Berita Harian: Nasional |
RELA kawal parkir pusat beli-belah Posted: 12 Jul 2012 03:07 PM PDT Putrajaya: Inisiatif diguna pakai mengatasi kes jenayah jalanan yang menunjukkan kejayaan akan diperluaskan untuk mengatasi jenayah lain seperti pecah rumah dan penculikan. Jenayah jalanan menurun drastik 39.7 peratus daripada 38,030 kes pada 2009 kepada 22,929 kes tahun lalu. Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan beberapa pendekatan yang akan diambil untuk tujuan itu. Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pula akan mengadakan pertemuan dengan semua Ketua Polis Daerah untuk mendapatkan input mengenai kejadian jenayah di kawasan masing-masing dan membincangkan langkah mengatasinya, Timbalannya, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan mengadakan perbincangan dengan pihak swasta, termasuk pemilik pusat beli-belah dan lokasi lain yang menjadi kebimbangan orang ramai. Bercakap kepada pemberita di sini, semalam, Hishammuddin berkata, antara cadangan menangani kes jenayah di parkir ialah dengan meningkatkan kawalan keselamatan termasuk meletakkan anggota sukarelawan seperti Ikatan Relawan Rakyat (Rela). "Oleh itu, anggota sukarelawan akan ditempatkan di kawasan dikenal pasti untuk menjadi mata dan telinga polis," katanya. Beliau berkata, kementeriannya juga sedang mengkaji memperluaskan rondaan bersama anggota polis dan tentera, secara berperingkat apabila orang ramai selesa dengan kehadiran anggota tentera. Beliau berkata dakwaan sesetengah pihak kononnya kadar jenayah meningkat hanyalah satu persepsi. Indeks jenayah menunjukkan penurunan 11.1 peratus daripada 177,520 kes pada 2010 kepada 157,891, tahun lalu, membabitkan jenayah curi, ragut, curi kenderaan dan pecah rumah selain jenayah kekerasan - rompakan, serangan, rogol dan bunuh. Indeks jenayah antara Januari dan Mei tahun ini juga menurun 10.1 peratus, iaitu kepada 63,221 kes berbanding 70,343 kes tempoh sama tahun lalu. "Tidak kira sama ada hanya persepsi atau tidak, ia tetap akan ditangani secara serius kerana membangkitkan perasaan takut dan bimbang dalam kalangan rakyat," katanya. Bagaimanapun, beliau berkata, realitinya indeks jenayah tidak meningkat, dan usaha kerajaan menangani jenayah turut mendapat pujian pihak luar seperti Panel Bebas Antarabangsa yang dianggotai pakar dari Singapura, United Kingdom dan Amerika Syarikat. |
Lahir PKS berdaya saing peringkat global Posted: 12 Jul 2012 03:01 PM PDT Putrajaya: Datuk Seri Najib Razak semalam melancarkan Pelan Induk Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2012-2020 sebagai peneraju baru ekonomi negara. Pelan itu bermatlamat meningkatkan pertumbuhan perniagaan, menambah bilangan syarikat yang mempunyai pertumbuhan tinggi serta berinovasi, meningkatkan produktiviti dan mempergiat tata cara perniagaan. Perdana Menteri berkata, semua empat matlamat itu akan menyumbang kepada visi pelan berkenaan untuk melahirkan PKS yang berdaya saing pada peringkat global serta meningkatkan kekayaan dan kesejahteraan rakyat. "Pelan induk ini adalah pelan sepanjang hayat yang akan kekal relevan kerana ia dinamik dan boleh disesuaikan mengikut perubahan persekitaran semasa. "Pendekatan ini membolehkan kita mencapai hasil yang optimum, menggalakkan pertumbuhan dan pelaburan PKS dalam ekonomi," katanya berucap pada majlis Pelancaran Dokumen Pelan Induk PKS di sini, semalam. Najib berkata, lantaran persekitaran luaran yang sentiasa berubah dan persaingan sengit, negara memerlukan formula baru untuk menjana pertumbuhan dan pelaburan menerusi sumber domestik berikutan 97 peratus entiti perniagaan di Malaysia membabitkan PKS. Beliau berkata, mesyuarat Majlis Pembangunan PKS Kebangsaan dipengerusikannya semalam turut menekankan strategi baru melonjakkan dan sokongan kepada syarikat mikro. Tegas beliau, pendekatan itu penting supaya enterpris mikro yang kini membentuk 77 peratus daripada semua entiti perniagaan, dilonjakkan ke status PKS. "Pelan ini adalah strategik dan pelengkap kepada dasar dan inisiatif sedia ada. Ia perlu kerana kita hanya ada lapan tahun untuk mencapai Wawasan 2020. "Justeru, semua dasar ekonomi, termasuk pembangunan PKS harus bergerak seiring," katanya. Pelan induk itu dibangunkan dengan kerjasama Bank Dunia, dengan menerapkan amalan yang terbukti berkesan, mengutamakan mekanisme penilaian dan pemantauan. Dalam pada itu, SME Corp Malaysia dalam kenyataannya, berkata PKS negara ini disasarkan mencapai purata pertumbuhan KDNK 8.7 peratus setahun mulai tahun ini sehingga 2020 melalui pelan induk berkenaan. Sumbangan PKS kepada tenaga kerja dan eksport, masing-masing meningkat kepada 62 peratus dan 25 peratus berbanding 59 peratus dan 19 peratus pada masa ini. |
You are subscribed to email updates from Berita Harian: Nasional To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 20 West Kinzie, Chicago IL USA 60610 |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan