Khamis, 10 Mac 2011

Utusan Online - Mahkamah

Utusan Online - Mahkamah


Imej Anwar, Saiful dikenal pasti

Posted:

Imej Anwar, Saiful dikenal pasti

Imej Anwar, Saiful dikenal pasti

Oleh SUWARNI MOKHTAR
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 10 Mac – Imej Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan antara yang dikenal pasti oleh seorang pegawai polis melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang diambil dari Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2008.

Pegawai Penyiasat, Supritendan Judy Blacious Pereira berkata, beliau juga mengenal pasti Hasanuddin Abdul Hamid yang merupakan pemilik unit kondominium tempat kejadian liwat itu didakwa berlaku dan bekas Pengarah Eksekutif Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Datuk Dr. Mohd. Arif Mohd. Karim.

Turut dikenal pasti ialah beberapa buah kenderaan yang keluar masuk kondominium itu yang didaftarkan atas nama ahli perniagaan dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nik Mahmood Nik Hassan; bekas Ketua Pegawai Operasi Bursa Malaysia, Omar Malik Merican dan ahli korporat, Datuk Nik Mohd. Sidek Nik Abu Bakar.

Dalam rakaman CCTV yang diambil dari pejabat pengurusan dan pos pengawal kondominium tersebut, katanya, nama-nama pemilik kereta itu diketahui selepas semakan dibuat terhadap nombor pendaftaran kenderaan-kenderaan terbabit di Jabatan Pengangkutan Jalan.

Saksi pendakwa ke-25 yang kini bertugas di Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang Bukit Aman itu berkata demikian sewaktu disoal pada pemeriksaan utama dalam perbicaraan kes liwat membabitkan Anwar dan Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 26, di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar, 64, dibicarakan atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Pada 24 Februari lalu, pegawai penganalisis audio video dari Maktab Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Asisten Supritendan Fauziah Che Mat telah membuat analisis ke atas dua pemacu keras yang diambil dari tempat kejadian.

Atas arahan Judy, tumpuan diberikan ke atas beberapa buah kenderaan dan individu yang keluar masuk ke kondominium terbabit dan menuju ke tingkat lima Blok 11.

Bagaimanapun pada ketika itu, identiti sebenar individu-individu terbabit masih belum dikenal pasti kecuali Mohd. Saiful Bukhari yang mengesahkan kehadirannya ke premis tersebut dalam keterangannya sebelum ini.

Dalam keterangannya hari ini, Judy turut memberitahu, walaupun rakaman percakapan telah selesai, Anwar tetap ditahan semalaman di lokap Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara ekoran siasatan atas dakwaan kes liwat yang dibuat oleh pengadu masih belum selesai.

''Selepas bawa balik dari Hospital Kuala Lumpur (HKL), saya ingin tanya lagi soalan. Oleh yang demikian saya telah tahan beliau di lokap pada pukul 11.05 malam (16 Julai 2008),'' katanya.

Menurutnya, beliau tidak boleh meneruskan rakaman percakapan ke atas Ketua Pembangkang itu pada hari yang sama kerana mengikut peraturan lokap, pihak polis tidak boleh menyoal atau merakam percakapan tahanan selepas pukul 6 petang.

Judy menjelaskan, pada keesokan harinya, beliau telah menyambung rakaman percakapan ahli politik itu berkaitan pemeriksaan yang dilakukan di HKL sebelum Anwar dibebaskan pada pukul 9.30 pagi.

Selain itu, Anwar mahupun peguamnya, R. Sivarasa dari sebelum rakaman percakapan dijalankan pada petang 16 Julai 2008, tidak pernah mengadu bahawa mereka tidak diberikan alasan penahanan.

Terdahulu, Judy dalam keterangannya menyatakan, pihaknya telah memohon waran tangkap ke atas tertuduh pada 15 Julai 2008 dari Mahkamah Kuala Lumpur dan waran tersebut telah disempurnakan oleh Supritendan Ahmad Taufik Abdullah pada keesokan harinya, kira-kira pukul 2.40 petang.

Pada prosiding bicara dalam perbicaraan (TWT) yang lalu, Anwar dan Sivarasa menyatakan bahawa mereka tidak pernah dimaklumkan mengenai alasan penahanan walaupun telah bertanya berulang kali.

Mereka juga mendakwa bahawa penahanan Anwar tersebut tidak sah kerana rakaman percakapan telah selesai diambil pada petang 16 Julai tahun yang sama.

Menjawab soalan lain Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden, saksi tersebut memberitahu, pada pukul 7.30 malam, 29 Jun 2008, beliau ada merampas satu tiub cecair pelincir jenama 'Johnson & Johnson' yang dibawa oleh Mohd. Saiful Bukhari ke pejabatnya ketika itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Sementara itu, penyokong-penyokong Anwar tanpa segan silu terus membuat bising sepanjang perbicaraan berlangsung sehingga mengganggu media yang sedang membuat catatan.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga tanpa rasa malu mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Mohd. Saiful Bukhari sewaktu mangsa keluar dari bilik saksi memasuki dewan mahkamah untuk dicamkan oleh saksi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah akan bersambung esok dengan barisan pembelaan yang diketuai oleh peguam bela, Karpal Singh menyoal balas Judy.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

20 dokumen mencurigakan dalam 4 fail

Posted:

20 dokumen mencurigakan dalam 4 fail

20 dokumen mencurigakan dalam 4 fail

KUALA LUMPUR 10 Mac – Suruhanjaya Untuk Menyiasat Kematian Teoh Beng Hock hari ini diberitahu terdapat lebih 20 dokumen yang mencurigakan dijumpai dalam empat fail tuntutan peruntukan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan yang diperoleh dari Pejabat Tanah dan Daerah Petaling.

Penolong Penguasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Arman Alies, 35, berkata, dokumen itu ditanda semasa beliau membuat semakan untuk mencari empat invois dan sebut harga pembekalan serta pembinaan terhadap empat syarikat yang dicetak daripada komputer riba milik Beng Hock sekiranya ada di dalam fail-fail tersebut.

''Dokumen itu dianggap mencurigakan kerana saya beranggapan seolah-olah bukan pemilik syarikat yang tandatangan tetapi sengaja diada-adakan.

''Tandatangan tersebut juga terlalu sama selain ada dokumen yang ditandatangani oleh Beng Hock tetapi menggunakan cop rasmi Yang Berhormat (YB) Ean Yong Hian Wah,'' katanya.

Menurut Arman, walaupun semakan itu bertujuan mencari empat dokumen sahaja, ia berlanjutan dari pukul 10.40 hingga 11.50 malam kerana Beng Hock lebih banyak berdiam diri seolah-olah cuba mengingati sesuatu selain membelek satu persatu dokumen di dalam empat fail keras itu.

Ketika itu, beliau dibantu oleh Penolong Penguasa Mohd. Ashraf Mohd. Yunus membuat tandaan pada dokumen-dokumen yang dianggap mencurigakan untuk dimaklumkan kepada Ketua Bahagian Siasatan SPRM Selangor, Hairul Ilham Hamzah bagi tindakan selanjutnya.

''Apabila ditanya kenapa empat dokumen berada dalam komputer ribanya, Beng Hock menjawab mungkin ia dimuat turun daripada e-mel yang diterima. Dia juga tidak dapat ingat dengan tepat kerja-kerja pembinaan dan pembekalan yang telah dibuat.

''Beng Hock juga tidak sedar bahawa arahan perbendaharaan memerlukan tiga sebut harga daripada syarikat berbeza dan hanya memproses apa yang diterima selain pemilihan kontraktor dibuat oleh YB Ean,'' jelas beliau.

Bagaimanapun, kata Arman, empat dokumen tersebut gagal ditemui dan Beng Hock memberi jaminan untuk mengemukakannya kepada SPRM sekiranya ia ditemui dalam komputer pejabat.

Beliau kemudiannya menyuruh Mohd. Ashraf membawa Beng Hock keluar dari bilik mesyuarat utama dan berjumpa dengan Hairul Ilham untuk memaklumkan hasil semakan dokumen itu.

Semasa disoal oleh pegawai pengendali, Awang Armadajaya Awang Mahmud sama ada saksi mengambil kira kebajikan Beng Hock atau tidak mempedulikan lelaki tersebut, Arman dengan tegas menjawab:

''Lepas keluar dari bilik mesyuarat saya tidak lagi jumpa Beng Hock. Pasal kebajikan, ada pegawai penyiasat. Saya tidak boleh cakap tidak peduli. Ia agak kasar. Pada saya, tugas rasmi saya sudah tamat.''

Sementara itu, Arman yang bertugas di Bahagian Perisikan Ibu Pejabat SPRM Putrajaya memberitahu, beliau diarah hadir dalam satu taklimat berkaitan penyelewengan peruntukan dua ahli DUN di SPRM Selangor pada pukul 7.15 pagi, 15 Julai 2009.

Beliau kemudiannya ditugaskan untuk mengesan seorang kontraktor di Sungai Buloh sebelum menemui lelaki berkenaan di Seksyen 25, Shah Alam.

Pada pukul 8 malam, dia dimaklumkan oleh Hairul Ilham terdapat empat dokumen yang tidak sepatutnya disimpan oleh Beng Hock dijumpai di dalam komputer ribanya dan mengarahkan dokumen yang sama dicari di dalam empat fail.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan