Sabtu, 21 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Nikmat cahaya Ramadan

Posted:

Nikmat cahaya Ramadan

Oleh MAZLINA ABDUL MAJID, SYAHIR KASSIM dan NUR AISHAH AMIN
berita@kosmo.com.my

INSAF... Shamsuddin bersama Mohd. Ali (tengah) dan Sapuan (kanan) memanjatkan doa kesyukuran di hadapan Penjara Kluang, Johor selepas dibebaskan semalam.


JOHOR BAHRU - Lapan banduan yang telah ditahan antara 22 tahun hingga 37 tahun dibebaskan dari beberapa buah penjara di Johor, Pahang, Kedah dan Selangor semalam selepas masing-masing mendapat pengampunan penuh daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

Kesemua tahanan itu melakukan kesalahan di negeri Johor satu masa dahulu dan dibebaskan pada hari pertama umat Islam berpuasa semalam selepas mendapat perkenan Lembaga Pengampunan Negeri Johor yang dipengerusi oleh baginda pada 19 Januari lalu.

Di Kluang, warga Singapura, Shamsuddin@Botak Baharin, 55, memegang rekod sebagai banduan paling lama menjalani hukuman penjara di Malaysia dengan tempoh tahanan selama 37 tahun.

"Bila sudah terlampau lama dalam penjara, saya jadi putus asa untuk hidup bebas.

"Syukurlah, sesungguhnya Ramadan ini yang paling bererti kepada saya," katanya sebak ketika ditemui di Penjara Kluang semalam.

Selain Shamsuddin, turut dibebaskan dari Penjara Kluang ialah Sapuan Hanin, 58, dan warga Indonesia, Mohd. Ali Nordin, 63.

Shamsuddin yang pernah menjadi orang buruan polis Johor dan Singapura dijatuhi hukuman penjara seumur hidup dan 10 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Johor Bahru atas kesalahan menembak dua anggota polis yang cuba menahannya.

Dia didakwa di bawah Seksyen 5 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan 12 sebatan.

Untuk perancangan masa hadapan, Shamsuddin bercadang membuka kedai jahit.

Sapuan pula menganggap dirinya umpama bayi baru lahir setelah terlepas daripada hukuman gantung sampai mati kerana mengedar 6.71 kilogram kanabis di sebuah surau di Jalan Parit Ismail, Benut, Pontian pada tahun 1987.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

PM pertimbang permintaan bonus raya

Posted:

PM pertimbang permintaan bonus raya

DARI kanan: Nor Ashman, Najib dan Rosmah melayan anak-anak yatim Rumah Penyayang Tun Abdul Razak yang dijemput bersahur bersama Perdana Menteri di kediamannya di Pekan semalam.


PEKAN - Pemberian imbuhan sempena Aidilfitri kepada penjawat awam bergantung kepada kemampuan kerajaan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Dengan wajah yang ceria, Najib berkata, beliau akan melihat 'buku kira-kira' kerajaan terlebih dahulu berhubung perkara itu.

"Nantilah kita semak-semak dahulu, belek-belek dahulu, kena tengok-tengok buku kira-kira dahulu... kalau apa-apa pun kita semak dahulu, apa-apa keputusan mesti berdasarkan kepada kemampuan kerajaan," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengenai pemberian imbuhan itu baru-baru ini.

Pada 16 Julai lalu, Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya sedang mencari pendekatan terbaik bagi memastikan 1.4 juta penjawat awam mendapat imbuhan itu dan tidak menyebabkan pihak tertentu mengambil kesempatan seperti menaikkan harga barangan.

Najib ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan cek Durian Runtuh Felda Fasa 2 dan pakaian kepada pegawai-pegawai masjid serta sumbangan apron kepada peniaga dan bantuan cermin mata kepada penduduk Pekan di Dewan UMNO Pekan di sini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Dua mayat ditemui, satu masih hilang

Posted:

Dua mayat ditemui, satu masih hilang

Oleh SOPI SAMAILE
berita@kosmo.com.my

Anak Peter (dua dari kiri) tidak dapat menahan sebak ketika melihat mayat bapanya di Jeti Sebuyau, Samarahan semalam.


SAMARAHAN – Mayat dua daripada tiga penumpang helikopter jenis Eurocopter EC 120 yang terhempas di muara Batang Lupar berhampiran Sungai Tereso dekat Sebuyau kelmarin ditemui dalam keadaan masih sempurna semalam.

Mayat juruukur, Siti Khuzaimah Anuar, 27, yang berasal dari Kuching, ditemui pada pukul 9.20 pagi oleh nelayan tempatan di perairan Sungai Tereso berhampiran Muara Batang Lupar kira-kira satu jam perjalanan menggunakan bot laju dari lokasi kejadian.

Ketika ditemui, wanita itu lengkap berpakaian tanpa jaket keselamatan. Mayatnya dibawa ke Sebuyau pada pukul 11.10 pagi.

Sementara itu, mayat jurutera Sebiro Holdings, Peter Ato Mayau, 53, dijumpai tersangkut pada akar kayu di muara Sungai Tebelu oleh pasukan penyelamat pada pukul 2 petang.

Lelaki itu yang ditemui dengan hanya memakai baju putih tanpa lengan, berseluar dalam dan berstoking dipercayai menanggalkan pakaian lain bagi memudahkan dia berenang untuk menyelamatkan diri. Difahamkan, muka dan tangan kanan mangsa seperti melelas dipercayai kesan gigitan ikan.

Seorang lagi mangsa yang masih hilang ialah arkitek, Henry Lau Tee Yong, 42. Sehingga pukul 5.30 petang semalam, mayat lelaki itu belum ditemui.

Kosmo! semalam melaporkan sebuah helikopter milik seorang ahli korporat tempatan yang membawa empat penumpang dan seorang juruterbang warga Jerman terhempas.

Dalam kejadian itu, juruterbang Rico Steger, 35, terselamat manakala tiga mangsa lain termasuk seorang wanita hilang.

Steger terselamat selepas terapung sebelum dibawa arus Laut China Selatan selama empat jam, kira-kira 20 kilometer dari lokasi terhempas. Dia diselamatkan oleh sekumpulan nelayan tempatan di Sungai Kampung Tebelu.

Ketika kejadian, helikopter itu baru berlepas kira-kira 20 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching. Ia dalam penerbangan ke Nanga Merit, Kapit dipercayai untuk melawat projek bagi sebuah sekolah di kawasan itu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Law Hong Soon yang berada di Sebuyau bagi mengetuai operasi mencari dan menyelamat mengesahkan penemuan dua mayat tersebut yang kemudian dihantar ke Hospital Simunjan untuk bedah siasat.

"Operasi masih diteruskan untuk mencari seorang lagi mangsa yang hilang," katanya di sini semalam.

Gerakan mencari dan menyelamat disertai oleh pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan dan IPD Sri Aman; Maritim Malaysia; Tentera Udara Diraja Malaysia; Bomba dan Penyelamat serta Ikatan Relawan Rakyat Malaysia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan