Isnin, 9 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Rita, Aidil diarah selesai cara baik

Posted:

Rita, Aidil diarah selesai cara baik

Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

RITA, AIDIL


PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah di sini mengarahkan pasangan pelakon Rita Rudaini Mokhtar dan suaminya, pemain bola sepak kebangsaan, Aidil Zafuan Abd. Razak supaya menyelesaikan kes rumah tangga mereka secara baik sempena kedatangan bulan Ramadan tidak lama lagi.

Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Mohammad berkata, sebagai pasangan yang dikenali ramai, mereka seharusnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat supaya menjadi ikutan dan boleh mendapat pahala.

Rita Rudaini yang ditanya akan kesediaan untuk berbincang berkata: "Ya, saya sedia untuk bincang melalui arahan mahkamah."

"Kalau tidak boleh bersama, mahkamah tiada masalah untuk kamu bercerai, tindakan selepas ini perlu dibuat peguam masing-masing," kata Wan Mahyuddin semasa sebutan semula kes permohonan kembali taat yang difailkan plaintif, Aidil Zafuan, 24, terhadap isterinya selaku defendan.

Terdahulu, permohonan itu mendapat bantahan Rita Rudaini, 36, menerusi peguam syarie Datuk Zaidi Zain yang menimbulkan isu bidang kuasa mahkamah untuk mendengar kes berkenaan.

Menurut Zaidi, kes seumpama itu pernah difailkan di Mahkamah Rendah Syariah Seremban, namun telah ditarik balik plaintif yang tidak tinggal bersama dengan defendan sejak Januari 2012 tetapi dalam permohonan kembali taat, plaintif menyatakan alamatnya ialah rumah yang defendan duduki sekarang.

"Malah, plaintif ajak defendan tinggal bersama tetapi tidak sebut alamat mana, sekejap Seremban, sekejap Petaling Jaya main-main dengan undang-undang macam main bola," kata Zaidi lagi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Budayawan Azah Aziz meninggal dunia

Posted:

Budayawan Azah Aziz meninggal dunia

Oleh SUHANA MD. YUSOP
dan NOR IDAYU BOSRO
idayu.bosro@kosmo.com.my

ALLAHYARHAM AZAH AZIZ


KUALA LUMPUR – Tokoh budaya Azah Aziz, iaitu isteri Profesor Diraja Ungku Aziz dan ibu kepada Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz, meninggal dunia di sini semalam.

Menurut seorang anggota keluarga terdekatnya, Azah atau nama sebenarnya Sharifah Azah Mohamed Alsagoff, 83, meninggal dunia kerana sakit tua dan angin ahmar kira-kira pukul 10 pagi.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara di sini selepas solat Asar.

Antara yang berada di tanah perkuburan memberikan penghormatan ialah bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali serta anggota keluarga dan kenalan rapat.

Terdahulu, solat jenazah disempurnakan di Masjid Saidina Abu Bakar As Siddiq, Bangsar.

Azah berkahwin dengan Ungku Aziz pada 5 Mei 1946 dan dikurniakan seorang anak Dr. Zeti Akhtar Aziz yang kini Gabenor Bank Negara.

Allahyarham yang turut dikenali sebagai Mak Ungku dilahirkan pada 21 Ogos 1928 di Singapura dan dibesarkan di Johor Bahru. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Menengah Convent, Johor Bahru.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

PM: Penjawat awam perlu lebih kreatif, inovatif

Posted:

PM: Penjawat awam perlu lebih kreatif, inovatif

NAJIB menyampaikan ucapan pada Majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa, Putrajaya semalam.


PUTRAJAYA - Penjawat awam perlu menampilkan pelaksanaan tugas yang lebih kreatif dan inovatif bagi menyahut cabaran untuk memenuhi jangkaan rakyat yang semakin bertambah kompleks, pelbagai dan sentiasa berubah.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perkhidmatan awam merupakan tonggak kepada usaha memastikan dasar negara dilaksanakan demi mencapai matlamat kerajaan untuk menjadi negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

Beliau berkata, persekitaran hari ini jauh berbeza berbanding satu ketika dahulu yang menuntut kerjasama dan komitmen padu serta jitu daripada segenap lapisan pentadbiran.

"Kita berhadapan dengan rakyat Malaysia yang mempunyai jangkaan dan harapan yang tidak macam dahulu dan perubahan ini disebabkan kejayaan kita menyediakan peluang pendidikan yang semakin tinggi, akses kepada pendidikan yang cukup luas. Pendedahan maklumat kini mungkin sudah terlalu banyak," katanya pada majlis Dialog Perdana Perkhidmatan Awam 2012 di sini semalam.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan