Utusan Online - Kota |
Posted: Individu monopoli parkirOleh MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
KUALA LUMPUR 1 Mac – Penduduk Perumahan Awam (PA) Seksyen 1 Wangsa Maju di sini kesal dengan tindakan sesetengah individu yang bertindak memonopoli kawasan letak kereta di perumahan tersebut. Apa yang menyakitkan hati ialah individu terbabit meletakkan kon bagi menghalang kenderaan lain diletakkan di situ walaupun kemudahan tersebut adalah untuk orang ramai. Perkara itu didakwa sudah berlarutan sejak lebih empat tahun lalu tanpa ada sebarang tindakan diambil oleh pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Sikap tidak bertanggungjawab itu sedikit sebanyak telah menyusahkan penduduk perumahan itu untuk untuk meletakkan kenderaan. Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Cek Din, 60, yang enggan gambarnya dirakamkan berkata, tindakan individu terbabit memonopoli parkir jelas menyusahkan penduduk lain. Katanya, apabila ada penduduk bertindak mengalihkan kon dan meletakkan kenderaan mereka di situ, individu terbabit akan marah dan kadangkala turut mengugut mereka. "Pernah sekali, individu terbabit dengan angkuhnya berkata, anaknya adalah anggota satu pasukan beruniform dan meminta jangan sesiapa berani mengacau tempat parkir itu. "Lebih menyakitkan, jika ada juga penduduk yang meletakkan kenderaan di kawasan individu itu, dia akan meletakkan kon di atas kenderaan penduduk itu," katanya. Cek Din berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana kawasan tersebut adalah kawasan awam dan menggunakan sistem siapa cepat dia dapat. "Jika hendak mempunyai parkir sendiri, pindahlah ke rumah teres, jangan duduk di rumah seperti ini," katanya. Sehubungan itu, katanya, demi keadilan kepada semua penduduk, pihak berkuasa perlu bertindak tegas terhadap perkara tersebut dan menghentikan amalan monopoli yang berlaku itu. Seorang lagi penduduk, Mohd. Harun Sepian, 51, berkata, tidak mungkin individu terbabit tidak tahu 'prosedur' tinggal di perumahan awam seperti itu yang mengkehendaki semua penghuni berkongsi kemudahan yang disediakan. Katanya, kebanyakan individu yang memonopoli parkir itu adalah mereka yang sudah lama menetap di situ dan beranggapan mereka mempunyai hak terhadap lot letak kereta. Ujarnya lagi, tindakan meletakkan kon itu adalah salah dan mengundang rasa marah penduduk lain. "Saya menasihatkan individu-individu terbabit supaya jangan mementingkan diri, sebaliknya fikirlah juga tentang orang lain memandangkan kita tinggal secara berkelompok. "Biarlah semua orang boleh menggunakan kemudahan parkir yang disediakan di kawasan ini kerana ia adalah hak milik bersama," katanya. Rosminah Daim, 50, pula berkata, apabila ada individu meletakkan kon di kawasan parkir tersebut, penduduk lain yang tidak mahu mencari 'masalah' terpaksa beralah dan meletak kenderaan mereka jauh dari rumah. Katanya, tindakan itu memang menyusahkan penduduk lain sedangkan setiap penduduk mempunyai hak yang sama terhadap kemudahan yang disediakan. "Semua orang faham kemudahan parkir di sini memang sangat terhad, jadi setiap orang perlu bertimbang rasa. "Saya rasa masalah ini tidak berlaku di kawasan perumahan bertingkat yang lain di ibu negara tetapi sudah berlaku di sini sejak beberapa tahun lalu," katanya. | ||
Posted: Penduduk LBJ mahu berundingKUALA LUMPUR 1 Mac - Baki 41 penduduk Ladang Bukit Jalil (LBJ) yang masih menetap di ladang itu berkeras tidak mahu berpindah selagi tuntutan mereka tidak dipenuhi. Mereka yang enggan menerima pampasan dan juga wang ehsan yang ditawarkan oleh kerajaan, meminta rundingan lanjut diadakan bagi mencari jalan penyelesaian kepada perkara tersebut Salah seorang daripada mereka, S. Thiakarajan berkata, penduduk hanya ingin menuntut hak mereka dan bukannya mengharapkan wang ehsan. "Kami tidak akan berganjak selagi pihak kerajaan tidak mengadakan perbincangan secara bersemuka untuk membincangkan tuntutan kami," katanya ketika ditemui di sini. Dia berkata, penduduk merasakan mereka tidak dilayan dengan adil kerana tanpa ada sebarang rundingan, kerajaan terus membuat keputusan. Katanya, penduduk di situ menuntut sembilan perkara dan berharap kerajaan sedia berbincang sebelum membuat sebarang keputusan. Antara tuntutan tersebut ialah pemberian perumahan rumah teres kos rendah dan isu gaji tertunggak bekas pekerja ladang antara 1980 dan 1995 yang masih belum dibayar. Selain itu, isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja yang tertunggak sepanjang tempoh yang sama turut dituntut oleh penduduk terbabit. Minggu lalu, kerajaan mengumumkan pemberian wang ehsan berjumlah RM922,088 kepada kesemua 116 bekas pekerja ladang, waris atau keluarga mereka dalam usaha menyelesaikan isu perpindahan pekerja terbabit. Mereka diberikan seminggu untuk membuat keputusan sebelum notis pemindahan akan dikeluarkan. Wang ehsan bersama beberapa perkara lain dianggap sebagai jalan penyelesaian terbaik setelah 20 rundingan antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan penduduk ladang itu sejak 2006 terus menemui jalan buntu. Thiakarajan berkata, mereka bukan berdegil atau keras kepala, cuma berharap kerajaan dapat duduk bersemuka dan membincangkan tuntutan mereka sehingga satu kata sepakat dicapai. Seorang lagi penduduk, K. Balakrisnan pula berkata, sudah hampir 30 tahun mereka tinggal di situ dan sepatutnya tuntutan mereka didengar oleh pihak berkuasa. "Kami juga mahukan isu ini diselesaikan dan perbincangan dengan kerajaan adalah yang kami harapkan kerana menerusi perbincangan, situasi menang-menang mungkin dapat dicapai," katanya. Tambahnya, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Muhibbah tidak sesuai dijadikan rumah gantian kerana rumah itu sempit dan tidak sesuai untuk kebanyakan penduduk di sini yang sudah lanjut usia. | ||
Posted: Semua pihak puas hatiOleh NUR NAZLINA NADZARI
KUALA LUMPUR 1 Mac - Hari pertama operasi penuh Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) di sini berjalan lancar walaupun ramai juga penumpang yang dilihat masih keliru. Tinjauan Utusan Malaysia ke terminal serba canggih itu mendapati, pengusaha bas telah memulakan operasi mereka di kaunter baru yang disediakan atas permintaan mereka sebelum ini. Hanya sembilan kaunter yang tidak beroperasi tetapi difahamkan pengusaha bas terbabit sudah mendaftar masuk ke terminal itu. Hampir semua kaunter yang beroperasi telah dan sedang memasang nama serta logo syarikat mereka untuk memudahkan pelanggan mengenal pasti kaunter mereka. Jika dibandingkan keadaannya sewaktu mula-mula dibuka, TBS-BTS pada hari ini kelihatan lebih hidup dengan semua syarikat bas ekspres ke selatan kini menawarkan perkhidmatan di bawah satu bumbung. Pengurus Qistina Express Sdn. Bhd., I. Rajendran, 53, berkata, dia amat berpuas hati dengan kaunter yang diberikan dan perkhidmatan yang baik daripada pihak pengurusan TBS-BTS. Katanya, memiliki kaunter sendiri lebih memudahkan mereka untuk memberi perkhidmatan yang terbaik dan juga menjaga keperluan penumpang syarikat itu. "Respon penumpang pada hari pertama ini juga amat baik dan saya yakin pada hujung minggu nanti, lebih ramai penumpang akan menggunakan terminal ini. "Penumpang juga tidak akan mempunyai masalah untuk datang ke sini kerana ada kemudahan awam seperti bas, transit aliran ringan (LRT) dan komuter," katanya. Sementara itu, Pengurus Syarikat Kenderaan S & S Sdn. Bhd., Mizar Zainon, 33, berkata, operasi hari pertama bagi mereka agak kelam-kabut memandangkan pelanggan masih belum biasa lagi di terminal baru itu. Katanya, sebelum ini, syarikat itu telah pun beroperasi di TBS-BTS dengan menggunakan sistem tiket di kaunter yang diuruskan oleh pihak pengurusan terminal tersebut. "Selepas mendapat kaunter, kami akan menjual tiket di kaunter sendiri dan tidak menggunakan sistem pihak pengurusan kerana syarikat ini mempunyai sistem e-ticketing sendiri. "Saya yakin apabila kami beroperasi di sini, masalah ulat dapat dihapuskan dan pelanggan boleh terus datang ke kaunter untuk membeli tiket tanpa diganggu," jelasnya. Sementara itu, seorang penumpang, Tan Lin Yen, 37, berkata, perkhidmatan di terminal itu sungguh memuaskan serta tempat itu jauh lebih selesa jika dibandingkan dengan Terminal Bas Sementara Bukit Jalil. "Ini merupakan kali pertama saya mendapatkan perkhidmatan bas di terminal ini. Tempatnya amat cantik, selesa dan dekat dengan pengangkutan awam. "Di sini juga terdapat ramai pekerja yang berada di sekitar terminal yang dapat memberi bantuan jika ada perkara yang kami tidak tahu," ujarnya. Seorang lagi penumpang, R. Devi, 47, berkata, dia telah ke Terminal Sementara Bukit Jalil kerana tidak tahu bas ke selatan telah berpindah sepenuhnya ke TBS-BTS mulai hari ini. "Sebelum ini, pengusaha tidak mahu pindah tetapi bila saya pergi (Bukit Jalil) hari ini, semua sudah tiada," katanya yang mendakwa rugi masa dan wang kerana tidak tahu perpindahan itu. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Kota To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan