Sabtu, 18 Februari 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Tunggu kolej bayar RM1,700

Posted: 17 Feb 2012 09:23 AM PST

PUCHONG: "Kami tunggu mereka kotakan janji atau tidak. Walaupun jumlah itu tidak banyak, tetapi dengan pendapatan suami sebagai despatch tidak seberapa...saya pula tak kerja, jumlah itu besar," kata suri rumah, Zarinah Saleh, 42, di sini, semalam.

Dia ditemani suami, Mokhtar Saad, 47, ditemui di pejabat Lembaga Pelindung dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM) bagi mengadu tindakan sebuah kolej di sini enggan membayar RM1,700, selepas kes yang dibawa ke Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM), Shah Alam, 18 Ogos tahun lalu berpihak kepadanya.


Zarinah berkata, hasil perbincangan dan campur tangan LPKPM, pihak kolej terbabit bersetuju membayar balik wangnya secepat mungkin seperti diputuskan TTPM.

"Saya tunggu...apa yang saya nak ialah hak saya yang mereka ambil.


"Walaupun saya tahu tuntutan itu tak seberapa, tetapi ia besar maknanya kepada saya untuk menyara empat anak," katanya.


Menceritakan kejadian yang berlaku ke atasnya, Zarinah berkata, segalanya bermula selepas dia dan suami bersetuju menghantar anak perempuan sulung mereka ke kolej terbabit pada 21 Mei lalu bagi mengikuti kursus diploma pengurusan pelancongan.

Katanya, anaknya berminat mengikuti pengajian itu selepas yakin dengan penerangan pihak pengurusan kolej terbabit di sebuah universiti di Bangi sebelum membuat pembayaran pendahuluan RM400, manakala bakinya RM2,100 dibuat pada hari orientasi.


"Beberapa hari selepas itu, anak saya ke Melaka untuk orientasi selama dua hari sebelum dihantar ke cawangan kolej terbabit di Hulu Klang.

"Tetapi, jam 10 malam, anak telefon dan menangis meminta saya datang ambil dia secepat mungkin kerana semua kawannya sudah pulang yang tinggal cuma pelajar luar Lembah Klang," katanya. Zarinah berkata, dia dan suami bergegas ke hostel anaknya dan terkejut mendapati hostel terbabit apartmen baru siap dan jauh dari bandar.


"Ketika saya tiba hanya seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh berada di situ, manakala warden asrama atau pihak kolej langsung tidak kelihatan.


"Keesokannya saya hubungi kolej terbabit dan diberitahu masalah itu berpunca daripada lebihan pelajar dan meminta saya sabar," katanya memaklumkan dia diberitahu tidak akan dibayar baki kerana sudah menandatangani surat persetujuan kemasukan.


Berikutan tidak puas hati dia mengadukan perkara itu kepada TTPM dan keputusan berpihak kepadanya, namun sehingga kini dia belum menerima apa-apa bayaran.


Anaknya kini menyambung pengajian diploma perhotelan di sebuah kolej di Melaka.


Sementara itu, Presiden LPKPM, Datuk Seri Dr Saharuddin Awang Yahya berkata, hasil campur tangan pihaknya ejen kolej bersetuju membayar balik tuntutan kepada pengadu secepat mungkin.



MBS gesa selesai segera isu air di Selangor

Posted: 17 Feb 2012 09:19 AM PST

KUALA LUMPUR: Majlis Belia Selangor (MBS) menggesa kerajaan Selangor dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di bawah kerajaan pusat supaya menyelesaikan isu bekalan air bersih di negeri itu dengan segera.

Timbalan Presidennya, Badrul Hisham Badrudin berkata, pihaknya sedia maklum kedua-dua pihak banyak kali mengadakan mesyuarat, namun masih gagal membuat keputusan bagi menyelesaikan isu itu.


Katanya, sebelum ini perbincangan di antara kedua-dua pihak terpaksa menangguhkan tiga perkara iaitu pengambilalihan balik hak milik tanah, penggunaan tanah rizab hutan simpan dan kelulusan arahan pembangunan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, pelaksanaan Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor mengikut jadual yang dirancang, namun pelaksanaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 mengalami kelewatan yang sangat kritikal.


"Kerajaan Selangor memaklumkan mereka bercadang akan menggunakan kaedah proses pengambilalihan air mentah dari bekas lombong, pengambilan dan penapisan air sungai, penggunaan air hujan serta air mentah dari takungan hujan untuk mengatasi masalah ini.


"Kerajaan negeri terlalu degil kerana tidak mahu beri kerjasama kepada kerajaan Persekutuan untuk siapkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dan perkara ini menyusahkan rakyat negeri ini kerana kerajaan negeri bertindak lewat untuk menyelesaikan isu ini," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan