai arkitek perang Afghanistan/ Iraq. Anwar juga rapat dengan Shaha Ali Riza teman wanita Wolforwitz dan pernah menulis surat kepada Robin Cleveland iaitu Penasihat Undang-undang Wolfowitz di Bank Dunia pada 1 Oktober 2006 yang meminta agar Shaha Ali dipindahkan ke The Foundation For The Future di mana Anwar menjadi orang kuatnya suatu ketika dulu. Anwar juga mempunyai hubungan dengan Martin Indyk bekas Duta AS ke Israel dan bekas Timbalan Pengarah Penyelidikan American Israel Public Affair Committee (AIPAC) suatu kumpulan pelobi pro Israel di AS. Anwar juga rapat dengan James Wolfenshon, bekas Presiden Bank Dunia yang berasal dari keluarga Yahudi di England. Pada 2005, Setiausaha Negara AS, Condoleeza Rice melantik Wolfensohn dalam utusan khas di Gaza bagi membantu memperkuatkan kedudukan Israel. Semasa menjadi Presiden Bank Dunia, James Wolfenshon melantik Anwar (ketika itu Menteri Kewangan Malaysia) sebagai ahli Committee International Finance Corporation, World Bank/IMF pada 1997. Pada 24 Julai 2008, Wolfensohn bersama dua tokoh Yahudi (Paul Martin dan Michel Camdessus) menggesa agar pertuduhan liwat ke atas Anwar Ibrahim digugurkan. Anwar juga amat rapat dengan William Cohen berasal dari keluarga Yahudi di Rusia merupakan Setiausaha Pertahanan AS di bawah pentadbiran Bill Clinton. Cohen kemudian menjemput Anwar secara peribadi ke Pentagon, Virginia pada 16 April 1998. Pada 1999, Cohen mengecam Malaysia dan menggesa pertuduhan liwat ke atas Anwar digugurkan. Banyak lagi maklumat seperti ini sudah tentu diketahui oleh Ahli Syura Pas. Kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah. Sebab itu penulis percaya sudah tentu ada yang tidak kena dengan kenyataan Anwar suatu ketika di BBC dan sekarang di WSJ yang menyebabkan Majlis Syura bersidang dan menyebabkan keputusan terhadap Anwar diambil. Keputusan yang diambil adalah sesuatu yang berani. Keberanian harus mampu diperteguh dengan bersikap terbuka terhadap isu-isu Anwar. Pas sebagai sebuah parti politik yang memperjuangkan cita-cita Islamiah sudah tentu titik akhirnya adalah menegakkan kebenaran dan keadilan. Sekiranya ini menjadi matlamat perjuangan Pas isu kawan lama, rakan sepasukan tidak harus dijadikan sandaran mutlak tanpa soal jawab. Pas harus meletakkan Islam di tahap teratas dan meletakkan kepentingan kebenaran dan keadilan mengatasi muslihat politik. |
| You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
| Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 | |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan