Berita Harian: Nasional |
Sasaran sekolah satu sesi ditetap Posted: 01 Mar 2011 01:31 PM PST Nasional MUHYIDDIN menyampaikan sumbangan Program Khidmat Masyarakat Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional kepada seorang penerima yang cacat penglihatan, Teo Guan pada majlis perjumpaan dengan warga pendidik dan PIBG Parlimen Kuala Krau di Temerloh, semalam. Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob (kiri); Pengerusi PTPTN, Datuk Ismail Mohamed Said (tengah) dan calon BN DUN Kerdau, Syed Ibrahim Syed Ahmad. TEMERLOH: Kerajaan menetapkan sasaran untuk melaksanakan sekolah satu sesi secara menyeluruh apabila keperluan dan kemudahan infrastruktur serta tenaga pengajar mencukupi. Pelaksanaan sekolah satu sesi itu bermaksud tempoh pembelajaran lebih anjal untuk murid dan guru, sekali gus dapat memberi tumpuan lebih kepada kegiatan kokurikulum. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata ketika ini sudah ada antara 60 hingga 70 peratus sekolah rendah melaksanakan sekolah satu sesi, bagaimanapun pada peringkat sekolah menengah jumlahnya lebih rendah."Sekarang, jika sesi pagi tamat pada jam 1 tengah hari kerana ada sesi kedua selepas itu dan sukar untuk pelajar menumpukan kepada kegiatan kokurikulum. "Jadi kesimpulannya, sekolah satu sesi ini memang ada faedahnya, cuma kita tidak pasti bila ia boleh dicapai," katanya pada sidang media selepas majlis perjumpaan Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran dengan warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kerdau di sini, petang semalam. Baru-baru ini, Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad menyarankan kerajaan melaksanakan persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga jam 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tiada beban kerja berlebihan. Sementara itu, Muhyiddin berkata, Datuk Seri Najib Razak dan beliau akan menjelaskan mengenai implikasi jika rakyat terpengaruh dengan janji manis terkandung dalam Buku Jingga yang dilancarkan pembangkang pada siri turun padang Perdana Menteri ke seluruh negara. Kita (Barisan Nasional) tidak bimbang dengan Buku Jingga, cuma nanti sampai ke satu peringkat, Perdana Menteri dan saya akan ulas satu persatu supaya jangan ada pihak yang terpedaya dengan tarikan yang agak besar yang kononnya ditawarkan pembangkang. Sementara itu, beliau kesal dengan dakwaan tidak berasas pihak pembangkang yang mendakwa kerajaan kini tidak mempunyai wang dan terpaksa menambah sumber pendapatan menerusi saman ekor. Katanya saman ekor adalah berkaitan dengan penguatkuasaan undang-undang jalan raya dan pesalah trafik perlu menjelaskan kompaun. "Ini bukan soal kerajaan ada duit atau tak ada duit dan juga bukan soal politik," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ceramah di kampung Kuala Tekal, dekat sini, malam tadi. |
Perwakilan Malaysia diarah lapor keadaan semasa Posted: 01 Mar 2011 01:29 PM PST Nasional PUTRAJAYA: Wisma Putra mengarahkan semua pejabat perwakilannya menyediakan laporan analisis bulanan mengenai perkembangan sosioekonomi semasa di negara mereka bertugas supaya kerajaan lebih bersedia menghadapi sebarang krisis jika berlaku pergolakan politik atau bencana alam.Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, arahan itu akan menjadi sebahagian daripada KPI bagi kedutaan, suruhanjaya tinggi dan wakil kerajaan Malaysia di luar negara supaya apa saja kemungkinan seperti krisis yang berlaku di Mesir dan Libya, dapat ditangani dengan lebih berkesan. Katanya, kepekaan perwakilan Malaysia terhadap perkembangan semasa di sesebuah negara dapat membantu kerajaan menyelaras strategi bagi membawa pulang rakyat tempatan yang berada di sana selain mengambil langkah perlu melindungi kepentingan Malaysia di negara berkenaan. "Kita mahu tahu mengenai kepimpinan negara tertentu. Bila pilihan raya, apakah nasib parti yang ada sekarang, sama ada menang atau tidak. Ini semua tanggungjawab perwakilan di negara berkenaan. Tak perlu laporan terperinci tapi sekurang-kurangnya ada maklumat asas setiap bulan."Saya minta ketua perwakilan kita mewujudkan hubungan erat dengan pihak tertentu di kalangan pucuk pimpinan di negara mereka bertugas selain terbabit aktif dalam semua mesyuarat, perjumpaan atau majlis supaya dapat menemui tokoh tertentu atau perwakilan negara lain. "Mereka harus lakukan analisis terhadap kerajaan negara di mana mereka ditugaskan dan mengunjurkan kesan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang terhadap rakyat kita di sana sekiranya berlaku musibah," katanya pada sidang media selepas majlis jamuan tengah hari di kementeriannya, di sini semalam. Jamuan itu diadakan sebagai tanda terima kasih kepada 245 kakitangan Wisma Putra yang terbabit dalam Operasi Piramid bagi membawa pulang 7,746 rakyat Malaysia dari Mesir selepas berlaku pergolakan politik di negara itu.
Mengenai usaha membawa pulang rakyat Malaysia dari Libya berikutan pergolakan politik di sana, Anifah berkata 195 orang sudah dibawa pulang dengan bantuan Ranhill Berhad (Ranhill) dan 18 orang lagi dijangka sampai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pagi ini. Katanya, lima pelajar Malaysia yang sebelum ini mahu terus menetap di Tripoli juga sudah dibawa keluar dengan bantuan Ranhill Bhd berikutan desakan keluarga yang khuatir keselamatan mereka apabila keadaan bertambah buruk. "Mereka kini dalam perjalanan ke Tunisia sebelum di bawa ke Bangladesh dan terus pulang ke Malaysia. Setakat ini, semua rakyat kita yang berdaftar dengan Wisma Putra sudah dibawa keluar. Jika masih ada rakyat kita di sana, saya minta keluarga mereka maklumkan kepada Wisma Putra. "Mengenai tiga rakyat kita yang dikatakan masih berada di Libya, seorang difahamkan kini sudah sampai di Dubai manakala dua lagi belum dapat pastikan kedudukan mereka. kalau ada anggota keluarga yang tahu, maklumkan pada kami supaya boleh kita kenal pasti dan bawa pulang," katanya.
|
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan