Selasa, 3 Julai 2012

Harian Metro: Setempat

Harian Metro: Setempat


Benam mayat dalam perigi

Posted: 02 Jul 2012 03:07 PM PDT

ALOR GAJAH: Seorang lelaki warga emas mati dalam keadaan menyedihkan apabila kepalanya dipukul dengan objek keras dan mayatnya dicampak ke dalam perigi sedalam enam meter di rumahnya sendiri di Bukit Sebang, di sini.

Bagi mengelak mayat Yau Fook San, 68, ditemui, penjenayah terbabit menggunakan enam kusyen untuk menindih dan menutup mayat mangsa dalam perigi itu.
Mayat Yau ditemui selepas ahli keluarganya dari ibu negara datang ke rumah itu apabila gagal menghubungi telefon bimbit mangsa, jam 4.20 petang kelmarin.

Difahamkan, perkara itu disedari jiran terdekat yang tidak melihat kelibat tukang cat itu sejak beberapa hari lalu, sebelum memaklumkan kepada keluarga mangsa.
Sejurus tiba, beberapa ahli keluarga mendapati rumah setingkat itu dalam keadaan berkunci dan mereka memanggil nama mangsa, tetapi tidak berjawab.
Mereka kemudian masuk mencari mangsa dan mendapati kusyen di rumah itu hilang selain ternampak kesan darah pada peti sejuk, lalu menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Shaifuddin Shaharuddin berkata, bertindak atas maklumat diterima, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian.
"Hasil pemeriksaan, didapati bahagian dalaman rumah mangsa dalam keadaan kemas dan tersusun, namun ketika memeriksa ruang dapur, polis mendapati sebuah perigi yang ada di situ mengandungi enam kusyen.

"Selepas semua kusyen itu dibawa keluar, mayat mangsa ditemui dalam keadaan mukanya terbenam ke dalam air," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Hadir sama, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan Risikan) negeri, Superintendan R Gunarajan.

Menurutnya, polis terpaksa meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Daerah Alor Gajah untuk mengeluarkan mayat mangsa berikutan saiz perigi yang terlalu sempit.

Umar berkata, beberapa kesan luka ditemui di kepala mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras sebelum mangsa dicampak ke dalam perigi terbabit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.


‘Terbayang bagaimana jika saya dibunuh’

Posted: 02 Jul 2012 02:23 PM PDT

GOMBAK: "Saya hanya terfikir mati dan mengucap tiga kali. Dalam fikiran hanya terbayang bagaimana jika saya dibunuh dan perasaan keluarga jika menerima berita kematian saya.

"Malah ketika itu, kedua-dua tangan dan kaki saya diikat dengan tali, manakala mulut disumbat kain menyebabkan saya sukar bernafas. Saya merayu mereka membuka ikatan, tetapi dipukul dengan besi katil selain menolak saya hingga tersungkur ke lantai," kata lelaki yang mahu dikenali Jamal, 33, menceritakan detik cemas disamun dan dikurung dua lelaki bersenjatakan pisau dan sabit.


Jamal yang masih trauma dengan insiden berkenaan berjaya menyelamatkan diri sebaik kedua-dua lelaki itu meninggalkannya bersendirian dalam keadaan badan dihempap dengan katil besi dan berikat di sebuah rumah dalam pembinaan di Batu 10 Jalan Gombak sebelum meminta pertolongan penduduk berhampiran.

Malah, dia bukan saja disamun dan dikurung, tetapi rumah disewa bersama anak saudaranya di Taman Koperasi Polis, di sini, turut dipecah masuk lelaki terbabit menyebabkan kerugian hampir RM20,000 selepas kereta Proton Iswaranya dilarikan.


Menceritakan kejadian itu, Jamal berkata, dia baru selesai minum bersama rakannya di sebuah gerai di Taman Greenwood, jam 4 pagi awal pagi Sabtu lalu, sebelum berjalan ke kereta yang diletakkan di bahu jalan.


"Saya menyedari seperti diekori dua lelaki, tetapi tidak mempedulikannya sebelum lelaki itu mengacukan pisau di leher sebaik saya mahu membuka pintu kereta.

"Manakala seorang lagi masuk ke bahagian penumpang depan dan meletakkan sabit di perut saya. Mereka mengarahkan saya tidak melawan dan memandu ke kampus Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gombak," katanya.


Sebaik tiba di kawasan tapak pembinaan berhampiran Batu 10, dia diarahkan keluar daripada kereta dan masuk ke sebuah rumah sebelum kedua-dua tangan dan kakinya diikat.

Katanya, lelaki terbabit mengambil telefon bimbit dan dompetnya selain mengarahkan memberikan kata laluan kad mesin juruwang automatik (ATM) miliknya.


"Saya yang ketakutan mengikut arahan dan merayu minta dilepaskan. Mereka berterusan memukul dan menolak saya hingga tersungkur ke lantai selain dihempap katil besi.


"Mereka meninggalkan saya sendirian. Saya berusaha melepaskan ikatan, tetapi gagal. Saya terpaksa melompat keluar dari rumah itu dan meminta bantuan seorang pengawal keselamatan di sebuah bangunan pejabat tidak jauh dari tempat saya dikurung," katanya.


Jamal berkata, pengawal itu membuka ikatan sebelum seorang lelaki yang melalui jalan berkenaan menghantarnya ke Balai Polis Gombak membuat laporan.


Sebaik pulang ke rumah, dia mendapati rumahnya berselerak dan sebaik diperiksa, didapati dua komputer riba, dua telefon bimbit dan wang tunai RM500 hilang.


Bagaimanapun, anak saudara perempuannya yang berusia 22 tahun dan suaminya yang tinggal bersama tidak cedera kerana tidur dalam sebuah bilik serta tidak menyedari kejadian itu kerana lelaki terbabit membuka pintu rumah menggunakan kunci miliknya yang disamun sebelum itu.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan