Isnin, 14 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Lebih 1,000 petani berpiket

Posted:

Lebih 1,000 petani berpiket

Lebih 1,000 petani berpiket

Oleh TOREK SULONG
utusankelantan@utusan.com.my


Zawawi Othman (kanan) bersama petani selepas menyerahkan memorandum bantahan kepada Bernas di luar pejabat Bernas, Padang Pak Amat, Pasir Puteh, semalam.


PASIR PUTEH 13 Mac - Lebih 1,000 petani dari lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di daerah ini berpiket secara aman di hadapan pejabat Padiberas Nasional Bhd. (Bernas) Padang Pak Amat, dekat sini hari ini.

Mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Bernas mengenakan potongan antara 26 hingga 28 peratus bagi setiap tan metrik padi yang dijual kepada syarikat milik kerajaan itu.

Petani terlibat turut membawa sepanduk besar tertera 'Bernas Tolonglah Kami, Jangan Sampai Kami Merajuk' dan 'Terima Kasih Kerajaan Persekutuan Beri Subsidi dan Insentif Kepada Petani.'

Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen (MPPP) Pasir Puteh, Zawawi Othman yang turut menyertai piket hampir sejam bermula pukul 10 pagi itu, turut menyerahkan memorandum bantahan kepada Ketua Bernas Wilayah Zon Timur, Ali Senik untuk tindakan lanjut.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Zawawi berkata, MPPP tidak mahu Bernas terus menindas petani dengan membuat potongan yang tidak wajar bagi setiap tan padi yang dijual.

"Kita menuntut konsep 'menang-menang' di mana Bernas yang menjalankan urus niaga mendapat untung dan petani yang membanting tulang mengusahakan penanaman padi tidak teraniaya," katanya.

Beliau mendakwa, kadar potongan padi yang dilaksanakan adalah paling tinggi berbanding di negeri lain.

Dakwanya, tindakan itu bukan sahaja membebankan petani tetapi juga menjejaskan usaha Kerajaan Pusat untuk meningkatkan taraf hidup mereka melalui pengagihan pelbagai insentif seperti upah membajak, racun dan hasil jualan padi.

Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh mendakwa, tindakan Bernas itu menyebabkan ada petani kerugian kira-kira RM40 bagi setiap tan padi yang dijual.

"Perkembangan ini akan menyebabkan petani 'tawar hati' untuk mengusahakan sawah mereka pada musim akan datang kerana pulangannya tidak setimpal dengan penat lelah.

"MPPP mahu Bernas bertimbang rasa dengan mengenakan jumlah potongan tidak lebih 20 peratus untuk meringankan beban petani berikutan kenaikan kos input pertanian," katanya.

Sementara itu, Ali berkata, memorandum bantahan itu akan disampaikan kepada pihak pengurusan tertinggi Bernas untuk tindakan lanjut.

Katanya, Bernas akan mengadakan dialog dengan petani terlibat bagi mencari penyelesaian dalam masa terdekat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

TDM Bhd. buka kilang baja bio-organik

Posted:

TDM Bhd. buka kilang baja bio-organik

TDM Bhd. buka kilang baja bio-organik

SETIU 13 Mac - TDM Bhd., sebuah syarikat milik kerajaan negeri yang berteraskan industri kelapa sawit melakar satu lagi sejarah perkembangannya sejak empat dekad lalu dengan pembinaan kilang baja bio-organik di ladangnya di Sungai Tong.

Kilang bernilai RM3.4 juta yang mula beroperasi tahun lalu merupakan sebahagian daripada langkah inovasi bagi mengurangkan kos, meningkatkan pengeluaran hasil tanaman di samping menyelesaikan masalah pencemaran dan pembuangan sisa.

Melalui pengeluaran baja itu dengan kapasiti 24,000 tan metrik setahun, syarikat berkenaan mampu menjimatkan kos pembajaan sehingga RM10 juta setahun daripada keseluruhan kos RM60 juta bagi tujuan itu.

Berdasarkan prestasinya, ia terus mendorong TDM melalui anak syarikatnya TDM Plantation Sdn. Bhd. untuk merancang membina kilang kedua bagi menampung keperluan ladang di sekitar Kemaman pada tahun ini yang dianggarkan menelan kos RM4 juta.

Perasmian kilang perintis itu disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di sini hari ini. Turut hadir, Pengerusi TDM, Datuk Roslan Awang Chik; Pengerusi TDM Plantation, Datuk Mohd. Jidin Shafee dan ahli-ahli lembaga pengarah syarikat.

Ketika berucap pada majlis itu, Ahmad menyifatkan kejayaan TDM membangunkan kilang baja itu suatu yang membanggakan dan wajar dicontohi dalam amalan kelestarian bumi.

Katanya, ia membuktikan kebolehan syarikat milik kerajaan negeri dan anak-anak tempatan yang dapat menjana ekonomi, peluang pekerjaan dan mengurangkan pergantungan kepada baja import.

Kilang itu merupakan projek usahasama TDM Plantation dengan Myagri Nutribio Sdn. Bhd. yang menyediakan teknologi dan kepakaran.

Pada majlis itu juga, Menteri Besar merasmikan Medan Infodesa Kampung Tayor Tengah Mukim Hulu Nerus 2 yang terletak bersebelahan Ladang Tayor milik TDM Plantation.

Bangunan bernilai RM178,300 itu didirikan di tapak seluas 0.47 hektar di tanah ladang bagi memenuhi keperluan penduduk setempat menjalankan pelbagai kegiatan berkaitan dengan teknologi maklumat dan komunikasi.

Ia selaras dengan objektif program Infodesa Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dalam mengatasi masalah jurang digital di antara komuniti bandar dan luar bandar.

Roslan ketika berucap pada majlis itu berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial syarikat dan berharap dengan pembinaan kilang baja dan Medan Infodesa, syarikat dapat membantu kerajaan negeri dalam mempertingkatkan sosioekonomi rakyat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Keperluan ikan di Malaysia mencukupi

Posted:

Keperluan ikan di Malaysia mencukupi

Keperluan ikan di Malaysia mencukupi

TUMPAT 13 Mac - Malaysia telah mencapai tahap sara diri daripada segi keperluan ikan bagi memenuhi kehendak lebih 27 juta rakyatnya.

Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahamad Sabki Mahmood berkata, ketika ini hasil tangkapan ikan negara adalah 1.3 juta tan metrik, berbanding keperluan penduduk kira-kira 700,000 tan metrik setahun.

Beliau berkata, secara purata pengambilan sumber ikan setiap individu di negara ini adalah 56 kilogram setahun.

"Ikan yang kita daratkan cukup untuk keperluan dan negara telah mencapai tahap sara diri hampir 100 peratus.

"Lebihan yang ada membolehkan negara mengimport ikan terutama yang berkualiti baik," katanya ketika ditemui selepas melancarkan program kesedaran perlindungan spesies haiwan marin terancam di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Geting di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali.

Menurut Ahamad Sabki, imbangan dagangan eksport ikan negara pada tahun lalu adalah RM230 juta.

Dalam pada itu, beliau meminta para nelayan memberi kerjasama terhadap kempen kesedaran perlindungan spesies haiwan marin terancam yang dijalankan oleh jabatan berkenaan bagi memastikan negara tidak berdepan kepupusan hidupan marin pada masa hadapan.

Beliau berkata, terdapat 32 jenis spesies hidupan marin di negara ini diancam kepupusan dan sekiranya tiada kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya nelayan, berkemungkinan spesies tersebut akan terus lenyap.

"Hidupan marin ini bukan kita cipta, Allah yang cipta, kalau tidak dipelihara akan menyebabkan haiwan ini pupus.

"Kita berharap nelayan sama-sama bertanggungjawab melepaskan kembali ke laut sekiranya tertangkap spesies yang disenaraikan terancam," katanya.

Menurut Ahamad Sabki, di pihak kerajaan, usaha turut diambil dengan mewujudkan tujuh pusat di seluruh negara bagi menyelamatkan spesies marin yang terancam antaranya di Rantau Abang, Terengganu bagi spesies mamalia marin dan penyu.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan