Khamis, 17 Mac 2011

Kosmo Online - Rencana Utama

Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Kosmo Online - Rencana Utama


Loji nulear di Lingkaran Api Pasifik

Posted:

Loji nulear di Lingkaran Api Pasifik

Loji nulear di Lingkaran Api Pasifik

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my



WALAUPUN pernah melalui detik hitam yang menyaksikan Hiroshima dan Nagasaki musnah bak padang jarak padang tekukur dek bom atom, namun ia bukan menjadi titik noktah untuk menghentikan Jepun daripada membangun teknologi nuklear di negara itu.

Bukan mahu pisang berbuah dua kali lantaran mengetahui risiko yang bakal diterima sebaliknya, negara Matahari Terbit itu menjadikan sumber tenaga nuklear sebagai platform untuk membangunkan tanah air mereka.

Malah, walaupun menyedari duduk letaknya negara mereka dalam kawasan Lingkaran Api Pasifik yang cenderung dilanda gempa bumi, namun ia bukan penghalang untuk mereka memanfaatkan khazanah uranium itu sebaik mungkin.

Hingga kini, Jepun sudah memiliki 55 loji nuklear sekali gus antara yang terbanyak di dunia. Sebanyak 10 buah syarikat diberi mandat untuk mengendalikan loji tersebut antaranya Tokyo Electric Power Company (TEPCO), Kyushu Electric Power Company (Kyushu Electric), Chubu Electric Power Company (Chubu Electric) dan Tohoku Electric Power Company (Tohoku Electric).

Sumber tenaga elektrik

Menurut Persekutuan Syarikat Tenaga Elektrik Jepun (FEPC), kesemua loji tersebut mampu menawarkan output total penggunaan tenaga elektrik sebanyak 49,467 megawatt (MW).

"Walaupun menyedari bahaya tenaga nuklear, sumber itu tetap menjadi pilihan utama bagi membekalkan jumlah tenaga yang besar dan murah untuk jangka masa panjang. Sehingga kini, loji-loji nuklear di Jepun dapat membekalkan 30 peratus keperluan elektrik negara," kata Pengerusi FEPC, Tsunehisa Katsumata.


GEMPA bumi dan tsunami yang melanda pantai timur Jepun menyebabkan kemusnahan harta benda yang teruk.


Mengimbau sejarah nuklear di negara itu, ia memulakan penyelidikan dalam program tenaga nuklear pada tahun 1954 berbekalkan peruntukan sebanyak 230 juta yen (RM8.69 bilion).

Undang-undang Asas Tenaga Atom dunia secara tegas mengehadkan penggunaan teknologi nuklear hanya bagi tujuan kebaikan sejak tahun 1955.

Undang-undang itu bertujuan untuk memastikan tiga prinsipal kaedah demokrasi, pengurusan yang bebas dan telus merupakan asas kepada aktiviti penyelidikan nuklear di samping kerjasama di peringkat antarabangsa.

Jepun mula mengimport reaktor kuasa nuklear pertamanya dari UK, Tokai-1 iaitu reaktor sistem penyejukan (Magnox) yang dibangunkan oleh GEC dengan kapasiti 160 megawatt. Ia mula beroperasi pada Julai 1966 sehingga Mac 1998.

Kejayaan itu menjadi pencetus kepada pembinaan lebih banyak loji nuklear baru di Jepun yang sehingga kini mencecah angka 55.

Bagaimanapun, keghairahan Jepun terhadap teknologi nuklear direntap baru-baru ini apabila gempa bumi berukuran 9 magnitud yang melanda negara tersebut menyebabkan siri letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi.

Bencana tsunami yang mengorban lebih 10,000 nyawa itu menyaksikan berlaku kebocoran pada loji tersebut sehingga wap radiasi dibimbangi boleh menjejaskan kesihatan dan mengancam nyawa 128 juta orang di negara Matahari Terbit.

Ketua Pihak Berkuasa Keselamatan Nuklear Perancis (ASN), Andre-Claude Lacoste berkata, berdasarkan perbandingan skala krisis nuklear antarabangsa, tragedi di Fukushima dianggap lebih teruk daripada Three Mile Island, namun tidak seburuk kejadian di letupan di Chernobyl.

"Kami dapat merasakan bahawa sekurang-kurangnya ia berada pada Tahap Lima dan berkemungkinan mencecah Tahap Enam. Saya mengatakan demikian selepas bercakap dengan rakan seangkatan dari Jepun," jelas Lacoste kepada AFP.


GAMBAR fail menunjukkan insiden siri letupan di loji nuklear Fukushima Daiichi milik TEPCO akibat daripada gempa bumi baru-baru ini.


Bagaimanapun, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mengeluarkan maklumat rasmi bahawa kejadian kebocoran loji nuklear di Jepun itu diklasifikasikan sebagai Tahap Empat mengikut Skala Kejadian Radiologi Nuklear Antarabangsa iaitu berkisar di kawasan itu sahaja.

Berdasarkan rekod, kejadian letupan di Chernobyl, Ukraine (1986) berada pada Tahap Tujuh apabila mengorbankan 32 orang anggota bomba serta hampir 9,000 nyawa akibat impak ke atas kesihatan selepas letupan berlaku.

Kagum dengan rakyat Jepun

Sementara itu, pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian Doktor Falsafah dalam bidang Kejuruteraan Perisian dari Universiti Hosei di daerah Kanto, kira-kira 20 kilometer dari Tokyo berkongsi pengalaman melalui saat-saat sukar akibat tragedi berkenaan.

Melalui laman sembang Yahoo Messenger, Fauziah Zainuddin, 36, memberitahu Kosmo!, pihak berkuasa Jepun terpaksa membuat catuan elektrik bagi menjimatkan penggunaan tenaga di seluruh negara.

"Apabila bekalan elektrik terputus, berkemungkinan besar air juga tiada. Itu yang merisaukan kami sekeluarga. Apatah lagi saya mempunyai anak kembar yang baru berusia setahun lebih.

"Cuma, terus-terang saya kagum melihat sikap rakyat Jepun dalam berhadapan bencana sebegini. Mereka sangat berdisiplin dan tenang menghadapinya. Malah, tidak membezakan antara rakyat asing atau penduduk tempatan dalam menghulurkan bantuan," jelas Fauziah yang belajar di Jepun sejak September 2009.

Kembali bangkit


JEPUN diyakini mampu untuk kembali bangkit dan meneruskan kehidupan selepas mengalami bencana alam yang meragut ribuan nyawa dan merosakkan infrastruktur negara itu.


Dalam pada itu, di sebalik kemusnahan besar yang dialami Jepun akibat bencana alam sedemikian, mereka diyakini mampu untuk kembali bangkit dan meneruskan survival kehidupan pada masa akan datang.

Mengulas perkara itu, Dekan Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Infrastruktur, Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC), Prof. Dr. Roslan Zainal Abidin berkata, ia bergantung kepada kemampuan sesebuah negara dan bantuan antarabangsa.

"Berdasarkan pengalaman mereka, negara Jepun tidak akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

"Teknologi dan kepakaran yang dimiliki secara tidak langsung akan dapat membangunkan semula ekonomi negara dalam tempoh kurang daripada lima tahun," ujar Roslan sambil menambah bahawa bencana itu juga akan menyebabkan berlakunya perubahan ke atas rupa bentuk muka bumi di kawasan yang terlibat secara khusus dan perubahan peta dunia amnya.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

0 ulasan:

Catat Ulasan