Selasa, 10 Julai 2012

Kosmo Online

Kosmo Online


Perhimpunan haram: 31 orang awam ditahan

Posted:

Perhimpunan haram: 31 orang awam ditahan

10/07/2012 9:26pm

KUANTAN – Sekumpulan orang awam yang berhimpun secara haram di hadapan Wisma Sri Pahang di sini hari ini ditahan polis kerana gagal mematuhi arahan supaya bersurai dari pintu masuk bangunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata, kumpulan seramai 31 orang itu ditahan pada 3.50 petang apabila mereka gagal mengikuti arahan secara baik yang dikeluarkan oleh polis.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai datang dari Cameron Highlands untuk berjumpa Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob mengenai isu tanah, bagaimanapun gagal kerana beliau tiada di Kuantan.

"Ekoran daripada itu, mereka berkumpul di pintu masuk Wisma Sri Pahang sebagai tanda protes pada 10.45 pagi sebelum setiausaha sulit kepada Menteri Besar datang dan membawa 14 orang daripada mereka ke pejabat untuk berbincang," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Bagaimanapun, katanya selepas perbincangan selesai kira-kira 12 tengah hari, kumpulan berkenaan masih berdegil dengan meneruskan perhimpunan itu sebelum tiga orang daripada mereka dipanggil semula untuk berbincang.

Polis kemudian terpaksa menahan kesemua mereka kerana bukan sahaja tidak berganjak dari kawasan bangunan berkenaan malah turut memasang khemah dan kain rentang di pintu masuk. – BERNAMA

Jongkong emas menanti pemain emas Olimpik

Posted:

Jongkong emas menanti pemain emas Olimpik

10/07/2012 7:25pm

KUALA LUMPUR – Jongkong emas untuk pemenang pingat emas.

Itulah ganjaran yang bakal diterima pemain badminton Malaysia yang menyumbangkan pingat emas kepada negara pada Sukan Olimpik London akan datang.

Memperkenalkan insentif itu pada sidang media di sini hari ini, Presiden Kuala Lumpur Rackets Club (KLRC), Datuk Seri Andrew Kam berkata, beliau akan menyerahkan jongkong emas seberat 12.5kg bernilai lebih RM2 juta itu kepada pemenang pingat emas.

"Jika terdapat lebih daripada dua pemenang pingat emas, jongkong emas itu akan dibahagikan sama rata," katanya bahawa insentif jongkong emas itu hanya diberikan kepada pemain badminton kerana beliau meminati sukan berkenaan.

Melontarkan cabaran kepada pemain badminton negara meraih pingat emas pertama Malaysia di Olimpik, beliau berkata, tumpuan rakyat Malaysia ialah terhadap pemain badminton kerana peminat meminati sukan berkenaan.

"Saya boleh menghasilkan emas, saya percaya mereka juga boleh menghasilkan emas (pingat)," kata Kam yang memiliki lombong emas di Raub, Pahang. – BERNAMA

Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut

Posted:

Remaja 17 tahun ditahan bantu siasat kes ragut

10/07/2012 7:21pm

MELAKA – Polis menahan seorang remaja yang dipercayai terlibat dalam kes ragut seorang kerani wanita yang meninggal dunia sehari selepas kejadian itu di Jalan Benteng, Balai Panjang empat hari lepas.

Remaja lelaki berusia 17 tahun yang tidak bersekolah itu ditahan bersama tiga lagi lelaki berusia 20-an dalam satu operasi khas di dua inap desa di Merlimau dan Semabok bermula 1.30 petang semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Supt R. Gunarajan berkata, kesemua mereka dipercayai merupakan ahli kumpulan yang terlibat dalam 15 kes pecah rumah dan ragut di sekitar daerah Melaka Tengah dan Jasin sejak tahun lepas.

Beliau berkata, hasil siasatan, remaja terbabit mengaku mengambil beg tangan dari raga motosikal mangsa dalam kejadian berkenaan.

"Ketika kejadian, remaja itu membonceng motosikal yang ditunggangi seorang lagi rakannya yang masih dijejaki," katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada 8.05 pagi Sabtu lepas, mangsa, Tang Mui Choo, 35 yang menunggang motosikal diragut dua lelaki ketika dalam perjalanan ke tempat kerja menyebabkannya terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala dan rusuk sebelum disahkan meninggal dunia keesokannya. – BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan