Utusan Online - Muka Hadapan |
- 10,000 rumah rakyat miskin tegar dibaik pulih
- Subsidi hanya bagi golongan perlu
- Chong Wei terima saham RM100,000
10,000 rumah rakyat miskin tegar dibaik pulih Posted: 10,000 rumah rakyat miskin tegar dibaik pulih
TANJUNG KARANG 15 Mac – Kerajaan melalui 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan membaik pulih 10,000 unit rumah rakyat miskin tegar di seluruh negara yang akan dilaksanakan menerusi dua fasa membabitkan 100 kawasan Parlimen. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, projek di bawah 1MDB itu membabitkan perbelanjaan RM50 juta dengan peruntukan RM5,000 bagi setiap rumah. "Saya harap rumah yang dibaik pulih nanti sepadan dengan wang RM5,000 yang diperuntukkan," katanya semasa berucap merasmikan Projek Nadi Kasih di Kampung Sungai Gulang-Gulang, Tanjung Karang di sini hari ini. Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan wang tunai berjumlah RM500 kepada 200 pelajar miskin di kawasan Tanjung Karang bagi pihak 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Najib berkata sebagai kerajaan, BN memahami denyut nadi rakyat dan ada empat keperluan rakyat Malaysia iaitu kos sara hidup yang berpatutan, kediaman yang mampu dimiliki, pendidikan dan tahap kesihatan yang baik serta kos pengangkutan yang mampu ditanggung mereka. "Ini keperluan asas rakyat Malaysia, bread and butter issue kata orang putih," katanya. Beliau berkata, kerajaan juga menubuhkan 1MDB yang melalui projek khidmat sosialnya membiayai kerja-kerja pemulihan rumah uzur golongan miskin tegar. | ||
Subsidi hanya bagi golongan perlu Posted: Subsidi hanya bagi golongan perluOleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
PETALING JAYA 15 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, peruntukan subsidi ke atas pelbagai barangan, perkhidmatan serta sumber perlu ditujukan kepada golongan rakyat yang benar-benar memerlukan dan tidak boleh diberikan secara sewenang-wenangnya. Menurut Perdana Menteri, ini bagi memastikan sesuatu sumber itu boleh bertahan lama dan tidak kehabisan dalam jangka masa panjang. Dengan mengambil contoh mengenai bekalan air, jelasnya, harga sumber itu tidak boleh disubsidi secara meluas kerana ia membabitkan kos rawatan di samping keperluan mewujudkan kesedaran kepada rakyat bahawa bahan itu adalah terhad. Justeru, beliau meminta semua pihak supaya tidak mempolitikkan isu bekalan serta harga air kerana perkara itu kini menjadi topik yang hangat dibincangkan di seluruh dunia. "Jika kita semua memahami bahawa sumber (air) adalah terhad dan kita mahu perkhidmatan (mengenainya) diperbaiki, kita perlu sedia membayar harganya. "Oleh itu, subsidi (air) perlu ditujukan kepada golongan sasaran dan bukannya secara meluas bagi memastikan bekalannya boleh bertahan lama," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Air Asia Pasifik (APRWC) 2011 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui. Najib menambah, pengurusan air pada masa kini adalah lebih mencabar berbanding sebelumnya kerana kerajaan perlu mengimbangkan antara faktor kos rawatan air dengan tarif bersesuaian, demi memastikan harganya tidak membebankan rakyat. Menurutnya, bekalan air bersih yang mencukupi adalah penting buat rakyat demi memastikan mereka dapat bersama-sama kerajaan dalam menuju status negara maju berpendapatan tinggi. Dengan mengambil satu contoh, katanya, 'Greater Kuala Lumpur' akan menjadi salah satu daripada 29 bandar raya mega (megacities) di dunia dalam masa 15 tahun dari sekarang dan bekalan air bersih yang mencukupi adalah penting demi menuju cita-cita tersebut. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Chong Wei terima saham RM100,000 Posted: Chong Wei terima saham RM100,000PUTRAJAYA 15 Mac – Pemain badminton nombor satu dunia Datuk Lee Chong Wei hari ini menerima RM100,000 unit amanah saham Permodalan Nasional Berhad (PNB) daripada kerajaan Malaysia atas kejayaannya mempertahankan kejuaraannya pada Kejohanan Badminton All England awal pagi Isnin. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyampaikan hadiah tersebut kepada Chong Wei, yang tiba dari London pada pukul 6.45 pagi tadi, pada majlis sarapan pagi di Seri Perdana di sini hari ini. Sementara itu, isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang juga Penaung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) turut menyampaikan hadiah peribadinya yang merupakan sebuah jam tangan atas kejayaan Chong Wei itu. Chong Wei pada kejohanan itu mengalahkan musuh ketatnya Lin Dan dari China 21-17, 21-17 dengan mengambil masa 52 minit pada pertandingan perseorangan lelaki Kejohanan All England di Birmingham Indoor Arena, England. Berucap pada majlis itu, Najib berkata, beliau begitu yakin Chong Wei akan berjaya menumpaskan Lin Dan pada pertandingan itu kerana mendapati permainan Chong Wei lebih fokus dan lebih berkeyakinan, berbanding semasa bertemu Lin Dan di temasya Olimpik yang lepas. Beliau berkata, hadiah kerajaan Malaysia itu adalah hasil perbincangannya dengan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan "kita telah bersetuju untuk memberi hadiah yang istimewa kepada Datuk Lee Chong Wei sebagai penghargaan kerajaan dan rakyat Malaysia atas kejayaan Chong Wei." Perdana Menteri juga berkata, sebelum bertanding Chong Wei menelefon Rosmah, yang merupakan satu tabiatnya sebelum bertanding, untuk mendapatkan kata-kata semangat. "Pada malam itu, isteri saya telah memberi semangat kepada beliau dan berjanji akan memberi hadiah istimewa sekiranya menang dan saya juga dapat bercakap dengan Chong Wei turut berjanji akan memberi hadiah sekiranya beliau menang," katanya. "Pada ketika itu, dia (Chong Wei) tidak menganggap Lin Dan sebagai penentang yang tidak boleh diatasi. Chong Wei juga telah menunjukkan permainan yang begitu hebat sekali dan tidak pernah rasa tertekan tetapi sentiasa mengatur permainannya berdasarkan kepada pelan permainan. "Pada saya, bila dia mempunyai keyakinan dan komited kepada pelan permainannya, pada masa itu dia boleh mengatasi pencabarnya yang menjadi penghalang besar kepadanya untuk mencapai kejayaan," kata Najib. Najib berharap kejayaannya itu dapat dijadikan satu landasan kukuh untuk negara memenangi pingat emas di Sukan Olimpik yang akan diadakan di London pada tahun depan, yang merupakan "impian kita yang masih belum tercapai, "Ini adalah harapan saya dan juga 27 juta rakyat Malaysia. Inilah harapan yang kita anggap sebagai cita-cita besar dan impian agung yang menuntut usaha semua pihak untuk menjadikannya satu kenyataan," katanya. – Bernama Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Muka Hadapan To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan