Utusan Online - Dalam Negeri |
- TPM jumpa Manmohan, Mukesh Ambani dalam lawatannya ke India
- Program baru perubatan dibeku?
- Martabatkan bahasa Melayu peringkat global
TPM jumpa Manmohan, Mukesh Ambani dalam lawatannya ke India Posted: TPM jumpa Manmohan, Mukesh Ambani dalam lawatannya ke IndiaMUMBAI 7 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai atur cara padat dalam lawatan rasmi lima harinya ke India mulai esok termasuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menterinya, Dr. Manmohan Singh dan salah seorang tokoh terkaya di dunia, Mukesh Ambani. Mukesh memiliki kekayaan AS$43 bilion (RM129 bilion) dan menerajui korporat terbesar di India, Reliance Industries Limited iaitu sebuah syarikat yang terlibat dalam tekstil, produk petrokimia, penapisan minyak mentah, kerja-kerja cari gali minyak, gas dan lain-lain lagi. Lawatan Muhyiddin ke India adalah yang pertama sejak memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan ia adalah atas jemputan Dr. Manmohan Singh dan Menteri Luar India, S.M. Krishna. Rombongan Muhyiddin yang dijadual tiba di sini malam esok, turut disertai oleh Menteri Kerja Raya, Datul Shaziman Abu Mansor: Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman dan ahli-ahli perniagaan. Selain Mukesh, Muhyiddin pada hari kedua (Rabu) di Mumbai dijadual mengadakan perbincangan dengan tokoh perniagaan lain termasuk Pengerusi Kumpulan Tata, Ratan Tata. Kumpulan Tata adalah syarikat pengeluar kenderaan terbesar di India yang antara lain mengeluarkan kereta, bas, lori, kenderaan pacuan empat roda (MPV) dengan menggunakan jenama Tata. Menurut kenyataan Wisma Putra, Timbalan Perdana Menteri pada hari yang sama akan turut mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Maharashtra, Shri Prithviraj Chawan dan ahli-ahli perniagaan Malaysia di Hotel Taj Mahal Palace serta melawat Pusat Urusan Visa Global Malaysia. Beliau juga akan bersama peneraju-peneraju industri untuk jamuan makan tengah hari. Pada sebelah malamnya pula, Muhyiddin akan menghadiri jamuan makan malam bersama rakyat Malaysia di Mumbai. Keesokkan harinya, Timbalan Perdana Menteri akan berlepas ke New Delhi dan dijadual menemui Menteri Pengangkutan, Jalan dan Lebuhraya India, C.P Joshi. Beliau kemudian akan merasmikan pejabat baru Construction Industry Development Board (CIDB) di Gurgaon, Delhi. Di New Delhi, beliau akan meninjau projek usaha sama antara pihak swasta kedua-dua negara melibatkan pembinaan infrastruktur dan lebuh raya. Timbalan Perdana Menteri juga akan mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Parti United Progressive Alliance (UPA) yang juga Presiden Parti Kongres, Sonia Gandhi di kediaman anak pejuang kemerdekaan India itu. Beliau kemudian akan menghadiri majlis makan malam yang dihoskan oleh Menteri Pembangunan Bandar India, Kamal Nath. Pada Jumaat, Muhyiddin akan menemui Menteri Pembangunan Sumber Manusia, Komunikasi dan Teknologi Maklumat India, Shri Kapil Sibal. Menurut Wisma Putra, Timbalan Perdana Menteri kemudiannya akan melakukan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh. Dalam pertemuan itu, kedua-dua pemimpin akan membincangkan pelbagai perkara dan isu melibatkan kepentingan bersama. Di sebelah petangnya, Muhyiddin akan menyampaikan ucapan kepada para diplomat asing dalam program anjuran bersama Asian African Legal Consultative Organization (AALCO) dan Kementerian Luar India di bawah tajuk, 'Kawalan Global Abad Ke-21: Isu-isu Mendatang dan Cabaran' di Hotel Taj Mansingh. Timbalan Perdana Menteri kemudiannya akan berlepas ke Chennai dan dijadual menghadiri majlis dialog dan makan malam bersama pelajar Malaysia. Keesokkan harinya, Muhyiddin menemui pasukan Malaysia yang terlibat dalam Kejohanan Skuashi Dunia sebelum mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Tamil Nadu, Dr. Kalaignar M. Karunanidhi. Di sebelah malam pada hari terakhir lawatannya ke negara ini, Timbalan Perdana Menteri akan menghadiri program Malam Kebudayaan Malaysia anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Penganjuran malam kebudayaan itu sebagai meraikan kejayaan Kuala Lumpur dan Chennai menjadi Bandaraya Berkembar. Muhyiddin dijangka berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada malam itu dan dijangka tiba di pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, keesokkan paginya. - UTUSAN Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Program baru perubatan dibeku? Posted: Program baru perubatan dibeku?Oleh SHARAIMEI
PUTRAJAYA 7 Mac – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mungkin membekukan semua program baru bidang perubatan yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta di negara ini. Keputusan itu dibuat ekoran penawaran dalam program perubatan melebihi permintaan dan kerajaan perlu menjaga kualiti program. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kebanyakan IPT ketika ini tidak mempunyai kelengkapan dan tenaga pengajar yang mencukupi. "KPT sememangnya sedang menimbangkan untuk melakukan moratorium (penangguhan) terhadap program-program perubatan. "Kita berasakan masalah seperti tidak cukup tenaga akademik, hospital pengajar dan kalau ada pun hospital yang ditumpangi itu memang tidak mencukupi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penyerahan sijil menaik taraf Allianze Universiti College of Medical Sciences (AUCMS). Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif AUCMS, Datuk Dr. Zainuddin Md. Wazir. Pada majlis itu, AUCMS menerima watikah naik taraf kepada kolej universiti. Sehubungan itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian akan mengumpul maklumat membekukan program tersebut untuk diserahkan kepada kerajaan dalam masa terdekat. Sementara itu, Mohamed Khaled menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa kerajaan membenarkan program perubatan yang ditawarkan di IPT tempatan beroperasi tanpa mendapat kelulusan daripada Majlis Perubatan Malaysia (MMC). "Semua program perubatan hanya akan dipertimbangkan oleh kementerian setelah pihak yang memohon itu mempunyai kelulusan daripada MMC," jelasnya. Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementerian dalam proses akhir untuk mendaftarkan dua universiti baru di Malaysia. Dua universiti itu akan beroperasi di Iskandar Malaysia, Johor Bahru iaitu Southampton Universiti Malaysia dan Raffles Universiti Iskandar. Jelas beliau, sehingga akhir Februari lalu, kementerian telah meluluskan pendaftaran 25 buah IPT bertaraf universiti, 22 kolej universiti dan lima kampus cawangan universiti luar negara di Malaysia. Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price. | ||
Martabatkan bahasa Melayu peringkat global Posted: Martabatkan bahasa Melayu peringkat globalOleh HAKIMI ISMAIL
KUALA LUMPUR 7 Mac - Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2011 merupakan landasan terbaik untuk memartabatkan bahasa rasmi negara ke peringkat antarabangsa. Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penganjuran PABM 2011 membolehkan negara di luar nusantara mengenali dan menguasai bahasa Melayu yang dituturkan di kebanyakan negara Asia Tenggara. Beliau berkata, pendedahan melalui pertandingan pidato itu dapat menarik minat bangsa lain untuk lebih mendalami keunikan dan keindahan bahasa Melayu serta budaya yang diamalkan penuturnya. "Pertandingan kali ini juga sebagai satu bentuk kesedaran dan perang psikologi kepada rakyat Malaysia yang menganggap kerajaan meminggirkan bahasa Melayu. "Penganjuran PABM 2011 mampu menutup mulut para pengkritik dasar kerajaan mengenai bahasa kebangsaan," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Malam Resepsi PABM 2011, di sini hari ini. Menurut Mohamed Khaled, kementerian akan terus memperkasakan pelbagai program untuk membantu penuntut antarabangsa di institusi pengajian tinggi tempatan untuk menguasai bahasa Melayu. "Kita akan memperbanyakkan program seumpama ini selain mewujudkan program baru termasuk mewajibkan mereka mengambil subjek Bahasa Melayu, namun segala keputusan yang diperoleh tidak akan direkodkan. "Ia hanya bertujuan membantu mereka menguasai bahasa Melayu untuk memudahkan mereka berurusan di negara ini," katanya. Selain itu jelasnya, kementerian juga akan memperbanyakkan program pertukaran pelajar bagi membolehkan proses penguasaan bahasa Melayu dilakukan. Pusingan saringan PABM 2011 akan bermula esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dan peringkat akhir pertandingan akan diadakan pada 11 Mac ini. Seramai 59 peserta dari 56 negara akan berentap bagi merebut Piala Perdana Menteri itu. Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori iaitu kategori nusantara dan antarabangsa untuk memberikan keadilan dalam pemilihan peserta terbaik untuk dinobatkan sebagai juara. |
You are subscribed to email updates from Utusan Online - Dalam Negeri To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan