Khamis, 10 Mac 2011

Utusan Online - Timur

Utusan Online - Timur


Kantin asrama Perkaya diarah tutup

Posted:

Kantin asrama Perkaya diarah tutup

Kantin asrama Perkaya diarah tutup

Oleh TENGKU FAUZIAH NGAH
utusanterengganu@utusan.com.my

KUALA TERENGANU 9 Mac - Kantin asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Terengganu (Perkaya) Marang diarah menghentikan operasi dua minggu ekoran tahap kebersihan yang tidak mencapai tahap yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Difahamkan, kantin itu diarahkan tutup semalam setelah sembilan pelajar perempuan dikatakan mengalami keracunan makanan ketika berada di sekolah pagi kelmarin.

Mereka mengadu sakit perut dan muntah selepas mengambil sarapan dan telah mendapat rawatan sebagai pesakit luar di Pusat Kesihatan Mercang.

Bagaimanapun pelajar berkenaan belum dikenal pasti sama ada mengalami keracunan makanan kerana penyiasatan masih dilakukan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Marang.

Yang Dipertua Perkaya, Datuk Tengku Mahmud Mansor ketika dihubungi berkata, maklumat awal belum dipastikan sama ada pelajar itu mengalami keracunan makanan akibat makanan di asrama.

''Namun begitu, kes itu mungkin terpencil kerana pada masa ini kira-kira 300 pelajar menghuni di asrama berkenaan," katanya.

Menurut beliau, Perkaya amat mengambil berat mengenai masalah kebersihan ketika mengendalikan makanan untuk memastikan sajian yang disediakan tidak tercemar.

Bagaimanapun, katanya, ada juga sesetengah pelajar yang melengahkan waktu makan yang telah ditetapkan dan menyebabkan makanan yang disediakan sejuk.

Sementara itu, Pengetua Asrama Perkaya, Wan Kamal Wan Mokhtar berkata, beliau akan menghantar surat kepada Pejabat Kesihatan Daerah Marang bagi membolehkan pihak mereka menjalankan pemeriksaan semula terhadap kantin itu yang mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan.

Katanya, untuk tempoh kantin ditutup dan pemeriksaan semula itu, pihaknya telah melantik kontraktor luar bagi menyediakan makanan kepada para pelajar.

Dalam pada itu, Pegawai Kesihatan Daerah Marang, Dr. Faizan Ghazali ketika dihubungi enggan mengulas lanjut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Melihat wajah Terengganu dari sungai

Posted:

Melihat wajah Terengganu dari sungai

Melihat wajah Terengganu dari sungai

Oleh WAN ZULKIFLI WAN YAACOB
utusanterengganu@utusan.com.my


Peserta mengharungi pokok tumbang di Sungai Terengganu ketika aktiviti berkayak anjuran Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud dari Dataran Budaya, Kuala Berang ke Kampung Pulau Manis, Serada, baru-baru ini. - utusan/ AZLAN BAHRUM


HULU TERENGGANU 9 Mac - Sungai Terengganu yang bermula dari sini masih mengalir tenang dan tidak banyak terusik oleh perubahan masa selain warnanya tidaklah sejernih dahulu lagi.

Sungai yang turut menyimpan sejarah silam kerajaan purba di sini dan mencorakkan peradaban Melayu sepanjang tebing laluannya, menghilir ke Kuala Terengganu.

Catatan pengembara silam menunjukkan Kuala Berang dipercayai menjadi kota satelit pada Kuala Terengganu dan kedudukan kedua-duanya yang disatukan oleh sungai ini merupakan pusat perdagangan maritim utama sejak abad ke-12.

Ketika itu, Sungai Terengganu merupakan laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing dengan barangan seperti kayu gaharu, kayu laka, gading bermutu tinggi di jadikan pertukaran dengan emas dan perak.

Penduduk di sepanjang tebingnya membawa hasil pertanian dan hutan melalui jalan sungai, manakala para nelayan menukarkan hasil tangkapan mereka.

Pengarah Muzium Negeri, Mohd, Yusoff Yusof Abdullah ketika ditemui berpendapat, mereka yang melalui sungai ini bagaikan mudik atau menghilir sejarah negeri dan bangsanya.

Katanya, sungai ini yang sepi kini, bukan sekadar sumber bekalan air tetapi boleh memberi makna dan manfaat lebih besar melalui industri pelancongan berasaskan sejarah dan alam semula jadinya.

Media baru-baru ini dibawa menyusuri sungai itu sejauh 33 kilometer dari Kuala Berang melalui program Cintai Sungai Kita anjuran Stesen Janakuasa Elektrik Sultan Mahmud.

Melalui program itu juga, kegiatan berkayak diadakan melibatkan 1,200 peserta termasuk kalangan pegawai dan kakitangan Tenaga Nasional Bhd. (TNB).

Menyusuri Sungai Terengganu bermula dari Kuala Berang di mana Batu Bersurat yang memaparkan perundangan Islam terawal ditemui.

Ia memberikan kesempatan melihat sisi lain wajah negeri ini dalam persekitaran alam tenang dan menghijau.

Satu demi satu kampung dilewati termasuk beberapa penempatan ulama terkenal silam yang ditandai dengan makam mereka.

Pandangan juga turut disajikan dengan kegiatan seharian penduduk di pinggirnya yang bertani, menternak atau mengail ikan manakala ada yang mandi manda atau turun membasuh kain.

Cuma wajah alamnya dan ketenangan dengan pokok-pokok merimbun meredupkan suasana dan bunyi unggas, sedikit terganggu dengan beberapa kegiatan menyedut pasir di beberapa tempat.

Walaupun mengambil masa lebih lima jam dalam perjalanan dengan beberapa destinasi untuk disinggahi, bunyi kocakan, pantulan kilauan airnya dan keindahan flora serta fauna sepanjang sungai tidak meresah.

Burung bangau, helang dan pelbagai unggas masih mudah kelihatan menebar ruang, meneruskan kitaran hidup di sepanjang laluan di samping kelibat kera di hujung dahan dan biawak yang berenang mencari makan.

Menurut Pengerusi bersama program tersebut, Sarjan Mohamad Che Embong, program tersebut turut mendekatkan TNB dengan masyarakat di perkampungan tradisi di samping menyemai kecintaan dan apresiasi terhadap sungai warisan.

Persinggahan pertama di Kampung Tapu dan disusuli Kampung Pasir Tinggi, Telemong di mana para peserta turut melakukan projek amal membersihkan kawasan sungai bersama penduduk.

Perjalanan diteruskan dan persinggahan terakhir di Kampung Pulau Manis, Serada, Kuala Terengganu yang dimeriahkan dengan pertandingan sukaneka, pertandingan mewarna.

Selain itu, pihak TNB turut menghulurkan sedikit sumbangan kepada 20 keluarga miskin di beberapa buah kampung sekitar kawasan itu.

"Ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial kami kepada masyarakat dan dalam masa sama memastikan keindahan alam sekitar tetap terjaga.

"Sebab itu kita adakan program menyusur sungai ini kerana dari sini kita boleh lihat betapa indahnya negeri Terengganu dan permulaan sejarah negeri ini yang banyak berlaku sekitar sungai ini," katanya.

Jelasnya, oleh sebab itu semua pihak perlu berganding bahu dan terus menjaga keindahan sungai tersebut.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Cuba tertarik sektor pelancongan Terengganu

Posted:

Cuba tertarik sektor pelancongan Terengganu

Cuba tertarik sektor pelancongan Terengganu

KUALA TERENGGANU 9 Mac - Negara Cuba akan terus meningkatkan kerjasama dengan Malaysia, terutama dalam membangunkan sektor pelancongan dan bioteknologi demi manfaat bersama.

Duta Cuba ke Malaysia, Carlos A. Mores berkata, Cuba sememangnya memerlukan pelabur asing untuk menjalin usahasama dalam bidang tersebut berdasarkan peluang serta kemudahan yang terdapat di negara berkenaan.

Beliau juga menarik perhatian, Cuba turut berminat mengadakan kerjasama dengan Terengganu dalam usaha membangunkan industri pelancongan dan bioteknologi untuk kepentingan bersama.

"Cuba dan Malaysia sentiasa menjalinkan kerjasama, dan hubungan ini akan terus dipertingkatkan khususnya dalam bidang pelancongan serta bioteknologi," katanya sambil menambah, Cuba turut menawarkan kepakaran dalam bidang perubatan dan teknologi tinggi kepada pelabur asing.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Carlos turut mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada kerajaan negeri yang mengundangnya mengadakan kunjungan tersebut dan beliau turut berpuas hati dengan jaminan Menteri Besar untuk membuat lawatan balas ke Cuba tidak lama lagi.

Jelasnya, Cuba sedang berusaha meningkatkan kemudahan dalam bidang pelancongan dalam usaha menarik lebih ramai pelancong asing ke negara tersebut.

Buat masa ini, ujar beliau, kira-kira 2.5 juta orang pelancong asing mengunjungi Cuba pada setiap tahun.

"Negara kami mempunyai pelbagai fasiliti untuk kemudahan pelabur asing termasuk Malaysia dan pada masa ini, selain kunjungan pelancong, Cuba juga mempunyai 30,000 pelajar asing dari 70 negara yang menuntut di sana," katanya.

Sementara itu, Ahmad mengesahkan beliau akan mengetuai lawatan ke Cuba pada Mei atau Jun ini dalam meningkatkan usahasama khususnya dalam bidang bioteknologi.

Bagi tujuan itu, kata beliau, kunjungan itu juga akan disertai beberapa profesor daripada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) untuk menjalankan kajian dalam bidang berkenaan.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan