Utusan Online - Jenayah |
Bekas pramugara dalang geng culik Posted: Bekas pramugara dalang geng culikOleh AZIAN AZIZ dan MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
KLANG9 Mac – Polis berjaya memberkas kumpulan penculik yang diketuai seorang bekas pramugara kira-kira 15 minit selepas mereka menerima wang tebusan berupa 10 ketul emas bernilai RM1.44 juta dalam dua serbuan berasingan di bandar ini awal pagi ini. Serbuan pertama yang melibatkan penahanan dua penculik dilakukan di Jalan Pos Baru di sini kira-kira pukul 1 pagi dan enam jam selepas itu tiga rakan jenayah mereka diberkas di Taman Sentosa. Terdahulu, polis menyelamatkan seorang pengarah sebuah syarikat sekuriti berusia 62 tahun yang diculik kumpulan itu sejak Isnin lalu di lokasi dirahsiakan pada pukul 12.45 tengah malam iaitu kira-kira 48 jam selepas dia diculik. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, pengarah syarikat terlibat yang menghidap penyakit kencing manis diculik di belakang sebuah restoran di Persiaran Raja Muda, Pelabuhan Klang di sini pada Isnin lalu. Beliau berkata, selepas menculik mangsa, kumpulan penjenayah itu meminta 10 kilogram emas sebagai bayaran tebusan. Menurut beliau, pihaknya yang menerima laporan berhubung kejadian telah menubuhkan pasukan khas dan berjaya memberkas mereka selepas bayaran tebusan diberi. "Ketika diberkas kumpulan penculik itu menggunakan kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu D-Max yang ditampal pelekat Unit K-9 dan sebuah motosikal jenis Kawasaki. "Kesemua penculik, terdiri daripada seorang lelaki warga tempatan yang pernah bertugas sebagai pramugara selama 13 tahun dan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Nepal. "Kita juga menemui semula 10 ketul emas di dalam kenderaan pacuan empat roda berkenaan," kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang di sini petang ini. Hadir sama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah yang mengetuai serbuan dan Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Md. Yusof. Tun Hisan turut menunjukkan 10 ketul emas yang dirampas selain kenderaan pacuan empat roda dan motosikal Kawasaki milik penculik, lima unit telefon bimbit, wang tunai RM45, topeng ski dan 'teaser gun'. Tambah beliau lagi, semasa soal siasat dibuat, ada di antara penculik mengaku sebagai pelatih anjing tetapi siasatan yang dibuat mendapati mereka menipu. "Kita juga mendapati kenderaan pacuan empat roda yang digunakan didaftarkan atas nama isteri salah seorang penculik," katanya sambil memberitahu kesemua penculik berusia 30-an ditahan mengikut Seksyen 3 (1) Akta culik 1961. Katanya, kesemua mereka juga direman selama seminggu bermula hari ini. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Cubaan tujuh lelaki rompak kapal dagang gagal Posted: Cubaan tujuh lelaki rompak kapal dagang gagalJOHOR BAHRU 9 Mac - Kecekapan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Selatan berjaya menggagalkan cubaan tujuh lelaki warga asing untuk merompak sebuah kapal dagang yang sedang berlabuh di perairan Pengerang, Kota Tinggi, awal pagi ini. Kejadian pukul 3.15 pagi itu melibatkan kapal MT Front Queen ketika berlabuh di kedudukan 2.8 batu nautika (5 kilometer) dari Pulau Mungging. Ketua Penguat Kuasa Maritim Malaysia Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, semasa insiden, bot Kilat pasukan itu sedang meronda di perairan berdekatan sebelum mendengar siren kecemasan dari kapal berkenaan. Katanya, bot Kilat itu lalu bergegas ke kapal tersebut dan melihat tujuh lelaki di dalam sebuah bot kayu sedang membuang dua batang galah panjang serta sejumlah barangan di dalam plastik ke dalam laut. Tambahnya, kesemua mereka dipercayai berbuat demikian untuk menghilangkan bukti. "Anggota bot Kilat kemudian meminta bantuan sebuah lagi bot laju, bot Petir, sebelum kesemua sembilan anggota tersebut menahan tujuh lelaki itu yang disyaki baru selesai melakukan rompakan. "Pemeriksaan awal menemui sebilah kapak, pisau, beberapa batang sepana, dompet, topeng dan barangan lain," katanya pada sidang akhbar di Jeti Tanjung Puteri, di sini hari ini. Difahamkan, motif utama rompakan tersebut adalah untuk mendapatkan alat ganti kapal selain barangan berharga milik anak kapal. Zulkifli berkata, siasatan mendapati, seorang anak kapal MT Front Queen berjaya melarikan diri ke anjung kapal sebelum bertindak menghubungi pegawai bertugas untuk membunyikan siren kecemasan. Menurutnya, kesemua 20 anak kapal MT Front Queen yang berdaftar di Pulau Majuro dan kaptennya, warganegara Rusia tidak mengalami sebarang kecederaan. "Suspek-suspek yang berusia 28 hingga 33 tahun dari negara jiran itu kini ditahan reman untuk siasatan lanjut. Kes disiasat mengikut Seksyen 391 Kanun Keseksaan dan kami juga akan mendapatkan kerjasama daripada pihak polis. "Kita masih menyiasat sama ada kesemua suspek turut terlibat dalam kejadian rompakan terhadap kapal dagang lain di kawasan tersebut," katanya. Sementara itu, Zulkifli memberitahu, sepanjang Januari hingga kini, sebanyak 11 kes rompakan termasuk tiga kes cubaan merompak kapal dilaporkan di sekitar perairan Johor. Pihaknya akan terus menggiatkan usaha termasuk meningkatkan jaringan komunikasi bersama komuniti maritim di sekitar perairan selatan tanah air bagi membendung kegiatan jenayah itu daripada terus berleluasa. Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kegiatan jenayah seumpama itu boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Wilayah Selatan di talian 07-2199401. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Jenayah To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan