Utusan Online - Rencana |
Posted: Inflasi global melanda duniaOleh Zin Mahmud HARGA lebih tinggi untuk minyak, logam dan komoditi lain di seluruh dunia memaksa syarikat-syarikat pembuatan menyerap kos untuk membolehkan pelanggan terus membeli barangan mereka, kata berita Reuters dan Bloomberg. Ini kerana jika dipindahkan kenaikan kos itu kepada pelanggan, maka mungkin mereka akan kehilangan pasaran. Keadaan ini memberi kesan kepada keuntungan mereka. Tetapi berapa lamakah mereka boleh bertahan? Jika harga terus meningkat terutamanya minyak, akhirnya mereka akan memindahkan kos kepada pelanggan dan akhirnya kesannya akan sampai kepada pengguna. Maka berlakulah inflasi di peringkat global. Sepanjang minggu lalu, harga minyak dunia terus naik, dengan memberi kesan kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia. Kenaikan ini dikaitkan dengan gelombang kebangkitan di Asia Barat dan Afrika Utara. Jika Revolusi Arab ini berterusan, lebih-lebih lagi di Libya suasananya tidak kelihatan reda, maka harga minyak akan terus naik. Tetapi keadaan akan lebih teruk lagi jika kekacauan itu merebak ke Arab Saudi. Kesan politiknya amat besar kepada dunia. Tetapi dari segi harga minyak, ia menjadi bencana pada dunia. Jika melihat tindakan Amerika Syarikat menghadapi Revolusi Arab ini, dapat disaksikan bagaimana mereka yang sejak berlakunya kebangkitan di Tunisia dan Mesir telah gagal meletakkan hala tuju ke mana krisis itu, kini cuba membimbingnya ke arah apa yang dikehendakinya. Pertama, ia menyokong perubahan di negara-negara yang bukan sekutunya seperti Libya dan Syria kerana kebangkitan Arab ini memberi peluang kepada AS untuk memperoleh negara-negara sekutu baru, atas nama demokrasi. Tetapi Libya yang kaya minyak mesti distabilkan supaya pengeluarannya minyaknya tidak terjejas. Namun bagi negara-negara yang sememangnya sekutu AS, dan bersifat strategik seperti Bahrain, maka mereka menyebelahi kerajaannya walaupun ditolak rakyat. Ini kerana majoriti rakyat Bahrain adalah Syiah yang kebangkitannya mungkin boleh menguntungkan Iran, dan selanjutnya merebak ke Arab Saudi, terutamanya di kalangan rakyatnya yang bermazhab Syiah, dan tinggal di wilayah banyak minyak pula. Keadaan inilah yang mahu dipertahankan oleh AS.. Bagaimanapun AS tidak dapat menahan apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia yang Washington menerima dengan harapan ia tidak menjejaskan keadaan Israel. Itu suasana geopolitik yang tidak menentu. Apa akan berlaku, sama ada kehendak rakyat Arab atau Washington tetapi dalam tahun ini, harganya minyak besar kemungkinannya tetap naik. Dunia kelihatan sedang berada di persimpangan dalam hal tenaga minyak. Mungkin akhirnya ia stabil juga. Tetapi harganya tetap akan naik hinggalah ia akhirnya habis dan sumber tenaga dunia digantikan dengan kaedah lain. Apabila harga minyak naik, tentulah berlaku kenaikan pada semua barangan secara keseluruhannya. Dalam pada itu, sebab sudah ratusan taghun manusia membakar minyak dan manambah karbon ke udara, maka iklim juga berubah menjadi semakin panas. Macam-macam perbahasan mengenai pemanasan global dan perubahan iklim. Ada pihak yang menyatakan ia adalah hasil daripada pelepasan karbon oleh manusia. Ada pula berkata, ia merupakan proses semula jadi yang kurang kaitan dengan pelepasan karbon. Tetapi pemanasan global dan perubahan iklim adalah suatu hakikat. Akibatnya juga telah dijangkakan. Selain daripada berlaku bencana alam di sana-sini, pengeluaran makanan dan komoditi berasaskan tumbuhan juga terjejas. kekurangan akan berlaku, maka tentunya harga makanan dan komoditi sedang dan akan terus naik. Akhirnya pengguna akan merasakan kesannya. Yang susah akan bertambah susah. yang sederhana senang akan menjadi susah. Yang amat senang menjadi kurang senang. Menurut Reuters dan Bloomberg, harga makanan telah mencapai rekod tertinggi apabila kebanmgkitan di dunia Arab itu memecutrkan harga minyak melepasi AS$100 setong, buat pertama kali sejak kemelestan global bermula pada tahun 2008. Pada mwaktu yang sama inflasi Eropah meningkat ke 2.4 peratus, menurut pejabat perangkaan Kesatuan Eropah. Ia merupakan kenaikan paling laju dalam masa lebih dua tahun ini. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula, pemuliohan global menghadapi risiko jika harga minyal terus naik ke AS$110 atau AS$120 setong dan berada di situ pada waktu lama. Apa yang berlaku sekatrang ialah dunia yang sedang berada dalam keadaan tidak tenteram. Kebangkitan rakyat Arab yang dikaitkan dengan kenaikan harga minyak ditambah pula dengan kenaikan harga makanan dan komoditi akibat perubahan iklim dan pemanasan global sebenarnya berlaku ketika kemelesetan ekonomi di Amerika dan Eropah yang belum selesai. Sememangnya benua Asia tidak terjejas dengan kemelesetan di Barat kerana institusi perbankan rantau ini telah diperkukuhkan ekoran krisis kewangan akhir tahun 1990-an, tetapi ia bukannya kebal daripada apa yang berlaku di Barat. Jika kemelesetan di Amerika dan Eropah itu berlanjutan, dan menjadi bertambah lama kerana ketidakstabilan di Asia Barat dan Afrika Utara, maka kesannya akan sampai juga ke Asia, dan juga seluruh dunia. Kemelesetan yang berpanjangan tentu menjejaskan keperluan barangan pengguna kerana masing-masing akan berjimat cermat. Maka apabila import dikurangkan, maka negara pengeksport di Asia juga akan terjejas. Negara-negara besar seperti China dan India akan menggunakan pasaran domestiknya untuk terus tumbuh. Begitu juga negara-negara lain seperti Indonesia dan Malaysia sendiri. negara yang banyak bergantung pada perdagangan dan eksport ke pasaran Barat akan lebih terdedah. Ekonomi Namun begitu manusia akan sentiasa mencari jalan supaya keadaan ekonomi dunia menjadi stabil dan ibnflasi global dapat ditangani dengan tidak terlalu menjejaskan kehidupan kebanyakan orang di dunia. Tetapi ketika melihat kemesetan ekonomi di Barat sejak tahun 2008, banyak perbahasan mula tertumpu kembali kepada sistem ekonomi dunia. Gagasan kapitalisme global dan globalisasi ekonomi mendapat perhatian dan kritikan besar. Sememangnya diperhatikan bahawa krisis kewangan Barat yang berlaku sekarang mempunyai asas kepada ketamakan, pelanggaran amanah dan kelemahan bank pusat. Tetapi tidakkah ketamakan dan usaha mencari jalan bagi mengaut keuntungan tanpa mengira nilai etika, asalkan ia dibenarkan undang-undang adalah amalan sistem ekonomi kapitalis? Dalam sistem ini, ia mengutamakan modal dengan mewujudkan pasaran bebas dan terbuka. Sesiapa boleh berniaga dan berhutang. Sifat tamak itu dilihat sebagai pemacu kepada kemakmuran dunia. Tetapi tidakkah apa yang berlaku di Barat itu adalah seperti skim cepat kaya yang sah dari segi undang-undang? Apa yang jelas ialah sistem ini berasaskan kepada guna dulu bayar kemudian. Maknanya membeli sesuatu dengan wang yang belum dimiliki. Kalau dibuat secara berhemah, maka keadaan adalah terselamat. Maka soalnya berhe mah itu macama mana? Maka akhirnya pada tahun 2008 dan 2009, tercetus krisis subprima di AS yang merebak hingga ke Eropah. Orang yang tidak mampu menjelaskan hutang dibenarkan berhutang, maka akhirnya padahlah yang datang. Maka mengapakah orang yang tidak mampu tetap mahu membeli sesuatu barangan dengan wang yang belum ia miliki? Barangan itu pula besar-besar, khususnya hartanah. tetapi apabila membeli sesuatu yang dianggap mewah, maka tentulah cara hidup keseluruhannya juga adalah secara mewah. Mereka tentu mahu membeli kereta yang lebih elok dan barang-barang elektronik yang pelbagai, daripada televisyen hinggalah kepada komputer. Barang-barang pengguna alaf baru ini merupakan realiti hidup makmur zaman ini. Ia merupakan hasil sistem pasaran yang bersasaskan revolusi industri dahulu dan revolusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada zaman ini. Semuanya berkaitan. Maka dengan penduduk terus bertambah, dengan kebanyakannya juga mahu hidup senang dan bermewah seperti yang dinikmati oleh negara-negara maju, seperti di Amerika Utara, Eropah Barat dan juga Jepun, Australia, New Zealand, Israel dan Singapura, maka sudah tentu barangan untuk menghasilkan produk pengguna juga menaikkan harga logam. Justeru apabila dilihat bagaimana kenaikan harga logam, minyak dan komoditi yang berpunca daripada kebangkitan rakyat Arab, perubahan iklim dan amalan kepenggunaan dalam sistem ekonomi kapitalis, maka inflasi global tidak dapat dielakkan. Orang kata menyebut perkataan kapitalis tidak manis. Ini kerana ia merujuk kepada modal dan pemodal yang dalam sistem ini telah menyumbang kepada kemakmuran dunia. Oleh itu dikatakan sebutlah dengan istilah pasaran bebas. Tetapi apa sebenarnya pasaran? Ia adalah modal dan pengguna yang banyak kali otaknya terpengaruh dengan iklan-iklan yang dirancang begitu teliti untuk menguasai keinginannya. Sememangnya sistem berasaskan modal telah mengalahkan sistem berasaskan sosial sejak 20 tahun lalu. Mesir, Libya, Tunisia, Syria, Sudan dan Yaman adalah negara-negara yang mewarisi suatu sistem berasaskan sosial tetapi ternyata gagal kerana diculik untuk berkhidmat kepada sistem modal antarabangsa. Tetapi kebangkitan rakyat Arab sekarang adalah antara lain akibat sistem modal antarabangsa yang meminggirkan mereka. Kemakmuran berpunca minyak Arab tidak sampai ke orang kebanyakan di tebing Sungai Nil. Sebaliknya ia memberi kemakmuran kepada penduduk negara-negara maju. Lapan peratus penduduk dunia berkorban supaya 20 peratus penduduk dunia di negara maju dapat hidup makmur dan mewah. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Nasi untuk kesihatan profesor universiti Posted: Nasi untuk kesihatan profesor universitiBisik-Bisik Mingguan
SEBUAH universiti awam di Malaysia baru-baru ini memperkenalkan satu dasar pemakanan untuk diikuti dan dipatuhi oleh kakitangannya, termasuk para profesor. Pihak pentadbir universiti itu dikatakan meminta hanya beras perang dihidangkan dalam jamuan ketika acara-acara rasmi diadakan. Beras perang kini menggantikan beras putih dalam semua jamuan di universiti tersebut. Alasannya adalah kesihatan. Satu kajian di Amerika Syarikat mendapati wujud pertambahan mendadak kes-kes penyakit diabetes ekoran peningkatan penggunaan beras putih. Sejak beberapa dekad lalu beras perang sering dianggap makanan kesihatan kerana kandungan nutrisi, vitamin dan mineralnya yang lebih baik daripada beras putih. Proses menghasilkan beras putih di kilang telah menjadikan beras putih hilang sebahagian khasiatnya. Kononnya penyakit diabetes akan lebih terkawal jika beras perang dijadikan makanan ruji berbanding beras putih. Obesiti boleh dielakkan. Dalam usaha untuk melahirkan kakitangan universiti yang lebih sihat, satu dasar pemakanan yang bersifat autokratik dan berasaskan selera peribadi telah diperkenalkan oleh pihak pengurusan tertinggi universiti di Malaysia itu. Selain beras perang, pilihan menu lauk pauk ketika jamuan di universiti berkenaan juga ditetapkan perlu mencerminkan pemahaman tentang kesihatan. Menu ikan diutamakan berbanding daging merah. Mungkin selepas beberapa tahun dasar pemakanan itu berjalan kita nanti akan dapat melihat kumpulan birokrat dan ahli akademik yang lebih bertenaga, sihat dan panjang umur di universiti sambil disusuli dengan penurunan kos penjagaan kesihatan. Apakah yang menjadikan manusia pintar memang sukar untuk diukur kerana seseorang insan itu menjadi orang bijak bukan kerana makanan semata-mata. Cinta, muzik, persekitaran, pengalaman, penglibatan dalam perbincangan mencabar dan latihan minda yang sistematik turut merangsang otak. Tentu sekali tindakan pihak pentadbir universiti awam itu dalam kes beras perang boleh didebatkan, dikritik dan dipersoalkan. Bagaimanapun, satu kajian kesihatan di Amerika Syarikat hampir 40 tahun lalu sudah pun mencadangkan bahawa lelaki berperut buncit pada usia 40-an lebih berisiko terdedah kepada Alzheimer, iaitu penyakit kemerosotan daya ingatan yang menjadikan seseorang pelupa dan nyanyuk. Kalau arahan pihak pentadbir universiti mengenai dasar pemakanan itu akhirnya dapat mengelakkan gejala profesor berperut buncit dan obes, hasilnya pasti amat baik kepada universiti itu. Kita bolehlah berhujah bahawa arahan makan beras perang mungkin boleh dilihat sebagai satu usaha kecil untuk melindungi kesihatan minda tokoh-tokoh cerdik pandai di negara ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Rencana To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan