Isnin, 16 Julai 2012

Harian Metro: Mutakhir

Harian Metro: Mutakhir


Tarikh melihat anak bulan Ramadan 19 Julai

Posted: 16 Jul 2012 01:41 AM PDT

KUALA LUMPUR: Tarikh bagi melihat anak bulan Ramadan ialah pada petang Khamis ini (19 Julai).

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebanyak 30 tempat di seluruh negara telah ditetapkan bagi tujuan itu.

Tempat berkenaan ialah di Pontian Kecil Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Acheh Pulau Pinang.

Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah; Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Geliga, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin(KUSZA) Setiu, Terengganu.


Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kuala Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak.


Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah dan Hisab.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam itu juga tarikh permulaan puasa yang akan disiarkan melalui radio dan televisyen. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16


Anak nekad selamatkan ibu bapa yang terbakar

Posted: 16 Jul 2012 12:45 AM PDT

PEKAN: Seorang pelajar tingkatan empat bertindak berani apabila menyelamatkan ibu bapanya yang sedang terbakar dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Cenderawasih, Pekan, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, ibu kandung dan bapa tiri Mohd Amri Abu Bakar, 16, melecur teruk di seluruh tubuh selepas bilik tidur mereka terbakar.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan itu berkata beliau terhidu bau asap sebelum terdengar jeritan ibu bapanya.

"Ayah tiri saya, Abdul Karim Mohamad dan ibu saya, Saidah Talib kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA)," katanya kepada Bernama, di sini.


Abdul Karim, 39, yang bekerja sendiri dan isterinya, Saidah, 35, dihantar oleh jiran tetangga ke Hospital Pekan kira-kira 3.30 pagi tadi sebelum dipindahkan ke HTAA.


Keadaan mereka dilapor agak kritikal.

Menceritakan detik cemas itu, Mohd Amri berkata beliau melihat kepulan asap dari bilik tidur kedua ibu bapanya, sebelum bertindak menendang pintu bilik berkenaan.

"Selepas menendang, saya lihat ayah sedang terbakar dari paras pinggang ke bawah, manakala ibu terbakar seluruh badan," katanya.

Dia kemudiannya membawa kedua-dua adiknya, Nurazalina Abu Bakar, 11 dan Noraini Abu Bakar, 5, yang tidur di ruang tamu, keluar dari rumah berkenaan.

Mohd Amri kemudiannya berlari ke dapur dan mengambil air di dalam baldi sebelum bertindak menyimbah air berkenaan ke atas kedua-dua ibu bapanya.

Beliau kemudian mengheret kedua-dua orang tuanya keluar dari bilik yang sedang terbakar itu sebelum dibantu jiran tetangga.

Bilik yang terbakar itu berjaya dipadamkan.

Sementara itu, ketua kampung berkenaan Mohamad Karim berkata pasangan suami isteri itu sedang tidur ketika kejadian.

"Katil dan kelambu di bilik berkenaan dipercayai terbakar sebelum api menjilat tubuh mereka, punca kejadian tidak diketahui," katanya.

Sementara itu Pegawai Perhubungan Awam Bomba dan Penyelamat Pahang, Anuar Hassan berkata pihaknya baru sahaja dimaklumkan mengenai kejadian dan akan ke lokasi bagi menyiasat punca kebakaran. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2012/07/16


Tiada ulasan:

Catat Ulasan