Khamis, 10 Mac 2011

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Kelindan lori mati dalam bilik tidur

Posted: 09 Mar 2011 10:13 AM PST

PETALING JAYA: "Saya terbau seperti bangkai binatang dari arah tingkat atas ketika menyidai baju di luar rumah sebelum menyuruh anak lelaki saya memeriksa apa yang berlaku," kata saksi penemuan mayat lelaki, Jamiah Ahmad Leong, 65, di Blok A Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Seksyen 8, Kota Damansara, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi itu, Jamiah yang tinggal di tingkat 11 menyidai baju sebelum terbau busuk dari sebuah unit di tingkat 12.


Dia yang berasa pelik menyuruh anak lelakinya yang baru selesai mandi pergi memeriksa.

Jamiah berkata, anaknya ditemani beberapa jiran ke sebuah unit di tingkat berkenaan selepas memaklumkan penghuni unit itu kali terakhir dilihat pada Isnin lalu.


"Selepas itu, anak saya menghubungi adik mangsa," katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohammed, berkata mangsa dikenali sebagai L Manamohan, 49, ditemui dalam keadaan bogel dan telentang di atas tilam di dalam bilik tidurnya.

Katanya, adik mangsa memecahkan pintu rumah yang berkunci dari dalam sebelum masuk dan menemui mayat abangnya yang juga seorang pekerja kelindan lori.


"Menurut adik mangsa yang tinggal di kawasan sama, dia gagal menghubungi abangnya sebelum datang ke rumah itu untuk membuat pemeriksaan.

"Setakat ini, kami mengklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). Bagaimanapun, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur jenayah," katanya dalam sidang media majlis pelupusan barang kes di sini, semalam.


Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Dua suspek kena tahan

Posted: 09 Mar 2011 10:07 AM PST

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dipercayai suspek kejadian menyimbah asid di hadapan sebuah sekolah kebangsaan di Bangsar, baru-baru ini, hingga menyebabkan lapan murid tahun enam cedera dicekup, petang kelmarin.

Kedua-dua suspek yang berusia 30-an ditahan di Bangsar ketika mereka menunggang motosikal. Ketika ditahan, sebuah botol berisi cecair dipercayai klorin dijumpai dalam raga motosikal mereka.


Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Zulkifli Abdullah, berkata penahanan suspek hasil siasatan pihaknya sejak hari kejadian dan pemantauan secara kerap di kawasan berkenaan.

"Kedua-dua lelaki warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 2 petang dan seorang daripada suspek mempunyai enam kesalahan jenayah lampau," katanya.


Menurutnya, motif serangan masih dalam siasatan dan pihaknya juga menjalankan tugas statik di kawasan berkenaan bagi mengelak insiden terbabit berulang.


Katanya, kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman tiga tahun penjara atau denda RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian 2 Mac lalu, lapan murid tahun enam termasuk empat murid perempuan cedera pada muka dan badan apabila terkena cecair dipercayai asid yang dibaling seorang individu tidak dikenali ketika mereka menunggu van sekolah untuk pulang ke rumah.


Suspek menunggang motosikal Yamaha Lagenda melempar bungkusan plastik berisi cecair itu sebelum melarikan diri.

Difahamkan, kejadian khianat itu kes kedua berlaku di sekolah berkenaan manakala kes pertama pada dua minggu lalu mengakibatkan tiga individu cedera termasuk seorang murid.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by USA Best Price.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan