Selasa, 24 Julai 2012

Kosmo Online - Negara

Kosmo Online - Negara


Gagal berkelahi besar-besaran

Posted:

Gagal berkelahi besar-besaran

KESEMUA 93 samseng yang diberkas kerana merancang untuk bergaduh ditahan reman di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang bagi membantu siasatan.


GEORGE TOWN - Perancangan dua kumpulan gengster Geng 04 dan Geng 24 untuk bergaduh secara besar-besaran ekoran dendam kesumat yang terbuku di hati masing-masing gagal apabila seramai 93 ahli termasuk ketuanya diberkas di pusat hiburan sebuah hotel di Persiaran Gurney di sini kelmarin.

Gengster-gengster itu diberkas pukul 12.30 tengah malam selepas polis menyerbu sebuah bilik karaoke di tingkat dua hotel berkenaan yang dijadikan tempat ketua kedua-dua kumpulan tersebut bermesyuarat bagi merancang perkelahian itu.

Daripada jumlah itu, seramai 23 merupakan ahli Geng 04 dan 70 anggota Geng 24. Mereka diberkas oleh pasukan polis yang diketuai Pegawai Turus Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat, Ibu Pejabat Kontijen Polis Pulau Pinang, Deputi Superintenden Zailanni Amit.

Mereka berusia 16 hingga 42 tahun dengan 20 orang positif dadah.

Geng 04 banyak terlibat dalam jenayah peras ugut pemaju perumahan di kawasan Timur Laut dan Barat Daya dengan meminta wang perlindungan. Kumpulan tersebut akan membuat kacau sehingga kehendak mereka dituruti.

Samseng Geng 24 pula akan menggunakan kekerasan untuk memaksa atau mempengaruhi para peniaga di kawasan Timur Laut supaya berurusan dengan mereka.

Mereka juga kerap membuat kacau di pusat hiburan dengan datang beramai-ramai tanpa memesan minuman.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

7 pelajar kita tiba petang ini

Posted:

7 pelajar kita tiba petang ini

KUALA LUMPUR - Meskipun suasana pergolakan di Damsyik semakin terkawal, tujuh pelajar Malaysia yang sudah memperoleh visa keluar kini sudah tidak sabar lagi untuk pulang ke tanah air.

Exco Penerangan Persatuan Pelajar Malaysia Syria (PPMS), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, kesemua pelajar terbabit sudahpun berkumpul di rumah PPMS di Damsyik.

Beliau berkata, jika tiada masalah, pelajar terbabit yang menaiki pesawat komersial dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang pada pukul 2 petang ini.

Menurutnya, pelajar terbabit menaiki pesawat Emirate Airlines EK346 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik dan transit di Dubai sebelum meneruskan perjalanan ke KLIA.

"Mereka semua sudah siap mengemas barang masing-masing dan sudah tidak sabar untuk pulang ke tanah air.

"Keadaan di Damsyik masih lagi terkawal dan saya berharap ia akan kekal sehingga kami semua dibawa pulang," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan keadaan di Syria bergolak dengan perang saudara berikutan keengganan Presiden Bashar Al-Assad untuk meletakkan jawatan sehingga mendorong kumpulan pemberontak meneruskan perjuangan menentang askar-askar kerajaan sejak Mac tahun lalu.

Menurut Muhammad Nadir, sembilan pelajar yang enggan pulang sebelum ini masih lagi dengan keputusan untuk tidak pulang ke tanah air.

Katanya, walaupun telah dipujuk dan diberitahu mengenai masalah-masalah yang lebih teruk bakal menimpa, namun mereka masih enggan pulang.

Dalam pada itu, Setiausaha Pertama Kedutaan Malaysia di Syria, Ahmad Fahmi Ahmad Sarkawi memberitahu, pihaknya sedang berusaha memujuk beberapa pelajar yang dikatakan enggan pulang ke tanah air.

"Kedutaan akan mengeluarkan surat pelepasan tanggungan kepada ibu bapa mereka sekiranya pelajar-pelajar terbabit masih enggan berbuat demikian," katanya.

Tambahnya, kerajaan juga telah mengarahkan supaya Kedutaan Malaysia di negara itu ditutup dan kakitangannya dibawa pulang.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

SPRM berjaya buktikan keupayaan

Posted:

SPRM berjaya buktikan keupayaan

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak perlu menunggu sehingga 10 tahun untuk membuktikan keberkesanan menangani rasuah di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Datuk Abdul Rahman Dahalan (gambar).

Beliau berkata, sebagai rujukan, badan pencegah rasuah yang paling terkenal di dunia seperti Suruhanjaya Bebas Menentang Rasuah (ICAC) di Hong Kong juga memerlukan sekitar 10 tahun sebelum membuktikan kejayaan dan keberkesanan operasi mereka.

"Saya rasa kita tidak perlu ambil masa sampai begitu lama untuk menjadikan SPRM sebagai sebuah agensi antirasuah yang berkesan. Rakyat hanya perlu memberi sokongan moral kepada SPRM sekarang," katanya dalam entri terbaru blognya, mpkotabelud.blogspot.com.

Abdul Rahman yang dilantik untuk penggal kedua sebagai ahli jawatankuasa berkenaan berkata, sepanjang penggal pertama, beliau mendapat banyak pengalaman dan pengetahuan mengenai perjalanan SPRM dan fenomena rasuah di negara ini.

Antara cadangan lain yang masih dalam perhatian kerajaan ialah memberi kuasa pendakwaan kepada SPRM tanpa perlu melalui Peguam Negara dan cadangan meletakkan SPRM di bawah seliaan Parlimen secara langsung dan bukan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Katanya, bagi menurunkan kuasa mendakwa kepada SPRM tanpa melalui Peguam Negara memerlukan pindaan perlembagaan dan untuk diluluskan di Parlimen sekurang-kurangnya dua pertiga undi anggota Parlimen mesti menyokong usul tersebut.

"Saya sebenarnya agak risau dengan cadangan ini kerana walaupun nampak baik kerana tidak perlu kebenaran Peguam Negara, namun ia melanggar prinsip pengasingan fungsi menyiasat dan menuduh seperti dalam sistem kehakiman kita di mana polis menyiasat, Peguam Negara menuduh dan hakim mengadili," katanya.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan